GAYA terbaharu D-Max X-Terrain.
GAYA terbaharu D-Max X-Terrain.
Lizam Ridzuan


Gaya dan pamanduan trak pikap kini banyak berubah daripada tujuan komersial kepada lebih bersifat individu.

Kemasan dan penggayaan juga kini semakin menarik malah ruang kabin dengan sentuhan ala kenderaan utiliti sukan (SUV).

Vroom berpeluang memandu uji Isuzu D-Max 3.0L 4X4 AT X-Terrain V-Cross Baharu 2023 ialah varian tertinggi trak pikap Isuzu di Malaysia.

Model terkini ini diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan pada Februari lalu dengan pembaharuan pada kemasan luaran dan dalam terutama warna Putih Dolomite Pearl ini adalah pilihan terkini ditawarkan selain Kelabu Islay Mica.

Antara lain ialah rekaan gril baharu dan kemasan badan menyerlahkan gaya sporty dan dinamik serta padanan rim aloi 18 inci kelabu gelap dan saiz tayar 265/60 menjadikan ia gaya ala prestasi.

Untuk bahagian kabin dengan tempat duduk kulit Anti Vibration Elastic Comfort Foam berwarna hitam serta kemasan kontra Cafe Brown selain lebih banyak permukaan lembut menjadikan lebih elegan.

PADANAN rim aloi dan wheel arch tampil bergaya.
PADANAN rim aloi dan wheel arch tampil bergaya.

Untuk varian X-Terrain dilengkapi perakam video digital pada bahagian hadapan dan belakang menerusi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) resolusi tinggi.

Tampil seakan SUV ruang dalaman juga dengan lampu suasana pada bahagian kaki, selain memudahkan penglihatan ketika masuk atau keluar dari kenderaan terutama ketika cuaca gelap atau malam.

Varian X-Terrain (Premium dan Auto Plus) juga dengan pengecas tanpa wayar dengan aliran 15W serta tambahan dua slot USB-C untuk pengecasan pantas.

Penumpang belakang juga disediakan corong pendingin hawa dan slot pengecas USB untuk kemudahan sepanjang perjalanan.

RUANG kabin elegan.
RUANG kabin elegan.

Untuk pemanduan dengan enjin 2,999cc VGS Turbo Intercooler Diesel DOHC Blue Power menjana 190PS pada 3,600rpm dan tork 450Nm pada 3,600 rpm adalah sudah terlalu memadai dan berkuasa bagi kegunaan harian serta transmisi 6 kelajuan automatik dengan Sequential Shift untuk pertukaran gear lebih lancar terutama ketika di atas lebuh raya.

Malah jika mahu ke laluan lasak Rear Differential Lock menawarkan lebih cengkaman dan kestabilan dengan kawalan elektronik terutama melepasi kawasan tidak rata atau licin.

Meskipun trak pikap, penulis dapat merasakan seakan memandu SUV menerusi suasana kabin dan pengendalian yang lebih baik dengan casis dipertingkatkan yang mana ia menjalani ujian ketahanan sejauh 4 juta kilometer sebelum dilancarkan menerusi Platform Pemanduan Dinamik Isuzu.

ENJIN 3.0 liter turbo diesel Blue Power.
ENJIN 3.0 liter turbo diesel Blue Power.

Menambah kepada kestabilan dan kurang olengan itu dengan suspensi hadapan Independent Doube Wishbones, Spring Coil dan penstabilan dengan penyerap hentakan gas.

Bahagian belakang pula dengan spring dedaun Semi-Elliptical dengan penyerap hentakan gas.

Untuk ruang kargo bagi kemudahan membuka pintu dilengkapi dengan bantuan pintu belakang dengan pintu yang boleh diangkat dengan satu jari serta bampar belakang jenis tangga dua langkah bagi kemudahan untuk mengambil barangan.

Meskipun bersaiz trak pikap, perjalanan jauh atau kesesakan jalan raya juga tambah mudah dengan Kawalan Pelayaran Adaptif dengan fungsi Stop and Go.

BAMPAR dengan dua tempat pemijak.
BAMPAR dengan dua tempat pemijak.

Secara keseluruhannya Isuzu D-Max X-Terrain menawarkan kenderaan lasak yang bergaya sesuai bagi kegunaan dalam bandar atau tujuan lasak dan gaya hidup aktif.

Ciri-ciri termaju, kabin seakan-akan SUV dan pengendalian lebih stabil serta lancar dengan enjin diesel untuk satu tangki penuh 76 liter bahan api mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 850 kilometer (km) dan penulis mencatatkan 11.3 km untuk setiap satu liter.

Ia juga dengan paparan kamera undur dan pemandangan 360 darjah pada sistem infotainmen bersaiz 9 inci serta meter e-Lumax analog dan digital MID TFT bersaiz 4.2 inci tambah gaya dan kemudahan maklumat kepada pemandu.

Sistem lapan pembesar suara sekeliling dengan bunyti yang berkualiti tinggi serta kerusi pemandu larasan elektrik lapan ketetapan dengan sokongan Lumbar.

Ciri keselamatan termaju dengan tujuh beg keselamatan SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD) dengan Bantuan Brek, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Menurun Bukit (HDC) dan Bantuan Mula Bukit (HSA) dan 11 fungsi ADAS melengkapinya.

Trak pikap ini juga mampu mengharungi air sedalam 800 milimeter (mm) dan adalah kenderaan yang sesuai buat mereka yang gemar melakukan misi bantuan atau bencana ke kawasan terkesan.

Untuk pasaran Malaysia ia dijual pada harga RM150,938 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 6:17 AM