VESPA 946 Red ekslusif.
VESPA 946 Red ekslusif.
Mohd Razlan Salleh


PENGEDAR rasmi skuter jenama Vespa tempatan, Naza Premira Sdn Bhd memperkenalkan tiga model edisi terhad untuk peminat jenama berkenaan di negara ini.

Ketiga-tiga skuter terdiri daripada Vespa 946 Red, Sprint Carbon dan Sei Giorni adalah model eksklusif dengan harga premium.

Vespa 946 hadir dengan warna merah sepenuhnya termasuk pelana dan rim serta dikuasakan enjin silinder tunggal 159cc empat lejang tiga injap.

Dengan memiliki berat kering sekitar 147 kilogram (kg), jentera edisi terhad ini didatangkan dengan kemasan aluminium pada beberapa komponen seperti penghadang lumpur dan penutup enjin sisi.

Hadir dengan warna merah menyala, Vespa 946 mengetengahkan rekaan Vespa klasik tetapi didatangkan bersama teknologi termaju seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Cengkaman Anti-Slip Regulation (ASR) bagi memastikan jentera kekal stabil dalam permukaan jalan raya licin.

VESPA Sei Giorni dengan enjin 278cc.
VESPA Sei Giorni dengan enjin 278cc.

Edisi ini dijual pada harga RM66,000 seunit.

Bagi mereka yang mahukan skuter lebih sporty, Vespa Sprint Carbon tampil dengan imej lebih moden termasuk dijana enjin i-Get 155cc empat lejang tiga injap silinder tunggal dan sejukan udara.

Enjin mesra alam ini menawarkan kuasa 9.5 kW pada 7,750 rpm dan daya kilas 12.8 Nm pada 6,500 rpm.

Antara ciri unik skuter ini termasuklah rim bersaiz 12 inci dan slot USB pada ruang barangan di hadapan selain ABS.

Hadir dengan warna hitam saja, Vespa Sprint Carbon dijual pada harga RM17,400 seunit.

Untuk mereka yang gemar mengembara, model Sei Giorni adalah pilihan tepat dengan kelengkapan terbaik untuk sebuah skuter.

Mengambil ilham daripada jentera perlumbaan 'Sei Giorni Internazionale di Varese’ pada 1951, model ini menampilkan ciri klasik dengan kedudukan lampu utama di bahagian fender hadapan.

Dengan tawaran enjin 278cc silinder tunggal empat lejang dan empat injap sejukan cecair, skuter ini memiliki 21.2 hp pada 7,750 rpm dan 22 Nm tork pada 5,000 rpm.

Antara keistimewaan model ini adalah ruang menyimpan topi keledar besar dan pelana lebih luas serta lebar, sesuai untuk keselesaan perjalanan jarak jauh.

Dijual pada harga RM38,000 seunit, model ini hadir dengan slot USB dan lampu isyarat LED yang turut bertindak sebagai lampu nyalaan siang (DRL).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 2:33 PM