TOYOTA Tundra Serba Baharu lebih kuasa ciri hibrid.
TOYOTA Tundra Serba Baharu lebih kuasa ciri hibrid.
Lizam Ridzuan


SELEPAS kali terakhir dilancarkan pada 14 tahun lalu, trak pikap Toyota Tundra Serba Baharu 2022 generasi ketiga akhirnya diperkenalkan untuk pasaran Amerika Syarikat (AS).

Rekaannya tampil gaya 'muscle' dengan gril hadapan luas. Ia juga dilengkapi lampu hadapan dan lampu nyalaan siang (DRL) serta padanan rim aloi sehingga 20 inci.

Dua pilihan enjin ditawarkan iaitu 3.5 liter i-Force dwi-turbo V6 yang mampu menjana 389 kuasa kuda (hp) dan tork 649Nm atau hibrid i-Force Max dwi-turbo V6 yang menjana 437 hp dan tork 790Nm.

Kedua-dua enjin dijana Transmisi Automatik Dikawal dengan Kecerdasan (ECTi) 10 kelajuan sebagai ciri standard.

Penggunaan mod pemanduan Sport atau Sport+ menjadikan tenaga motor elektrik tambah responsif dan dengan mod Tow/Haul, ia akan menukarkan pecutan dan tork mengikut keperluan.

Sebagai model Tundra paling teguh pernah dibina, ia didatangkan dengan kerangka 'steel-ladder', kargo bed tetulang aluminium komposit dan suspensi belakang multi-link baharu yang membolehkan ia menunda berat sehingga 5.4 tan.

 RUANG kabin varian Limited.
RUANG kabin varian Limited.

KERUSI penumpang selesa.
KERUSI penumpang selesa.

ENJIN i-Force Max 3.5 liter.
ENJIN i-Force Max 3.5 liter.

Ruang dalamannya selesa untuk pemandu dan penumpang, malah dilengkapi bumbung panorama.

Ia juga datang dengan sistem multimedia serba baharu bersaiz lapan atau 14 inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Ia didatangkan dengan meter instrumen bersaiz 12.3 inci dengan Perkhidmatan Keterhubungan Toyota dan fungsi arahan suara Hi Toyota.

Untuk elemen sporty dan prestasi, model ini turut memperkenalkan varian pakej 'off-road TRD' yang ditambah baik dengan tiub mono Blistein.

Model TRD Pro pula datang dengan penyerap hentakan Fox berdiameter 2.5 inci, palang penstabil, skid plate aluminium dan tayar jenis pelbagai permukaan Falken.

Pilihan Multi-Terrain menawarkan mod laluan off-road seperti kawalan crawl, bantuan menuruni bukit selain kamera 360 darjah ketika menempuh laluan mencabar.

Model ini didatangkan dengan ciri keselamatan 'Toyota Safety Sense 2.5' sebagai ciri standard. Ia ditambah dengan elemen termaju lain seperti Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC) dan Pengesan Pejalan Kaki dengan Sistem Pra-Perlanggaran.

Tundra Serba Baharu ditawarkan menerusi lima varian iaitu SR, SR5, Limited, Platinum, 1794 dan TRD Pro yang terdapat dalam versi double cab dan CrewMax. Ia bakal dijual pada hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 7:00 AM