Lizam Ridzuan


TEMA suasana 'pantai' dijadikan konsep modifikasi Toyota Corolla KE70 keluaran 1982 sebelum dijelmakan kepada gerai 'Aloha Burger'.

Pemilik Aloha Burger, Fakhrulrudin Noor atau lebih dikenali sebagai Janggo Aloha, 38, membeli kereta terpakai itu tahun lalu pada harga RM700.

Katanya, ia dibeli bertujuan menyertai acara binaan khas Art of Speed (AOS 2020), namun pandemik yang melanda menyebabkan acara itu tertangguh.

Sebagai peniaga jalanan, dia mahu mengembangkan perniagaan sebelum mendapat idea untuk mengubah kereta berkenaan secara drastik.

"Saya mendapat idea ketika bercuti di pulau di sekitar Malaysia. Saya lihat kebanyakan chalet menggunakan bahan terpakai, namun sangat berseni dan kreatif.

"Saya kemudian melakukan ubah suai dengan memotong bumbung tempat duduk penumpang dan but untuk dijadikan ruang gerai burger unik ini," katanya yang berasal dari Gopeng, Perak.

Katanya, semua kerja binaan khas ini dilakukan sendiri menggunakan bahan asas seperti papan lapis, aluminium dan pintu kereta lama.

Pengalamannya yang pernah bertugas sebagai pengurus resort di utara tanah air yang memerlukannya melakukan kerja penyelenggaraan digunakan sebaik-baiknya untuk mengubah suai kereta berkenaan menjadi gerai burger.

Katanya, ia mengambil masa 10 hari untuk disiapkan dan paling penting adalah aspek keselamatan daripada segi kekukuhan.

DUA menu signatur menyelerakan.
DUA menu signatur menyelerakan.

Ini kerana kereta berkenaan perlu bergerak dari rumah ke lokasia berniaga sejauh kira-kira 500 meter.

"Kos keseluruhan, termasuk membeli kereta ini, kira-kira RM1,800. Sebahagian besar hiasannya menggunakan bahan terpakai terdiri daripada zink, kayu palet, papan tanda, pokok kayu, rotan dan buluh," katanya.

Bermula Jun tahun lalu, kereta berkenaan beroperasi sebagai gerai burger dan memulakan perniagaannya di Setia Alam, Selangor sehingga ke hari ini.

RUANG pemandu diubah suai untuk lebih muatan barangan.
RUANG pemandu diubah suai untuk lebih muatan barangan.

Pengubahsuaian lain turut dilakukan ialah pada bahagian pemandu dengan meletakkan kerusi plastik ala 'bucket'.

Bahagian kerusi penumpang hadapan turut ditanggalkan dan digantikan tapak papan lapis untuk meletak barangan.

Tiada perubahan yang dilakukan pada enjin 1.3 liter Corolla itu dan ia kekal seperti ketika ia dibeli.

KONSEP pantai menarik perhatian.
KONSEP pantai menarik perhatian.

Berkaitan dengan warna kereta ini, Fakhrulrudin mengetengahkan konsep 'rat rod' Hawaii dengan elemen pantai menjadikan ia kelihatan lebih ranggi.

Ia menggunakan cat biasa dan semburan tin. Coraknya pula ditukar setiap tiga hingga empat bulan mengikut kesesuaian untuk tampil segar dan menarik.

Menyentuh perancangan masa depan, Fakhrulrudin berkata, 'kereta merangkap gerai burger' berkenaan akan difokuskan untuk pameran.

BAHAGIAN belakang kenderaan kini sebagai gerai burger.
BAHAGIAN belakang kenderaan kini sebagai gerai burger.

Katanya, ia untuk berkongsi inspirasi dan idea dengan orang ramai bagi mereka menghasilkan hasil kerja tangan unik sendiri.

"Saya merancang membeli sebuah bas mini untuk dijadikan gerai bergerak dengan konsep sebegini dan pada masa sama ia juga boleh digunakan untuk menyertai acara jemputan khas pada masa hadapan," katanya.

Aloha Burger menawarkan lebih 17 menu berasaskan burger hasil ramuan dan ciri tersendiri.

Kata Fakhrulrudin, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan terhadap perniagaan, dengan usaha dan tarikan seperti itu, ia diharap kekal menarik orang ramai singgah di gerainya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 6:45 AM
MODIFIKASI Toyota Corolla KE70 menjadi gerai burger.
MODIFIKASI Toyota Corolla KE70 menjadi gerai burger.