Lizam Ridzuan


REKAAN agresif dengan padanan enjin prestasi adalah ciri utama jentera motosikal segmen 'naked', 'Ducati Streetfighter V2 Baharu 2022' yang dilancarkan untuk pasaran tempatan baru-baru ini.

Selepas pelancaran, Vroom berpeluang menunggang uji motosikal itu ketika ke acara World Ducati Week 2022 (WDW 2022) yang diadakan di Bologna, Itali, baru-baru ini.

Paling menarik ialah laluan dan lokasi yang kami tunggang adalah tempat yang sering digunakan Ducati untuk melakukan ujian motosikal terbaharu.

Ia membabitkan kawasan berbukit di Loiano, Itali.

Pelepasan konvoi bermula di kilang Ducati di Borgo Panigale, yang turut disertai oleh media permotoran dari Asia Tenggara.

Kali ini, penulis perlu menyesuaikan diri dengan tunggangan lorong kanan di Eropah.

Namun, perjalanan lancar dengan kumpulan konvoi dikendalikan oleh petugas dan penunggang berpengalaman daripada Ducati Itali.

POSISI menunggang dinamik.
POSISI menunggang dinamik.

Cuaca yang panas juga antara cabaran dengan laluan awal ini banyak melalui kawasan bandar, perkampungan kecil serta laluan lurus, namun ada kalanya, selekoh tajam 'menyambut' kami.

Biarpun ini kali pertama penulis menunggang di laluan ini namun model Streetfighter V2 ini menawarkan pengendalian yang mudah sebagai jentera sport naked premium.

Sebaik berada di atas motosikal, ia meluncurkan kuasa dengan baik menerusi enjin 955cc 90∫ V2 Superquadro dengan hamburan kuasa 153 kuasa kuda (hp) pada 10,750 rpm dan tork sehingga 101.4Nm pada 9,000 rpm.

Enjin ini juga memenuhi piawaian untuk diberi penarafan Euro 5.

Melalui selekoh tajam berbukit, ia mudah dikawal dengan tukaran gear 6 kelajuan yang dibantu teknologi 'Quick Shift' Ducati.

LOKASI tunggang uji.
LOKASI tunggang uji.

Jentera ini juga dilengkapi dengan 'Big Piston Fork' (BPF) Showa 43 milimeter (mm) boleh laras pada hadapan.

Di belakang, ia dilengkapi monoshock Sachs dan lengan ayun tunggal yang lebih 16mm panjang daripada model Panigale V2, iaitu asas kepada model ini.

Pada kelajuan tinggi, penulis perlu membrek di beberapa laluan namun jentera dapat diperlahankan dengan baik serta stabil.

Ini kerana, motosikal ini dilengkapi angkup Brembo Monobloc M4.32 4-injap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Selekoh EVO Bosch dan brek cakera 320mm separa 'terapung'.

DNA sports bike.
DNA sports bike.

Pada bahagian belakang, ia dilengkapi brek cakera 245mm angkup dua injap dan ABS Selekoh EVO Bosch.

Ia menambah keyakinan penulis untuk menguji jentera ke tahap maksimum.

Didatangkan dengan kerangka Monoque dan sub kerangka tiub trelis, ia menawarkan tunggangan posisi dinamik, sesuai dengan cirinya yang agresif.

Rekaan Streetfighter V2 ini juga tampil dengan ciri tersendiri iaitu elemen 'badness' dan wajah 'joker' pada bahagian hadapan.

KENDALIAN tepat dengan ‘damper’.
KENDALIAN tepat dengan ‘damper’.

Ia adalah yang pertama untuk model Ducati menerima lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk signatur V.

Ciri lain, ia datang dengan meter Sistem Multimedia Ducati (DMS) digital sepenuhnya TFT bersaiz 4.3 untuk paparan pelbagai maklumat.

Ia memudahkan penunggang merancang perjalanan.

Model ini juga dilengkapi tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Wet dengan platform '6-axis inertial' yang mengesan sudut 'roll, yaw dan pitch' dengan semua kawalan akan diambil-alih mengikut kesesuaian keadaan oleh 'Inertial Measurement Unit' (IMU).

METER TFT.
METER TFT.

Secara keseluruhan, pengalaman menunggang di Itali sememangnya menawarkan sesuatu yang baharu termasuk memahami keadaan jalan, cuaca manakala pemandangan yang indah adalah satu bonus untuk dinikmati.

Model Streetfighter V2 Baharu ini adalah jentera yang lincah. Ia membolehkan kami mengujinya di selekoh berbukit malah cukup seronok melayan laluan hasil prestasi enjinnya.

Tayar Pirelli Diablo Rosso IV 120/70 ZR17 hadapan dan 180/60 ZR17 belakang adalah padanan yang terbaik bagi keadaan jalan yang sebegitu.

Pengendalian yang tepat dengan 'damper' pada pemegang, hamburan kuasa yang baik dan lancar selain rekaan jentera yang agresif dan berseni menjadikan jentera ini cukup bergaya sofistikated, malah ia menyerlahkan status pemiliknya.

PELANA sporty dan selesa.
PELANA sporty dan selesa.

Berat keseluruhan jentera sekitar 200 kilogram (kg). Tangki bahan api 17 liter pula menawarkan keselesaan pengendalian.

Selain prestasi, jentera ini juga dilengkapi ciri keselamatan terbaik menerusi mod tunggangan, mod kuasa, EVO ABS Selekoh Bosch, Kawalan Cengkaman Ducati (DTC) EVO 2, Kawalan Wheelie Ducati (DWC), Kawalan Brek Enjin (EBC) dan 'calibration' tayar Auto.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM101,900 (atas jalan tanpa insurans).

MONOSHOCK boleh laras.
MONOSHOCK boleh laras.

Penulis berada di Bologna, Itali untuk World Ducati Week 2022 dan Asia Ducati Week 2022 baru-baru ini

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 6:20 AM
TUNGGANG uji di Bologna, Itali.
TUNGGANG uji di Bologna, Itali.
ELEMEN aerodinamik bahagian belakang.
ELEMEN aerodinamik bahagian belakang.