DILENGKAPI ciri premium.
DILENGKAPI ciri premium.
HM Digital

SKUTER gaya unik, Italjet Dragster, kini ditawarkan ke pasaran tempatan menerusi dua varian iaitu 125cc dan 200cc.

Ia tampil gaya unik dengan kerangka trellis dan plat aluminium krom Molybdenum menjadikannya tampil berbeza daripada kebanyakan skuter dalam pasaran global.

Skuter ini juga dilengkapi penyerap hentakan belakang hidraulik tunggal bagi pengendalian yang lebih baik.

Untuk bahagian hadapan, ia dilengkapi 'Steering Independent Syetem' (ISS) unik yang dihasilkan bersama EDI daripada Pontedera.

Ia berfungsi memisahkan stereng dan penyerap hentakan bagi lebih keselesaan dan pengendalian tepat di jalan tidak rata.

Ia juga datang dengan sistem pencahayaan LED penuh dengan indikasi dinamik sebagai ciri menarik.

Kedua-dua varian ini yang memiliki tangki bahan api sembilan liter hanya dibezakan dengan kapasiti enjin.

Dragster 125 dilengkapi enjin 124cc, 4 lejang, silinder tunggal, sejukan cecair, DOHC. Ia mampu menjana 12.5 kuasa kuda (hp) pada 9,500 rpm dan tork10.5Nm pada 7,750rpm.

Untuk Dragster 200, ia hadir dengan enjin 181cc dengan 17.5 hp pada 7,750rpm dan tork 15.5Nm pada 7,750rpm.

Untuk pasaran Malaysia, Italjet Dragster 125 dan Dragster 200 dijual pada harga RM29,500 serta RM34,800 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 6:52 AM