Lizam Ridzuan

Sebagai peniaga, sudah pasti cara yang unik membantu dalam memasarkan produk dan tidak terkecuali buat Muhammad Safwan Subry, 35, pemilik 'Kaffeine Foodmachine' dari Alor Star, Kedah.

Untuk tampil lain daripada yang lain, Safwan mengubah suai Volvo 240 GL keluaran 1985 yang diberi sentuhan gaya kafe bergerak untuk menjual kopi 'nitro cold brew'.

GAYA gerai kopi ‘nitro cold brew’ bergerak.
GAYA gerai kopi ‘nitro cold brew’ bergerak.

Kereta itu dibeli pada 2020 dengan harga RM3,000. Antara ubah suai dijalankan ialah baik pulih asas, menambah aksesori seperti rak bumbung, tong dram sebagai papan tanda dan rim besi bersaiz 16 inci.

"Pemilik asal menjaga kereta ini dengan sangat baik, oleh itu tidak banyak kos baik pulih perlu dikeluarkan.

"Saya memilih Volvo 240 ini kerana ruang but yang luas bagi meletakkan enam tong 'keg' kopi di dalamnya," katanya.

VOLVO 240  keluaran 1985.
VOLVO 240 keluaran 1985.

Selain itu, ruang but itu turut memuatkan tong gas nitrogen dan di atas penutup pintu but, ditambah saluran paip (tap) kopi untuk dihidang kepada pelanggan.

Untuk memasang tap yang dibeli dari China, Safwan perlu menebuk pintu but bagi memudahkan aliran air kopi ke atas.

"Kebanyakan kerja teknikal ini saya lakukan sendiri, pelajarinya melalui YouTube. Ia cukup menjimatkan selain menambah kemahiran dan pengalaman baharu.

"Kereta dicat warna hitam matt dan saya melakukannya sendiri," katanya.

RUANG but meletak tong bancuhan kopi.
RUANG but meletak tong bancuhan kopi.

Safwan bukan sahaja menyediakan kopi beraroma segar malah pelanggan seakan-akan menikmati minuman itu terus dari kafe.

Selain itu, Safwan masih mengekalkan enjin asal 2.4 liter dengan kotak gearmanual lima kelajuan dan tiada sebarang modifikasi dilakukan pada bahagian itu bagi memastikan kereta sentiasa dalam keadaan baik dan lancar.

SALURAN air kopi di atas but.
SALURAN air kopi di atas but.

Perancangan masa depannya ialah mahu meluaskan perniagaannya dengan menyediakan sekurang-kurangnya sebuah kereta nitro cold brew di seluruh negeri.

Buat masa ini, Safwan menyediakan minuman membabitkan empat jenis kopi iaitu Italian, Indonesia Sumatra Mandheling, Colombia Supremo dan El Salvador Casablanca.

Selain Volvo, Safwan juga memiliki sebuah bas sekolah Mercedes-Benz O 309D tahun 1986 yang dijadikan rak makanan untuk penyediaan menu hidangan di lokasi perniagaannya di Kafe Adik Kakak.

SAFWAN bersama kopinya.
SAFWAN bersama kopinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 6:40 AM