PERODUA MYVI
PERODUA MYVI
Lizam Ridzuan


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengumumkan kesemua modelnya diturunkan harga (atas jalan tanpa insurans) di antara tiga hingga enam peratus sepanjang tempoh pengurangan cukai yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk' Zainal Abidin Ahmad berkata walaupun tempoh itu bermula 15 Jun 2020 namun Perodua akan memberikan rebat tunai itu bermula hari ini.

"Ini adalah kesempatan terbaik buat orang ramai memiliki kenderaan Perodua dan boleh kunjungi ke mana-mana pusat pameran serta berbincang dengan penasihat jualan kami untuk jumlah rebat yang ditawarkan mengikut model serta senarai penuh akan berkuatkuasa 15 Jun ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Melalui ucapan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun lalu, Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelbagai langkah dan insentif untuk merangsang ekonomi di sebalik krisis COVID-19 yang sedang melanda negara.

Antara insentif itu ialah membantu industri automotif termasuk pengecualian cukai jualan 100%

bagi kenderaan pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) dan pengecualian 50% bagi

kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga akhir tahun ini.

"Melalui pengecualian penuh cukai kenderaan CKD ia bukan sahaja memberi impak positif kepada pelanggan malah ekosistem yang terdiri daripada pengeluar, pembekal dan pengedar bagi menjana kembali jualan kenderaan baharu di negara ini," katanya.

Untuk lima bulan pertama 2020, Perodua berjaya menguasai pasaran dengan 41 peratus melalui jualan 52,920 kenderaan berbanding jumlah keseluruhan industri (TIV) yang dianggarkan sebanyak 129,401 unit tahun ini (YTD).

Selain itu kandungan tempatan melebihi 90 peratus untuk barisan modelnya melalui perbelanjaan sekitar RM5.4 bilion pada tahun lalu disalurkan bagi pembelian komponen daripada pembekal tempatan.

"Sebagai pengeluar kenderaan terbesar daripada segi jumlah di negara ini, kami sedia untuk memberikan komitmen kepada kerajaan untuk membantu industri automotif menempuhi fasa sukar ini," katanya.

Antara barisan model Perodua yang ditawarkan di negara ini ialah Myvi, Axia, Bezza, Aruz dan Alza dan harga rasmi akan mula dimuat naik di laman web Perodua bermula petang nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 11:16 AM