Lizam Ridzuan

SEJAK diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2016, kenderaan utiliti sukan (SUV) Volvo XC90 mengubah landskap rekaan untuk kenderaan jenama Volvo sehingga ke hari ini.

Model ini yang dilancarkan sempena ulang tahun ke-50 Volvo di Malaysia menawarkan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) yang juga pertama dipasang secara tempatan (CKD).

Namun yang paling penting ialah ia model pertama dibangunkan di atas platform baharu ‘Scalable Product Architecture’ (SPA) yang kini menjadi ciri utama rekaan signatur Volvo secara global.

Vroom Metro Ahad berkesempatan memandu uji model edisi 2020 Volvo XC90 T8 ‘Incription Plus’ yang kekal dengan ciri premium dan elegannya.

Model generasi kedua ini masih mengekalkan bentuk asal dengan beberapa ciri yang diberi pembaharuan untuk gaya lebih segar.

Antaranya ialah pada rekaan bampar hadapan, gril kemasan baharu serta lampu hadapan LED penuh dengan pancaran tinggi aktif dan lampu nyalaan siang (DRL).

VOLVO XC90 T8.
VOLVO XC90 T8.

Sebagai model 2020, ia didatangkan dengan rim aloi ‘Black Diamond’ bersaiz 20 inci baharu dengan padanan saiz tayar 275/45R20.

Untuk bahagian dalaman, ia masih mengekalkan elemen sama, namun hadir dengan tempat duduk baharu daripada kulit ‘Nappa’ dengan warna Linear Walnut.

Tuil gear rekaan baharu diperkenalkan melalui material kristal jenama Sweden Orrefors adalah kelainan yang ditawarkan untuk model XC90 T8.

Elemen lain ialah ciri tablet sambungan sensus sembilan inci pada papan pemuka dengan skrin sentuh.

Ia turut dimuatkan dengan fungsi kamera undur 12 pengesan serta paparan ‘bird’s eye view’ bagi memudahkan urusan keluar masuk parkir.

Sebagai varian paling tinggi XC90 di negara ini, Inscription Plus didatangkan dengan 19 pembesar suara premium jenama Bowers & Wilkins membolehkan penumpang menikmati muzik dan bunyi terbaik dengan ciri akustik berkualiti tinggi.

RUANG dalaman premium.
RUANG dalaman premium.

Bumbung panorama memberi lebih pencahayaan semula jadi serta pemandangan lebih menarik untuk keseluruhan penumpang.

Papan pemuka, konsol tengah dan pintu pula dihiasi elemen kayu sebenar.

Model XC90 ditawarkan dengan tujuh tempat duduk termasuk ciri inovatif pada baris kedua untuk tiga penumpang dan kerusi boleh dilaras untuk kanak-kanak di tengah selain barisan ketiga untuk dua dewasa.

Bagi tujuan membawa lebih muatan, semua kerusi di belakang boleh direbah dengan mudah serta fleksibel bagi disesuaikan dengan keperluan perjalanan anda.

Untuk pemanduan, enjin berkembar T8 1,969cc suntikan Sistem Pengecas Turbo dan Kuasa Pengecas dengan motor elektrik menghasilkan 407 kuasa kuda dan daya tork sehingga 640Nm.

Ia digerakkan pacuan semua roda untuk tenaga yang lancar serta meminimumkan penggunaan bahan api dengan penghasilan emisi serendah 49g/km.

Teknologi mesra alam Drive-E ini juga sebagai indikasi teknologi masa depan Volvo dengan pilihan menggunakan kuasa elektrik bagi menyumbang kepada penjagaan alam sekitar.

ENJIN berkembar 2.0 liter.
ENJIN berkembar 2.0 liter.

Enam mod boleh dipilih termasuk hibrid dengan hanya menekan satu punat untuk menukar kepada perjalanan tanpa emisi dan senyap menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya apabila ia mampu bergerak sejauh 40 kilometer (km).

Kuasa yang berterusan termasuk kelancaran transmisi lapan kelajuan automatik Geartronic. Ia cukup responsif malah sentiasa mengalirkan tenaga yang diperlukan sebaik pedal minyak ditekan.

Casis baharu untuk pengendalian lebih mantap disempurnakan dengan sistem gantungan hadapan ‘double wishbone’ dan suspensi udara kawalan elektronik lima mod pilihan.

Secara keseluruhan, model SUV daripada Volvo ini bukan sekadar elegan malah dilengkapi ciri pemanduan dan limpahan keselamatan terbaik.

Ia membabitkan Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Sistem Maklumat Titik Buta (BLIS), Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Kestabilan Elektronik (ESC), Bantu Parkir, Isofix, Beg udara dua peringkat dan IntelliSafe untuk pemanduan dalam bandar.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Crystal White Pearl, Hitam Onyx, Denim Blue Metallic, Onyx Black Metallic, Pebble Gret Metallic dan yang dipandu uji ini ialah Thunder Grey Metallic.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM410,088 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun jaminan tanpa had perbatuan ditawarkan.

KAPASITI tujuh penumpang.
KAPASITI tujuh penumpang.

VOLVO XC90T8 TWIN ENGINE INSCRIPTION PLUS

• ENJIN: 1,969cc,4 silinder,Sistem Pengecas Turbo dan Kuasa Pengecas

• KUASA MAKSIMUM: 407hp pada 5,700rpm

• TORK MAKSIMUM: 640Nm pada 2,200 hingga 5,400rpm

• KAPASITI PETROL: 70 liter

• CIRI KESELAMATAN: Kawalan Jelajah Adaptif (ACC),Sistem Maklumat, Titik Buta (BLIS), BrekAnti-Kunci (ABS),Sistem Kestabilan Elektronik(ESC), Bantu Parkir, Isofix, Beg udara dua peringkat dan banyak lagi.

• HARGA: RM410,088(atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 7:18 AM