Hafiz Ithnin

Setakat 6 September lalu, model kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda baharu, WR-V menerima tempahan hampir 7,300 unit sejak menerima pra tempahan pada 16 Jun lalu.

Sekali gus angka ini menunjukkan model SUV keluaran Honda itu bukan biasa-biasa pesonanya menarik perhatian pembeli di Malaysia.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan memandu uji Honda WR-V di Langkawi, Kedah bersama delegasi media tempatan yang lain.

Ternyata kenderaan yang mempunyai empat pilihan warna itu mempunyai keunikan tersendiri dari segi rekaan tampak lasak dalam segmen SUV dan sudah semestinya mampu menarik pembeli dalam golongan pengguna muda.

Sekali tengok, ia nampak kecil, tetapi sebenarnya tidak kerana saiznya boleh dikatakan sama dengan Perodua Ativa.

HONDA WR-V berbaloi untuk dimiliki.
HONDA WR-V berbaloi untuk dimiliki.

Cuma yang penulis boleh katakan, jentera 'H' ini tampak lebih macho lebih-lebih lagi dengan padanan gril lebar dan bukaan bamper yang luas menjadikan model itu mempunyai aura garang tersendiri.

Lebih penting ia mudah untuk diparkir!

Rekaan belakang kenderaan itu mempunyai pandangan sebuah model yang tegap dengan mempunyai fender agak lebar.

Bercerita mengenai dimensinya pula model itu mempunyai ukuran 4,060 milimeter (mm), tinggi 1,608 mm dan lebarnya pula 1,780mm dengan jarak tanah sekitar 220mm. Bagi penulis ciri ini membolehkan model baharu itu bergerak dengan stabil. Apatah lagi apabila memecut di jalan raya.

Lebih penting dengan jarak antara yang tinggi itu membolehkan Honda WR-V meredah kawasan yang mempunyai takungan air dengan baik. Lagikan pula jika anda sentiasa berdepan pemanduan jalan yang berlubang yang agak dalam, tidak perlu khuatir mengenainya.

Membuka bonet hadapannya bagi membelek enjin Honda WR-V, ia dikuasakan dengan 1.5 liter DOHC i-Vtec setara dengan model City Sedan yang mampu menghasilkan 121 PS yang dipadankan transmisi CVT. Justeru, bagi mereka yang pernah memandu Honda City Sedan, pasti dapat merasakan kuasa enjin sama untuk model SUV baharu ini.

Mengenai lampunya pula, ia bahagian paling disukai penulis kerana ia mempunyai pancaran tajam membuatkan pemanduan begitu selesa pada waktu malam khasnya.

Tidak sekadar itu, meninjau belakangnya juga kelihatan ringkas, tetapi untuk membuatkan ia lebih menarik, WR-V ini didatangkan dengan spoiler serta lampu belakang LED berbentuk 'L' yang seolah-olah diambil daripada rekaan Honda Civic generasi baharu.

RUANG bonet yang luas dan kerusi belakang boleh laras memberi ruang yang luas.
RUANG bonet yang luas dan kerusi belakang boleh laras memberi ruang yang luas.

Apabila penulis melihat bahagian tayarnya pula, Honda WR-V boleh dipuji dari segi kemasan gerbang roda serta dipadankan rim 17 inci dua tona warna. Melihat skirt sisi hitamnya juga mengkukuhkan lagi karakter SUV.

Mengulas mengenai 'karakter' luar secara total Honda WR-V yang dipandu uji penulis boleh dikatakan aura lasak itu amat menonjol. Apatah lagi padanan kit badan RS yang boleh dilihat pada jeriji hadapan dengan bintik krom menguatkan lagi penampilan SUV ini.

Beralih kepada bahagian kabin Honda WR-V, pada awalnya penulis agak skeptikal dengan beberapa komentar peribadi mengenai rekaan dalaman yang dikatakan tidak sepadan dengan harganya. Namun pada pandangan peribadi penulis, ia meleset sama sekali!

Sebaik sahaja membuka pintu model SUV itu, hanya dua frasa sahaja dapat diucapkan, sporty dan premium.

KESTABILAN pemanduan masih boleh dirasai untuk Honda WR-V.
KESTABILAN pemanduan masih boleh dirasai untuk Honda WR-V.

Tidak seperti yang dikatakan keadaan kabinnya kelihatan murah. Persepsi negatif itu mungkin disebabkan papan pemuka material keras, tetapi bagi penulis ia langsung tidak menggambarkan pesona sporty dan premium model itu.

Bagi penulis papan pemuka material keras berkesinambungan dengan kemasan gabungan hitam piano serta merah menonjolkan kekemasan di dalam kabin kelihatan menarik. Gabungan warna itu juga kelihatan pada panel pintu pada bahagian hadapan.

Mengulas mengenai kokpit pula, meter kelajuan menerima gabungan analog dan digital bersaiz 4.2 inci. Ciri stereng mempunyai pelbagai butang untuk audio serta Adaptive Cruise Control, selain mempunyai padel penukaran gear di belakangnya amat memudahkan pengguna ketika pemanduan.

TEMPAT duduk belakang yang luas.
TEMPAT duduk belakang yang luas.

Searus perkembangan teknologi terkini, WR-V mempunyai tawaran teknologi pintar kenderaan iaitu Honda CONNECT yang boleh diakses hanya menerusi aplikasi sekiranya anda memiliki varian tinggi.

Antara yang boleh dilakukan pemilik ialah mengawal kunci kenderaan dari jarak jauh, memantau pergerakan dan boleh menghidupkan kenderaan di mana sahaja.

Lebih menarik perhatian penulis ada skrin sentuh bersama Apple CarPlay atau Android Auto dan Honda LaneWatch, secara standard pada semua varian. Honda Sensing iaitu Sistem Bantuan Pemandu (ADAS) pula tersedia untuk varian E dan ke atas.

Ketika penulis memandu Honda WR-V, keseimbangan menjadi perkara yang paling penting dan ternyata walaupun ketika memecut, kenderaan itu masih dalam keadaan seimbang ketika menyelusuri pelbagai bentuk muka bumi jalan raya.

Bagi penggemar melayan selekoh, perkara ini paling menarik kerana model SUV tiada masalah untuk menunjukkan prestasinya.

SESUAI untuk penggunaaan di jalan bandar.
SESUAI untuk penggunaaan di jalan bandar.

Mengendalikan sterengnya juga mudah dan boleh dikatakan begitu responsif, tetapi sedikit ringan. Justeru, pada hemat penulis SUV baharu ini sesuai untuk penggunaan di jalan bandar dan tidak begitu menyakinkan untuk pemanduan agresif.

Kesimpulannya, Honda WR-V adalah SUV yang boleh dikatakan berbaloi untuk dimiliki dari segi prestasi yang umum mengetahui Honda tidak berkrompromi mengenainya dan ciri luaran serta dalaman juga mempunyai aura premium dan sporty tersendiri.

Pengalaman penulis memandu varian RS ini juga mendapati pengendaliannya lebih berbeza berbanding varian lain kerana ada beberapa ciri yang ditala semula seperti penyerap hentak dan sistem stereng elektronik, selain padanan rim lebih besar iaitu 17 inci.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 6:17 AM