JENTERA V4S ciri prestasi.
JENTERA V4S ciri prestasi.
Lizam Ridzuan


Mengambil nama sebuah bandar kecil di Itali, Borgo Panigale, Ducati Panigale adalah jentera 'sport bike' perlumbaan yang mula ditawarkan pada 2018.

Model Ducati Panigale V4 dan V4S 2022 kini sudah berada dalam pasaran tempatan dengan pembaharuan diberi pada ciri aerodinamik, ergonomik, enjin, casis dan elektronik.

Dijana enjin 1,103cc Desmosedici Stradale V4 dengan teknologi motoGP, ia mampu menjana 215.5 kuasa kuda (hp) pada 13,000 rpm dan tork 123.6Nm pada 9,500 rpm.

Jentera yang dibangunkan menerusi teknologi sukan permotoran itu datang dengan empat konfigurasi iaitu'full', 'high', 'medium' dan 'low'.

Mod 'full' dan 'low' adalah ciri terbaharu dibangunkan. Bagi mod 'high' dan 'medium', ia adalah elemen yang dikekalkan daripada model terdahulu.

Mod ini semua menawarkan kuasa dan pengendalian lebih sporty terutama 'full power' dengan tukaran tork setiap gear lebih tulen, seterusnya mengurangkan unsur bantuan elektronik.

FORK kawalan elektronik.
FORK kawalan elektronik.

Ia sesuai bagi kegunaan atas litar terutama untuk memecut di selekoh pantas, laluan lurus panjang serta permukaan bercengkaman tinggi bagi menguji kehebatan prestasinya.

Selain itu, Panigale V4S dan V4S juga datang dengan papan meter berciri jentera perlumbaan superbike dunia (SBK) serta ciri LED yang memaparkan indikasi tukaran gear dan rpm.

Ia juga datang dengan mod Track Evo yang dibangunkan menerusi maklum balas daripada pelumba MotoGP.

SUSPENSI hadapan dan belakang Ohlins.
SUSPENSI hadapan dan belakang Ohlins.

Ia adalah pilihan yang ditambah untuk ketetapan jenis litar dan jalan raya.

Jentera ini juga dilengkapi Kawalan Brek Enjin EVO baharu dengan dua perisian.

Ia membantu meningkatkan kestabilan, ketepatan dan terarah ketika membrek atau memasuki selekoh.

Selain itu, tukaran gear juga semakin lancar dengan Ducati Quick Shift (DQS) baharu.

REKAAN belakang ciri aerodinamik.
REKAAN belakang ciri aerodinamik.

Rekaan estetika dan ergonomik pada jentera ini juga menerima peningkatan melalui rekaan grafik oleh Ducati Centro Stile.

Ciri lain, jentera ini datang bersama rim tetuang tiga jejari (V4S), tayar Pirelli DiabloTM Supercorsa SP dan angkup brek cakera Brembo Stylema bagi kedua-dua varian.

Untuk pasaran Malaysia, Ducati Panigale V4 dan V4S 2022 masing-masing dijual pada harga RM145,900 serta RM188,900.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 6:30 AM