Lizam Ridzuan

WALAUPUN bersifat sedan eksekutif bisnes, ia bukan calang-calang kenderaan yang turut berciri sporty selain menjanjikan prestasi.

Tidak sekadar itu, bagi melengkapi ciri teknologi masa hadapan, ia juga menerima sentuhan kuasa tambahan daripada Hibrid Elektrik Plug-In (PHEV) untuk lebih mesra alam.

Minggu ini, Vroom Metro Ahad berkesempatan menguji model terbaharu BMW 530e M Sport dengan teknologi eDrive, satu daripada tiga varian 5 Series yang ditawarkan di negara ini.

Untuk rekaan luaran ia masih mengekalkan ciri rekaan signatur ginjal pada bahagian hadapan dan gril radiator pada bahagian bawah dengan Aliran Udara Aktif bagi keupayaan erodinamik maksimum.

GAYA sedan sporty. FOTO Roslin Mat Tahir
GAYA sedan sporty. FOTO Roslin Mat Tahir

Ia diserlahkan dengan garisan bayangan kilatan BMW Individual pada keseluruhan reka bentuk yang dipadankan dengan logo M Sport pada sisi kenderaan.

Hadir dengan elemen prestasi, BMW 530e M Sport ini juga dilengkapi rim aloi ringan 19 inci Jejari Berkembar 664 M berwarna hitam dan angkup brek M Sport berwarna biru.

Bagi memantapkan lagi gaya sentuhan sporty, ekzos berkembar di bahagian belakang kenderaan dengan bentuk trapezoid krom antara DNA sukan permotoran yang diketengahkan.

EKZOS trapezoid ciri DNA sukan permotoran. FOTO Roslin Mat Tahir
EKZOS trapezoid ciri DNA sukan permotoran. FOTO Roslin Mat Tahir

Menjengah ke bahagian dalaman, kekemasan rekaan pada papan pemuka serta ciri terkini yang disediakan memudahkan penulis berasa serasi dengan model ini.

Kerusi pemandu dan penumpang hadapan sport larasan elektronik dengan fungsi memori, kemasan kulit Dakota yang digabungkan dengan elemen aluminium Rhombicle dan krom Pearl gaya ringkas namun menawan.

Ini ditambah dengan elemen M yang tertera pada ‘sill’ pintu yang bercahaya, stereng dan pedal daripada M Sport.

Sistem hiburan dan multimedia dengan ketersambungan Bluetooth serta USB bagi penggunaan telefon pintar yang boleh dihubungkan dengan kenderaan.

Semua ini boleh dilaras pada skrin sesentuh 10.25 inci yang turut memaparkan fungsi navigasi, kamera undur, larasan fungsi kenderaan dengan sistem 12 pembesar suara berkualiti tinggi.

Buat pemandu dengan paparan instrumen pelbagai fungsi berdefinisi tinggi 12.3 inci yang akan bertukar mengikut mod pemanduan dipilih.

KEMASAN dalaman kulit Dakota dan krom. FOTO Roslin Mat Tahir
KEMASAN dalaman kulit Dakota dan krom. FOTO Roslin Mat Tahir

Untuk kemudahan tambahan dua pengecas USB disediakan dan salur penyaman udara buat penumpang belakang yang boleh dilaras dengan empat zon mengikut tahap berbeza.

Memandu model yang berteknologi elektrik dan hibrid ini menyajikan kuasa yang dialirkan sesuai pada sebarang kelajuan.

Dijana enjin 1,998 cc TwinPower Turbo serta tiga mod pemanduan iaitu Sport, Eco dam Comfort serta pilihan eDrive jika inginkan kuasa elektrik sepenuhnya.

Menerusi kotak gear 8 kelajuan Steptronic, ia menjana 184 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm dan 290Nm pada 1,350 hingga 4,250 rpm.

Enjin elektrik pula menambah kuasa sebanyak 83 Kw dari 0 hingga 3,170 rpm dan tork 250Nm pada 0 hingga 3,170 rpm.

Ia juga mampu mencapai kelajuan sehingga 235 kilometer/sejam (km/j) dan pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam tempoh 6.2 saat.

Melalui suspensi yang ditala oleh M Sport, ia menyajikan pengendalian yang terbaik pada pelbagai kelajuan dan paling memberi kesan ialah ketika melewati selekoh atau jalan tidak rata.

SISTEM multimedia 10.25 inci. FOTO Roslin Mat Tahir
SISTEM multimedia 10.25 inci. FOTO Roslin Mat Tahir

Secara keseluruhan model ini, walaupun sebagai model premium untuk segmen sedan bisnes, ia diserlahkan dengan gaya sporty M Sport.

Ciri PHEV melengkapinya dengan opsyen untuk penggunaan tenaga pilihan sama ada bahan api petrol, elektrik dan hibrid.

Mod pemanduan dan ciri Bantu Parkir untuk kemudahan kepada pemandu dalam menyesuaikan corak pemanduan dan meletak kenderaan ruang yang terhad.

Lampu suasana 11 pilihan menjadikan ruang dalaman tampil lebih sempurna terutama pada waktu malam mengikut ‘mood’ pilihan pemandu.

Ciri keselamatan terbaik ditawarkan dengan Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) melalui Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Kawalan Brek Selekoh (DBC), Sistem Brek-Anti Kunci (ABS) dengan Bantu Brek, 6 beg udara dan ISOFIX.

RUANG but dan pengecas sistem elektrik. FOTO Roslin Mat Tahir
RUANG but dan pengecas sistem elektrik. FOTO Roslin Mat Tahir

Model 530e ini juga menerima bantuan pemanduan seperti Amaran Pelepasan Laluan dan Menukar Laluan serta Amaran Pelanggaran Hadapan, Pencegahan Pelanggaran dan Trafik Melintas Belakang.

Untuk mod elektrik melalui sistem pengecasan 15 amp, ia mengambil masa sekitar empat jam untuk penuhkan kuasa bateri elektrik yang boleh digunakan sehingga 50 km.

Satu isian penuh 46 liter bahan api membolehkan ia bergerak sejauh 500km dengan pelbagai kelajuan dan mod pemanduan, namun tertakluk pada faktor muatan dan geografi.

Muatan but sekitar 410 liter dengan platform boleh laras untuk lebih ruang kerana pada bahagian bawahnya diletakkan bateri lithium-ion hibrid.

ENJIN 2.0 liter TwinPower Turbo. FOTO Roslin Mat Tahir
ENJIN 2.0 liter TwinPower Turbo. FOTO Roslin Mat Tahir

Antara warna pilihan yang ditawarkan ialah Hitam Sapphire atau Kelabu Sophisto (seperti model pandu uji ini) yang dipadankan sama ada Hitam Atau Biru Night untuk kemasan dalaman kulit Dakota. Juga Bluestone atau Putih Alpine dengan padanan kemasan kulit berwarna hitam.

BMW 530e M Sport ini adalah pemasangan tempatan (CKD) dijual pada harga RM338,800 (atas jalan tanpa insurans) selepas insentif pengurangan duti eksais kerajaan sebanyak RM73,000 daripada harga sebelum itu RM410,929.

Ia didatangkan dengan jaminan lima tahun waranti pengeluar serta program servis berjadual percuma. #vroomHM

BMW 530e M SPORT

• ENJIN: 1,998 cc TwinPower Turbo, Hibrid dan Motor Elektrik

• KUASA MAKSIMUM: 184 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm

• TORK MAKSIMUM: 290Nm pada 1,350 hingga 4,250 rpm.

• TRANSMISI: 8 kelajuan Steptronic

• KAPASITI TANGKI BAHAN API: 46 liter

• CIRI KESELAMATAN: Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) melalui Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Kawalan Brek Selekoh (DBC), Sistem Brek-Anti Kunci (ABS) dengan Bantu Brek, 6 beg udara dan ISOFIX.

• HARGA: RM338,800 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 6:35 AM