S60 versi pemasangan tempatan (CKD).
S60 versi pemasangan tempatan (CKD).
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

DIPERKENALKAN pada tahun lalu melalui import sepenuhnya (CBU) di negara ini, model Volvo S60 T8 kini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Volvo di Shah Alam, Selangor.

Kekal dengan satu varian T8 R-Design, ia dilengkapi enjin yang sama iaitu 2.0 liter Twin Engine e-AWD plug-in hibrid (PHEV) dengan gabungan kuasa kuda 407 hp dan tork 640Nm daripada motor elektriknya.

Menerusi enjin petrol Drive-E, ia juga dilengkapi pengecas super dan pengecas turbo yang menghasilkan 320hp dan tork 400NM.

Ia mampu mencapai kelajuan sifar hingga 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 4.4 saat.

Model ini juga bukan saja menawarkan prestasi menakjubkan dengan kotak gear lapan kelajuan Geartronic malah ia mengurangkan pelepasan emisi ekzos bagi membantu untuk persekitaran yang lebih bersih.

S60 ini juga menawarkan ruang dalaman yang selesa dan elegan dengan sentuhan rekaan gaya Scandinavia seperti tempat duduk balutan kulit Nappa, papan pemuka kemasan lembut yang eksklusif serta sistem bunyi terbaik Harman Kardon.

RUANG dalaman kemasan kulit Nappa.
RUANG dalaman kemasan kulit Nappa.

BUMBUNG panorama.
BUMBUNG panorama.

Ia juga membolehkan ketersambungan sistem infotainmen seperti Apple CarPlay dan Android Auto dan skrin sesentuh gaya tablet untuk ciri serta fungsi kenderaan, navigasi dan aplikasi lain.

Melalui platform 'Scalable Product Architecture' (SPA), untuk aspek keselamatan, ia menawarkan ciri keselamatan di bandar dengan teknologi brek automatik yang boleh mengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan besar.

Sistem Bantu Pilot yang menyokong pemandu dengan stereng pecutan dan brek sehingga mencapai kelajuan 130 km/j kini ditambah baik dengan prestasi membelok.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan pada model ini ialah pintu but elektrik yang boleh dibuka tanpa kunci hanya dengan menggerakkan kaki.

Empat warna menarik ditawarkan iaitu Crystal White Pearl, Fusion Red Metallic, Onyx Black Metallic dan Pebble Grey Metallic.

Untuk pasaran Malaysia, Volvo S60 T8 CKD dijual pada harga RM295,888 (atas jalan, tanpa insuran) dengan jaminan lima tahun.

CIRI signatur pada lampu belakang.
CIRI signatur pada lampu belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 7:00 AM