Honda City baharu.
Honda City baharu.
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Honda Malaysia membuka tempahan untuk wajah baharu Honda City dengan konsep "The Best Gets Better" yang menawarkan ciri terkini dalam sedan segmen-B itu.

Model berkenaan dijangka dilancarkan secara rasmi pada suku ketiga tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Hironobu Yoshimura berkata sejak model City generasi kelima itu dilancarkan ia terjual lebih 68,600 unit.

Antara varian yang menerima suntikan baharu ini adalah Honda City e:HEV RS yang menerima beberapa peningkatan luaran yang terdiri daripada gril depan honeycomb, gril bawah depan, 'diffuser', skirting sisi dan lambang "RS" dengan rekaan baharu.

Penampilan sporty ini dipertingkatkan lagi dengan bampar hadapan, bampar belakang dan roda aloi dwitona 16 inci dengan reka bentuk baharu.

Honda City e:HEV RS dengan ejin 1.5L e:HEV yang menggabungkan dua motor elektrik ditambah dengan Transmisi Pembolehubah Berterusan Elektrik (e-CVT) menghasilkan gabungan kuasa dan kecekapan bahan api dengan kuasa 109PS dan tork 253Nm yang paling berkuasa dalam kelasnya dan setara dengan enjin segmen-D.

Honda Sensing juga ditawarkan dengan dua ciri baharu Low Speed Follow (LSF) dan Lead Car Departure Notification (LCDN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 7:18 PM