GAYA kompak WR-V.
GAYA kompak WR-V.
Lizam Ridzuan


PASARAN kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak terutama dalam segmen-A di Malaysia kini tambah menarik menerusi pengumuman baru-baru ini menerusi Honda WR-V (Winsome Runabout Vehicle) yang bakal dilancarkan pada suku ketiga 2023.

Sebelum pelancaran, Honda Malaysia terlebih dahulu membawa media 'terbang' ke Thailand untuk sesi pandu uji 'teaser' model itu, baru-baru ini.

Vroom antara yang berpeluang menyertai sesi pandu uji ini yang diadakan dari Bangkok ke Pattaya bagi melihat lebih dekat penawaran terbaharu Honda di Malaysia.

Sedikit latar belakang, model ini mula ditawarkan pada 2017 di beberapa negara pasaran baharu muncul terutama di India yang kemudian diperkenalkan ke beberapa negara lain.

Untuk WR-V Serba Baharu 2023 yang dipandu uji ini sudah berada dalam pasaran Thailand dan Indonesia.

Konsep utamanya untuk menawarkan keseronokan memandu dengan gaya sporty dan pada masa sama menerima ciri sentuhan premium untuk pilihan lebih menyerlah.

Melihat kepada rekaan luaran, ia dengan dimensi 4,060 milimeter (mm) panjang, 1,780mm (lebar) dan 1,608mm (tinggi) serta jarak kelegaan jalan 207mm.

REKAAN gaya coupe.
REKAAN gaya coupe.

Untuk tampil lebih menarik ia didatangkan dengan rim bersaiz 17 inci dwi tona dengan kemasan dapra menyerlahkan gaya aktif sebuah SUV kompak urban.

Ia juga dengan rekaan ala gaya coupe dengan bahagian pembuka pintu belakang seakan-akan model HR-V yang terletak pada bahagian sisi cermin 'menghilangkan' ia di pintu.

SUDUT belakang ciri sporty.
SUDUT belakang ciri sporty.

Untuk yang kami pandu uji ini ialah WR-V varian RS yang didatangkan bentuk rekaan gril gaya termaju dan futurustik, lampu hadapan LED dan lampu membelok sequential, logo RS baharu dan lampu kombinasi belakang yang menarik.

Pintu belakang dengan spoiler atas dibuka dan ditutup secara manual (tiada elektronik) dengan ruang but berkapasiti 363 liter membolehkan ia membawa beberapa beg dan keperluan lain.

Untuk ruangan dalaman, meskipun kompak, namun tidak terasa sempit yang boleh memuatkan lima penumpang dan lebih sesuai untuk empat dewasa dengan selesa dengan penulis berketinggian 1.76 sentimeter (sm) masih ada ruang kepala yang baik.

Untuk pemandu ia didatangkan dengan kluster meter TFT bersaiz 4.2 inci gabungan analog dan digital dipdadankan roda stereng balutan kulit dengan pelbagai butang fungsi terdapat padanya.

RUANG kabin ciri teknologi.
RUANG kabin ciri teknologi.

Sistem penyaman udara dengan butang automatik serta paparan indikasi dan suhu digital antara yang ada pada model ini.

Ia juga dengan butang penghidup enjin, kerusi balutan kulit dan fabrik, perehat lengan dan ruang simpanan pada bahagian konsol tengah serta pengecas USB hadapan dan belakang.

Ia juga dengan sistem hiburan dan maklumat termaju dengan paparan skrin sesentuh tujuh inci dan enam pembesar suara serta keterhubungan telefon pintar AppleCarplay dan AndroidAuto.

Kerusi belakang dengan jatuhan 40:60 bagi lebih ruang muatan adalah ciri praktikal bagi disesuaikan dengan keperluan.

Penulis berpendapat kerusi hadapan tidak cukup panjang membuatkan separuh betis seakan-akan 'tergantung', namun pada bahagian belakang cukup selesa dengan unjuran kaki yang baik.

ENJIN 1.5L i-VTEC.
ENJIN 1.5L i-VTEC.

Semua spesifikasi dinyatakan ini ialah untuk Thailand dan versi akhir untuk pasaran Malaysia diumumkan tidak lama lagi.

WR-V Serba Baharu dijana dengan enjin 1.5L DOHC i-VTEC menjana kuasa 121PS pada 6,600 rpm dan tork maksimum 145Nm pada 4,300 rpm dengan transmisi CVT teknologi G-design untuk keseimbangan antara prestasi dan bahan api.

Kali ini kami banyak memandu atas jalan raya lurus serta lebuh raya dan penulis juga sempat mencubanya dalam kawasan metropolitan Bangkok dan ternyata saiznya yang kompak itu memudahkan pergerakan.

Meskipun tanpa turbo, enjin i-VTEC ini tetap menawarkan pemanduan responsif dengan ciri prestasi dan boleh memintas kenderaan dengan baik.

Meskipun tidak sepantas turbo, namun tenaga yang dibekalkan sudah cukup baik bagi pemanduan harian biasa atau ingin menjelajah untuk jarak jauh pada hujung minggu.

Pengendalian pada pelbagai permukaan terutama ketika melewati selekoh juga tidak terlalu terasa olengan menerusi suspensi hadapan MacPherson Strut dan Torsion Beam pada belakang.

Ciri keselamatan dengan Honda Sensing dan Honda LaneWatch menambah keyakinan pemanduan serta kekal berhubung dengan Honda Connect menerusi telefon pintar adalah ciri teknologi inovatif pada model ini.

Ciri keselamatan terbaik dengan enam beg keselamatan untuk varian tertinggi dengan Honda Sensing yang lengkap meliputi Notifikasi Kereta Hadapan Bergerak (LCDN), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (CMBS), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Sistem Bantuan Kekal Laluan (LKAS), Mitigasi Keluar Jalan Raya (RDM), Amaran Keluar Laluan (LDW) dan Pancaran Lampu Tinggi Automatik (AHB).

Secara keseluruhan penulis berpendapat Honda WR-V Serba Baharu bakal menjadi sebuah lagi model popular buat mer

e

ka yang mahukan sebuah SUV pada harga lebih berbaloi daripada jenama itu.

Gaya sporty, ciri enjin prestasi dan cekap, ia sesuai untuk gaya hidup urban dan aktif yang didatangkan dengan pelbagai ciri termaju daripada Honda menawarkan nilai tambahan untuk model ini.

Penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 12.7km untuk setiap liter dengan anggaran satu tangki bahan api penuh pada jarak 415 kilometer (km) untuk kapasiti tiga penumpang media dalam satu kenderaan ini selama beberapa hari mengujinya di sana.

Honda WR-V Serba Baharu bakal dilancarkan tidak lama lagi dan buat masa ini belum ada pengumuman harga dan varian dilakukan, namun untuk tempahan sudah dibuka dengan bayaran RM500 di semua 101 pengedar sah Honda Malaysia di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 6:12 AM