MEMENUHI standard pengeluaran Porsche.
MEMENUHI standard pengeluaran Porsche.
KEMASAN dan kualiti.
KEMASAN dan kualiti.
Lizam Ridzuan

MODEL Porsche Cayenne yang dipasang di kilang pengeluaran Inokom Corporation di Kulim, Kedah adalah model pemasangan tempatan (CKD) untuk Porsche yang pertama di luar Eropah.

Ia hasil kerjasama strategik Sime Darby Berhad dan Porsche AG.

Kilang pengeluaran ini yang dirasmikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin turut menawarkan pelbagai pertukaran kemahiran serta teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Jeffri Salim Davidson berkata, pihaknya bangga kerana terus diberi kepercayaan oleh Porsche untuk mengeluarkan produk yang konsisten daripada segi standard, berkualiti tinggi selain berprestasi.

"Kilang ini beroperasi dengan 100 peratus tenaga kerja warga tempatan. Ia bukan sahaja menyokong perkembangan perniagaan dan rangkaian pengeluar industri malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam kalangan komuniti setempat," katanya.

Kata beliau, pekerja akan dilatih secara komprehensif oleh juruteknik Porsche dan kilang ini juga menyokong pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan.

Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif untuk Pengeluaran dan Logistik Porsche Albrecht Reimold pula berkata, tapak pemasangan di Malaysia memenuhi keperluan pasaran khusus dan beroperasi seiring dengan rangkaian kilang pengeluaran di Eropah.

"Ia memenuhi standard kualiti komprehensif yang ditetapkan oleh Porsche untuk memasang kereta sport jenama ini.

"Kemudahan pemasangan ini dibina bersama falsafah pengeluaran kami iaitu pintar, penggunaan tenaga efisien," katanya.

Model Cayenne dipilih kerana ia adalah simbol jenama Porshe dalam meluaskan capaian pelanggan baharu.

Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) ini menggabungkan ruang dalaman elegan dan selesa serta keupayaan menempuh laluan lasak.

Cayenne yang dipasang secara tempatan ini didatangkan dengan rangkaian peralatan standard yang dipertingkatkan eksklusif untuk pasaran Malaysia.

Untuk pakej pilihan Porsche Exclusive Manufaktur, ia boleh ditempah secara berasingan termasuk jam tangan reka bentuk Porsche eksklusif untuk pelanggan yang berminat.

Selain itu, pelbagai aksesori peralatan gaya hidup turut disediakan atas permintaan.

Untuk Malaysia, model Porsche Cayenne pemasangan tempatan (CKD) ini dijual pada harga bermula RM550,000 dengan tiga pilihan warna iaitu putih, hitam dan kelabu.

Porsche AG juga merancang untuk meluaskan pasarannya dan ia juga bakal dieksport ke negara Asean.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 6:30 AM