MERENTASI pelbagai permukaan.
MERENTASI pelbagai permukaan.
Lizam Ridzuan


BARU-baru ini, Vroom berpeluang menunggang uji Ducati Multistrada V4 S Serba Baharu yang dilancarkan ke pasaran tempatan pada 2021.

Limpahan teknologi serta ciri keselamatan model generasi keempat ini menjadikan ia antara model pengembaraan termaju yang terdapat dalam pasaran.

Ducati Multistrada V4 S Serba Baharu hadir dengan rekaan gaya maskulin. Ia sesuai untuk pelbagai jenis permukaan jalan raya atau laluan lasak.

Selain lampu hadapan dan belakang LED, ia juga dilengkapi lampu nyalaan siang.

Secara asasnya, model ini sama dengan Multistrada V4 namun V4 S ini mempunyai beberapa ciri tersendiri.

Antaranya, suspensi hadapan fork USD boleh laras sepenuhnya dengan suspensi Skyhook Ducati yang dilengkapi larasan redaman rebound dan compression elektronik.

Ia juga hadir dengan brek hadapan separuh terapung Brembo Sylema dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) selekoh.

Elemen lain, meter TFT bersaiz 6.5 inci yang boleh disambungkan dengan sistem navigasi peta penuh Ducati Connect, Ducati

Quick Shift serta Kawalan Pelayaran serta Bebas-Tangan.

Selain itu, ia juga hadir dengan suspensi belakang dengan monoshock boleh laras sepenuhnya.

Jentera ini dikuasakan enjin 1,158cc V4 Granturismo, 4 injap setiap silinder, sejukan cecair serba baharu yang menghemburkan kuasa 170 kuasa kuda (hp) pada 10,500 rpm dan tork 125Nm pada 8,750 rpm.

Meneruskan kuasanya yang lancar, terutama di lebuh raya, dengan pecutan yang responsif pada pendikit, ia membuatkan penulis terus ingin memulasnya tanpa menyedari kelajuan semakin tinggi.

SESUAI untuk perjalanan jauh.
SESUAI untuk perjalanan jauh.

Meskipun dengan rim hadapan bersaiz 19 inci untuk melewati selekoh, penulis tetap yakin seakan-akan menunggang sebuah sportsbike hasil talaan suspensi elektronik untuk V4 S.

Menunggang dengan posisi menegak dan santai serta pemegang lebar memudahkan kawalan jentera ketika melalui jalan lasak.

Terdapat empat mod tunggangan iaitu sport, touring, enduro dan urban.

Ia bagi disesuaikan dengan keperluan yang mana enjin akan beroperasi mengikut mod.

Tangki bahan api 22 liter menawarkan jarak tunggangan sekitar 200 kilometer (km). Berat jentera pula 215 kilogram (kg) dengan jarak kelegaan jalan sekitar 220mm.

METER TFT.
METER TFT.

Model ini hadir dengan jarak roda lebih pendek iaitu 1,567mm daripada model terdahulu.

Ia menjadikan jentera ini lebih tangkas sama ada bagi pengendalian urban atau lasak.

BREK cakera dengan angkup Brembo.
BREK cakera dengan angkup Brembo.

Enjin ini juga menawarkan kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) lebih baik dengan pelindung angin boleh laras Perspex dua kedudukan manual.

Ia boleh digerakkan dengan satu jari dan amat mudah membantu menambah keselesaan menunggang atau ketika hujan.

Enjin V4 Granturismo juga menggunakan strategi menyahaktifkan silinder bank belakang semasa enjin melahu bagi meningkatkan keselesaan serta tahap getaran yang lebih rendah sama ada menunggang solo atau bersama pembonceng.

Fairing hadapan juga didatangkan dengan liang-liang udara yang membantu mengalirkan udara panas ke luar yang membantu meningkatkan kecekapan bahan api.

GAYA jentera kembara premium.
GAYA jentera kembara premium.

Enjin jentera ini juga sudah ditala dengan bunyi signatur dan untuk model ini sudah ditukar dengan model Akrapovic bagi akustik lebih sporty.

Tambah menarik, ia dilengkapi kemudahan penghidup tanpa kunci manakala ruang mengecas telefon dengan USB dekat tangki antara kemudahan tersedia.

Secara keseluruhan, Ducati Multistrada V4 S menawarkan kepelbagaian dan kesesuaian menempuh pelbagai jenis permukaan jalan atau tujuan.

Sesuai buat perjalanan jauh, ia menawarkan posisi menunggang yang selesa sama ada untuk kelajuan sederhana atau laju.

MONOSCHOCK boleh laras elektronik.
MONOSCHOCK boleh laras elektronik.

Peti simpanan barangan pada dua bahagian sisi disekalikan dengan bentuk motosikal membantu membawa pelbagai barangan keperluan dengan bentuk aerodinamik.

Enjin Granturismo lebih kecil dan ringan ini menawarkan limpahan kuasa serta tangkas sebaik pendikit dipulas.

Ciri keselamatan lain Kawalan Wheelie Ducati (DWC), Kawalan Cengkaman Ducati (DTC), Lampu Selekoh Ducati (DCL) dan Vehicle Hold Control (VHC).

Untuk pasaran Malaysia ia dijual pada harga RM170,900 dengan rim aloi dan untuk rim jejari serta warna kelabu Aviator pada tambahan harga yang akan diumumkan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 6:18 AM