PERODUA catat jualan tertinggi pada Jun 2020.
PERODUA catat jualan tertinggi pada Jun 2020.
Lizam Ridzuan

PERUSAHAAN Otomobil Kedua (Perodua) mencatatkan jualan tertinggi pada Jun tahun ini yang dianggarkan sebanyak 21,250 unit dan menyumbang keseluruhan jualan Perodua setakat tahun ini (YTD) berjumlah 74,000 unit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan pada 5 Jun lalu membolehkan mereka kembali menjana jualan hampir tiga kali ganda berbanding Mei iaitu 7,886 unit.

"Kenaikan jualan ini juga membolehkan kami membantu ekosistem pembekal dan pengedar yang mana kami membelanjakan hampir RM500 juta untuk pembelian komponen tempatan pada Jun," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Selain pengurangan harga sekitar tiga hingga enam peratus untuk model-model kenderaan mereka sehingga hujung tahun ini, Perodua juga berada di tahap kapasiti penuh serta kerja lebih masa maksimum dalam memastikan pelanggan menerima kenderaan mereka secepat mungkin.

Selain pengeluaran dipertingkatkan, lanjutan waktu operasi pusat servis serta badan dan cat (B&P) dilakukan, juga para pelanggan ingin melakukan servis perlu membuat temujanji terlebih dahulu.

Ketika Mac sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Perodua berjaya menjual sebanyak 8,601 unit kenderaan sebelum penutupan operasi selama dua bulan.

"Kami bersyukur kerana berjaya bangkit kembali selepas dua bulan operasi dibuka di seluruh negara dan optimis serta berharap momentum ini akan berterusan,"

"Sebagai syarikat kenderaan terbesar di Malaysia daripada segi jumlah, kami terus memberikan komitmen kepada kerajaan membantu industri dan ekosistem termasuk mengekalkan pekerjaan agar semua dapat menempuhi fasa yang mencabar ini, "

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 7:56 PM