Lizam Ridzuan

DUCATI Streetfighter V4 Serba Baharu yang dilancarkan baru-baru ini menawarkan rekaan ‘super-naked’.

Ia tampil dengan ciri prestasi dan diinspirasikan daripada MotoGP.

Ia juga seakan-akan model superbike Panigale V4, cuma ditanggalkan ‘fairing’.

Pemegang lebih lebar dan tinggi juga diperkenalkan sebagai konsep untuk model sah jalanan ini.

Motosikal dilengkapi teknologi termaju ini turut dipilih sebagai ‘Motosikal Paling Cantik’ ketika dipertontonkan di Pameran Motosikal dan Aksesori Antarabangsa (EICMA) 2019 di Milan, Itali.

Ia tampil dengan konsep minimalis melalui dua varian iaitu Streetfighter V4 dan Streetfighter V4 S.

DUCATI Streetfighter V4 dan V4 S.
DUCATI Streetfighter V4 dan V4 S.

Lampu hadapan LED penuh dan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-V umpama karakter ‘Joker’ hasil air tangan Pusat Penggayaan Ducati di Bologna, Itali.

Untuk mengurangkan penonjolan sisi sebaik mungkin, pasukan aerodinamik memutuskan untuk menggunakan sayap ‘biplane’ sebagai konfigurasi sayap terhad dengan sayap atas dan bawah berfungsi secara bebas.

Ia membantu ‘downforce’ sehingga 28 kilogram (kg) pada kelajuan tertinggi.

Untuk kesan aerodinamik terbaik, motosikal ini dibangunkan menggunakan simulasi ‘Computational Fluid Dynamics’ (CFD) yang menawarkan prestasi tambahan untuk kestabilan maksimum pada kelajuan tinggi dan ketika membrek.

Streetfighter V4 dijana enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale yang menghamburkan kuasa kuda 208hp dan tork 123Nm dengan ciri jentera MotoGP.

Kuasa dan tork boleh dipertingkatkan sehingga 220hp dan 130Nm dengan memasang ekzos prestasi Ducati daripada Akrapovic.

Ducati Streetfighter V4 Serba Baharu untuk litar dan kegunaan harian.
Ducati Streetfighter V4 Serba Baharu untuk litar dan kegunaan harian.

CIRI aerodinamik berteknologi tinggi.
CIRI aerodinamik berteknologi tinggi.

Ia juga mengurangkan berat sekitar enam kilogram (kg).

Bagi varian S, berat keseluruhannya sekitar 178 kilogram. Ia direka sesuai bagi kegunaan urban atau prestasi di litar dengan kelajuan maksimum mencecah 270 kilometer/sejam (km/j).

Bagi keselesaan pengendalian di bandar, desa atau litar perlumbaan, motosikal ini direka dengan posisi menunggang sporty selain mengekalkan gaya ‘streetfighter’.

Pelananya berketinggian 845 milimeter (mm) dan berketebalan 60 mm, ia bagi disesuaikan dengan posisi ‘footpeg’ untuk keselesaan menunggang.

Untuk ciri elektronik termaju, ia dipadankan dengan instrumen TFT generasi kedua bersaiz lima inci berdefinisi tinggi dengan dua rekaan grafik berbeza untuk trek atau jalan raya dengan Sistem Multimedia Ducati (DMS).

Selain itu, ia juga dibekalkan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Selekoh Evo, Kawalan Cengkaman Ducati (DTC), Kawalan Gelinciran Ducati (DSC), Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Ducati Power Launch (DPL), Ducati Quick Shift up/down (DQS) EVO 2, Kawalan Brek Enjin dan Suspensi Elektronik Ducati (DES).

Untuk brek, ia dilengkapi angkup monoblok Brembo Stylema berkembar hadapan dengan brek cakera 330 mm dan brek belakang pula dilengkapi cakera tunggal 245 mm.

V4 S pula menawarkan kawalan dan keselesaan yang lebih responsif serta tepat, menerima fork Ohlins NIX-30 dan penyerap hentakan Ohlins TTX 36 dengan kawalan sistem Ohlins SMart EC 2.0 serta untuk ‘steering damper’.

Model ini pernah dipasarkan di negara ini sehingga 2015 dengan dua varian iaitu Streetfighter 848 dan Streetfighter 1098 yang pada ketika itu dijual pada harga bermula RM99,333.

Ducati Streetfighter V4 Serba Baharu bakal menjengah ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Ia dibawa masuk menerusi pengedar utamanya Next Bike Sdn Bhd (Ducati Malaysia).

PANEL meter TFT.
PANEL meter TFT.

WAJAH hadapan mengambil konsep ‘Joker’.
WAJAH hadapan mengambil konsep ‘Joker’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 7:00 AM