CIRI sedan eksekutif premium.
CIRI sedan eksekutif premium.
Lizam Ridzuan


RAMAI yang mengagumi barisan kenderaan BMW kerana ia bukan saja ada kaitan dengan prestij malah prestasi dan kualitinya.

Ia termasuk BMW 5 series. Ia bukan sekadar sedan eksekutif yang sahaja menawarkan ciri premium malah turut diberi sentuhan elemen sporty.

Sejak diperkenalkan pada 1972, ia sudah memasuki generasi ketujuh dan adalah model kedua BMW terlaris selepas 3 Series.

Vroom baru-baru ini berpeluang memandu uji model BMW 530i M Sport Baharu yang juga model pemasangan tempatan (CKD).

Untuk rekaan luaran, apa yang menampakkan kelainannya ialah rekaan bampar hadapan dan belakang dengan salur masuk udara yang lebih besar.

Rekaan gril aktifnya juga unik yang mana ia akan terbuka sebaik kenderaan bergerak bagi pengudaraan dan aerodinamik lebih baik.

Ia juga dilengkapi lampu hadapan laserlight dan belakang LED dengan bentuk L, ia menambah keunikan model ini yang menampilkan elemen 3D.

Rim aloi 19 inci Y-Spoke 845 M Bi-Colour Jet Black, dwi-ekzos bentuk trapezium dan logo M pada sisi kenderaan menyerlahkan elemen sporty model ini.

Memasuki ruang kabin, ia cukup menyerlah dengan kerusi kulit Dakota gelap malah untuk pemandu dan penumpang hadapan, mereka turut 'menerima' kerusi sport masing-masing.

Untuk pemandu, pengeluar menyediakan papan pemuka kemasan Aluminum Rhombicle Smoke Grey dan krom mutiara dengan BMW Gesture Control serta pemain multimedia BMW LiveCockpit Professional dengan monitor bersaiz 12.3 inci.

RUANG kabin dengan rona gelap.
RUANG kabin dengan rona gelap.

Sistem kualiti bunyi terbaik dengan Harman Kardon 16 pembesar suara melengkapi elemen akustik pada model ini.

Ia juga datang dengan roda stereng kulit M, pedal M-Specific serta 'head up display' bagi kemudahan pemandu untuk fokus kepada pemanduan.

Sebagai sedan premium, ia dilengkapi bumbung suria serta suasana pencahayaan dalaman dengan 11 pilihan warna selain sistem penyaman udara empat zon.

Untuk prestasi, ia dijana dengan enjin 1,998cc empat silinder selari TwinPower Turbo yang digabungkan dengan Twin-Scroll Turbocharger dengan Valvetronic Fully Variable.

Ia menjana 252hp pada 5,200 hingga 6,500rpm serta tork 350Nm pada 1,450 hingga 4,800.

Ia dilancarkan dengan transmisi 8 kelajuan Steptronic Sport bagi pengendalian lebih responsif pada pelbagai kelajuan.

ENJIN TwinPower Turbo.
ENJIN TwinPower Turbo.

Melalui pengalaman penulis, untuk model-model sebegini, prestasi pengendalian adalah di tahap terbaik dengan suspensi adaptif termasuk pada bahagian hadapan yang dilengkapi 'double track control arm axle' serta 'separate lower track arm level'.

Selain itu, ia dilengkapi gandar belakang Five-Link serta Kawalan Peredam Dinamik.

Tidak hanya kepuasan kepada pemanduan, BMW 530i M Sport dilengkapi ciri keselamatan terbaik.

Antaranya Kawalan Kestabilan Dinamik dengan Kawalan Cengkaman Dinamik, Kawalan Brek Membelok, Kawalan Brek Dinamik dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Bantuan Brek.

Melalui tangki bahan api 59 liter, ia mampu menjangkau perjalanan sehingga 700 kilometer (km) dengan pelbagai gaya pemanduan termasuk mencuba tiga mod iaitu 'Comfort', 'Eco' dan 'Sport'. Ruang butnya pula seluas 530 liter.

Untuk pasaran Malaysia, BMW 530i M Sport dijual pada harga RM384,941(atas jalan tanpa insurans dan cukai jualan).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 6:50 AM