V60 tampil gaya berbeza.
V60 tampil gaya berbeza.
Lizam Ridzuan


VOLVO Car Malaysia memperkenalkan model 'wagon' Volvo V60 Recharge T8 Baharu ke pasaran tempatan yang tampil dengan ciri teknologi mobiliti termaju.

Ia ditawarkan dengan ciri hibrid plug-in (PHEV), yang terbaharu dalam barisan kenderaan Volvo di negara ini.

V60 ini dipadankan dengan enjin 1,969 petrol Drive-E dengan pengecas turbo dan pengecas super.

Ia menjana kuasa 320hp dan tork 400Nm serta didatangkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik Geartronic.

Motor elektriknya pula menghasilkan 407hp dan tork 640Nm. Selain karbon rendah, dengan satu pengecasan bateri elektrik penuh, ia mampu bergerak sehingga 49 kilometer (km).

Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump berkata, pengenalan model ini adalah langkah yang tepat pada masanya dalam strategi elektrifikasi jenama itu.

KABIN premium.
KABIN premium.

"Ia juga seiring dengan aspirasi kami untuk menawarkan model kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang 2030 selain melangkah ke arah masa depan yang lebih mampan," katanya.

Sesuai sebagai model wagon, ia datang dengan ruang kabin selesa serta kapasiti kargo sehingga 519 liter.

Bagi model ini, antara yang turut ada ialah kluster meter Paparan Digital Adiptif TFT bersaiz 12.3 inci, butang mod pemanduan dan penghidup enjin corak potongan berlian.

ANTARA kemudahan pintu ruang kargo.
ANTARA kemudahan pintu ruang kargo.

Ia juga dilengkapi sistem multimedia Sensus Connect bersaiz sembilan inci skrin sesentuh dan sistem pembesar bunyi dengan 14 pembesar suara.

Jenama kenderaan dari Sweden ini juga menyediakan rim aloi bersaiz 19 inci dan lampu utama serta belakang LED.

Ia juga didatangkan dengan sistem keselamatan terbaik melalui ciri 'Intellisafe'. Ia terdiri daripada tiga bahagian iaitu Pencegahan, Perlindungan dan Keselamatan Kanak-Kanak.

KEMASAN ciri signatur Volvo.
KEMASAN ciri signatur Volvo.

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu putih, perak metalik, hitam metalik dan kelabu metalik.

Volvo V60 Recharge T8 dijual pada harga RM287,474 (atas jalan tanpa insurans dan pengecualian cukai jualan) dengan jaminan lima tahun pengeluar tanpa had perbatuan dan lapan tahun untuk bateri PHEV atau 160,000km, yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 7:01 AM