Lizam Ridzuan


SEDAN premium dengan padanan rim aloi 19 inci.
SEDAN premium dengan padanan rim aloi 19 inci.

Sebagai sedan premium, model Volvo S90 menampilkan elemen kemasan mewah dan ciri keselamatan terbaik dengan sentuhan rekaan lebih bergaya.

Sejak generasi terkini diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2017, ia diperbaharui daripada segi varian dan yang terbaharu menampilkan Volvo S90 T5 serta Volvo S90 Recharge T8 Inscription Plus Baharu.

Vroom berpeluang memandu uji S90 Recharge T8 sebagai varian tertinggi yang dilancarkan baru-baru ini bagi melihat dengan lebih terperinci kemasan dan prestasi enjinnya.

Masih mengekalkan rekaan luaran yang sama, namun diberi sentuhan baharu pada bahagian hadapan seakan-akan elemen yang terdapat pada model kenderaan utiliti sukan (SUV) XC90. Ini diserlahkan dengan lampu utama LED dan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk tukul Thor.

Bampar juga diberi kemasan baharu melalui garisan krom yang merentasinya selain krom sepenuhnya pada bingkai dan gril.

Lampu belakang pula mirip kepada model S60 T8 R Design. Dwi ekzosnya pula kini terlindung di bawah bampar menjadikan ia lebih kemas.

VOLVO S90 Recharge T8 baharu.
VOLVO S90 Recharge T8 baharu.

Untuk padanan lebih mantap, ia didatangkan dengan rim aloi 10 jejari bersaiz 19 inci corak 'diamond cut' baharu dwitona. Lima pilihan warna ditawarkan dan unit pandu uji ini ialah pilihan terbaharu iaitu 'Platinum Grey Metallic'.

Selain itu, ia juga datang dengan warna 'Crsytal White Pearl', 'Onyx Black Metallic', 'Thunder Grey Metallic' dan 'Bright Silver Metallic'.

Menjengah ke ruang dalaman S90 Recharge T8, ada beberapa perubahan kecil seperti tiada tulisan Inscription pada penahan kepala kerusi hadapan selain tulisan Recharge pada plat kemasukan di pintu.

Sistem audio premium Bower & Wilkins juga dipertingkatkan dengan 19 pembesar suara dilengkapi Tweeter-on-Top pada papan pemuka serta teknologi Nautilus:tm: eksklusif.

Ia juga didatangkan dengan pilihan bunyi mod bilik iaitu studio, dewan konsert dan yang terbaharu, Jazz Club untuk suasana akustik lebih menakjubkan.

LAMPU belakang baharu dengan dwiekzos terlindung.
LAMPU belakang baharu dengan dwiekzos terlindung.

GRIL kemasan dan bampar baharu.
GRIL kemasan dan bampar baharu.

Untuk kemudahan penumpang, ia menyediakan pengecas USB Type-C di konsol tengah.

Lapisan kulit Nappa pula membaluti kerusi kenderaan ini.

Tempat duduk pemandu serta penumpang depan pula disertakan dengan kuasa elektrik untuk larasan kedudukan.

Ia juga ditambah dengan ciri pemanas dan penyejuk serta sokongan 'lumbar' dan tetapan memori mengikut keselesaan pemilik dan pemandunya.

Kerusi penumpang juga selesa. Kedudukan tempat duduknya boleh dilaras untuk kanak-kanak selain datang dengan ciri ISOFIX.

Ciri lain ialah kluster meter digital TFT bersaiz 12.3 inci Paparan Digital Adiptif, Head-Up Display (HUD) untuk pemandu dengan Sistem Maklumat Pemandu Pintar (IDIS).

Sistem multimedia pula tersedia dengan paparan Sensus Connect bersaiz 9 inci menegak warna penuh dengan skrin sesentuh untuk hiburan, navigasi dan larasan ciri-ciri keselamatan tambahan.

Selain itu, ia juga datang antaranya dengan bumbung suria, kemasan kayu, tombol gear kristal Orrefors serta punat penghidup dan mematikan enjin.

MODEL PHEV.
MODEL PHEV.

ENJIN berkembar 2.0 liter E-Drive dengan Pengecas Turbo dan Supercas.
ENJIN berkembar 2.0 liter E-Drive dengan Pengecas Turbo dan Supercas.

Untuk pemanduan, ia dijana dengan enjin berkembar 1,969cc, Drive-E dengan Pengecas Turbo dan Supercas menjana 407 kuasa kuda (hp) pada 5,700 rpm dan tork 640Nm pada 1,200 hingga 5,700rpm.

Sebagai model kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV), ia dilengkapi bateri hibrid Lithium-Ion boleh dicas berkuasa 11.6 kWh.

Untuk kelancaran, ia dilengkapi transmisi automatik 8 kelajuan Geartronic.

Penulis berpeluang memandunya di lebuh raya serta dalam bandar. Ia cukup selesa malah ketika di lebuh raya, tenaga yang dialirkan sentiasa lancar dengan pengendalian yang stabil dan meyakinkan.

Suspensi hadapan wishbone berkembar dan sistem gantungan gandar belakang integral menawarkan kawalan lebih baik ke atas pergerakan kereta.

RUANG kabin elegan ciri Scandinavia.
RUANG kabin elegan ciri Scandinavia.

Ia juga dilengkapi casis aktif dengan suspensi udara 2-Corner pada bahagian belakang bagi menyerap segala keadaan permukaan jalan raya dengan baik.

Melalui lima mod iaitu Constant AWD, Pure, Hibrid, Individual dan Power, ia boleh disesuaikan dengan keperluan dan kepuasan gaya pemanduan.

RUANG penumpang belakang dengan fungsi kerusi kanak-kanak
RUANG penumpang belakang dengan fungsi kerusi kanak-kanak

Bagi bateri penuh (dicas selama tiga jam) ia mampu menjangkau jarak sehingga 58 kilometer (km).

Tambahan kepada semua itu, model ini juga dilengkapi Kawalan Pelayaran Adiptif dan Bantuan Pilot - Sistem Bantuan Pemandu yang membolehkan kereta ini bergerak sendiri tanpa perlu kawalan pada stereng atau menekan pedal minyak sehingga kelajuan 130 kilometer/sejam (km/j).

Namun S90 Recharge T8 ini, tahap kelajuan maksimum ialah 180km/j sahaja berbanding model terdahulu yang boleh mencapai sehingga 230km/j.

Pengurangan itu bertujuan menyokong visi keselamatan 2020 buat jenama ini yang menyasarkan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku dalam kereta Volvo yang dimulakan sejak tahun lalu.

Secara keseluruhan, jenama Volvo sememangnya terkenal sebagai kenderaan dengan ciri keselamatan tertinggi.

Ia bermula dengan penciptaan tali pinggang keledar tiga pin pada 1959 yang kemudian menjadi ciri standard untuk semua jenama kenderaan di atas jalan raya di seluruh dunia.

Rekaan model yang dibangunkan di bawah platform Scalable Product Architecture (SPA) ini cukup elegan dan lebih muda manakala kabin gaya Scandinavia pula diakui mewah.

Ia juga lengkap dengan ciri keselama

tan seperti enam beg keselamatan, Pre-Prepared Restraints (PRS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Amaran Trafik Melintas (CTA) dengan Brek Automatik serta Sistem Maklumat Titik Buta (BLIS) dengan Bantuan Pemanduan.

Selain emisi lebih rendah sekitar 46g/km, sudah pasti kenderaan ini juga menawarkan penggunaan bahan api efisien dengan kapasiti tangki 60 liter berkeupayaan menjangkau sehingga 700km.

Namun penulis mencatat penggunaan bahan api sekitar 500km kerana mengujinya pada pelbagai kelajuan terutama mod Power.

Untuk pasaran Malaysia, Volvo S90 Recharge T8 Inscription Plus dijual pada harga RM358,888 dan untuk tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun hadapan, ia kini ditawarkan pada harga RM339,315 (atas jalan tanpa insurans).

Ia juga datang dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan dan lapan tahun atau 160,000km untuk bateri PHEV.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 6:25 AM