Rekaan dan ciri kemodenan pada Volvo XC40. FOTO Azhar Ramli
Rekaan dan ciri kemodenan pada Volvo XC40. FOTO Azhar Ramli
Lizam Ridzuan

GAYA rekaan moden dengan ciri termaju menjadi asas kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak terbaharu daripada Volvo yang menjengah pasaran tempatan pada Oktober tahun lalu.

Model Volvo XC40 T5 R-Design ini yang diketengahkan sebagai mobiliti urban premium disasarkan buat mereka yang aktif dalam mengharungi cabaran di ‘hutan konkrit’.

Ia dipandu uji baru-baru ini untuk ruangan Vroom Metro Ahad.

Model ini dibangunkan oleh unit kaji selidik Volvo dengan menganalisis bagaimana penduduk bandar menggunakan kenderaan dalam urusan seharian.

Antara yang diberi penekanan ialah cara menyimpan barangan dalam kabin.

Melihat kepada rekaan yang dibangunkan daripada platform Compact Modular Architecture (CMA), ia berciri sporty dan aktif namun masih mengekalkan DNA Volvo daripada model terdahulu seperti XC90 dan XC60 daripada platform Scalable Product Architecture (SPA).

Saiz kompak dengan panjang 4,425 milimeter (mm), lebar 1,863mm dan roda bersaiz 19 inci serta jarak kelegaan jalan pada 211mm menjadikan ia tampil kemas serta mudah untuk urusan parkir atau melepasi laluan sempit.

LAMPU hadapan signatur Volvo. FOTO Azhar Ramli
LAMPU hadapan signatur Volvo. FOTO Azhar Ramli

Ia juga termasuk lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk tukul ‘Thor’ serta logo dan gril ciri signatur untuk jenama dari Sweden ini.

Untuk model XC40 T5 pasaran negara ini, ia didatangkan dengan ciri standard varian R-Design dengan kemasan lebih elegan termasuk sentuhan dwiwarna pada bumbung, gril R-Design selain pembuka pintu bercahaya dipancarkan pada permukaan tanah bagi pencahayaan lebih terang terutama pada cuaca gelap.

Dwiekzos bersepadu yang dipasang menambah wajah sporty pada bahagian belakang dengan pintu elektrik yang boleh dibuka dan ditutup bebas tangan hanya dengan pergerakan kaki. Ia tentu memudahkan urusan keluar masuk barangan.

RUANG dalaman elegan. FOTO Azhar Ramli
RUANG dalaman elegan. FOTO Azhar Ramli

Ruang dalaman dengan warna hitam tampil dengan material bermutu tinggi, selesa dan ruang simpanan yang banyak bagi keperluan mereka yang sentiasa bergerak dalam urusan janji temu harian.

Kerusi hadapan R-Design boleh laras elektrik dengan fungsi memori gabungan kulit dan fabrik Nubuck sangat selesa dengan sokongan Lumbar serta kusyen boleh ditambah secara mekanikal bagi posisi lebih santai.

Untuk kerusi belakang ia juga boleh direbahkan dengan mudah bagi tujuan membawa lebih muatan pada kapasiti 479 liter serta ruang unjuran kaki selesa sesuai untuk tiga penumpang yang turut disediakan corong pendingin hawa bagi kekal dingin sepanjang masa.

Roda Stereng Bantuan Kuasa Elektrik (EPAS) turut menerima sentuhan R-Design reka bentuk tiga jejari balutan kulit perforated, selesa untuk mengawal kenderaan dengan fungsi paddle shift, kawalan bunyi dan sistem pelayaran (cruise).

Tombol gear kulit dan pedal Sport sentuhan R-Design menyerlahkan gaya elegan sporty kenderaan yang dilengkapi sistem kluster digital maklumat Paparan Digital Adaptif TFT bersaiz 12.3 inci khusus buat pemandu.

PINTU belakang elektrik. FOTO Azhar Ramli
PINTU belakang elektrik. FOTO Azhar Ramli

Untuk sistem hiburan dan multimedia, ia dipasangkan dengan ketersambungan Sensus bersaiz 9 inci pada papan pemuka dalam kedudukan menegak bagi memudahkan pencarian dan pertukaran fungsi, mod pemanduan dan larasan sistem gantungan kenderaan yang juga bertindak sebagai paparan peta dalam Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) serta kamera undur.

Sistem bunyi berkualiti tinggi ditawarkan sehingga 13 pembesar suara berserta Teknologi Air Woofer dan strim audio dengan sistem bebas tangan Bluetooth yang turut boleh disesuaikan dengan padanan aplikasi Apple Carplay dan Adroid Auto.

Untuk pengecasan telefon pintar, model ini menyediakan tiga sambungan USB dan satu tapak pengecas tanpa kabel.

Untuk prestasi, pemanduan dengan enjin Drive-E pengecas turbo bersesaran 1,969cc pacuan semua roda (AWD) menawarkan kuasa kuda 252 hp pada 5,500 rpm dan tork 350 Nm pada 1,800 hingga 4,800 rpm serta transmisi lapan kelajuan automatik Geartronic di mana ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 230 kilometer/sejam (km/j).

Lima mod pemanduan ditawarkan iaitu Hybrid, Individual, Power, Pure dan Off Road bagi disesuaikan dengan keperluan pemandu sama ada rutin harian atau menjelajah pada hujung minggu.

 TRANSMISI automatik lapan kelajuan. FOTO Azhar Ramli
TRANSMISI automatik lapan kelajuan. FOTO Azhar Ramli

Kapasiti tangki bahan api 54 liter mampu menjangkau sejauh 460km perjalanan bergantung pada corak pemanduan dan faktor permukaan laluan dan kapasiti penumpang.

Limpahan ciri keselamatan menjadi elemen utama buat semua model kenderaan Volvo dan untuk model XC40 T5 R-Design ini, ia dilengkapi beberapa ciri pemanduan dinamik seperti Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantu Mula Bukit (HSA) dan Kawalan Menuruni Bukit (HDC).

Bagi melindungi keseluruhan penumpang, ia dipasangkan dengan sistem pencegahan dan perlindungan keselamatan IntelliSafe seperti Kawalan Amaran Pemandu (DAC), Bantu Mengekalkan Laluan (LKA), Amaran Trafik Melintas (CTA) dengan Brek Auto, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantu Brek Kecemasan (EBA), Sistem Maklumat Titik Buta (BLIS) dan ISOFIX.

Tambahan pada itu, ia dipasang dengan tujuh beg udara Sistem Perlindungan Impak Sisi (SIPS) dan banyak lagi menjadikan jenama ini sebagai yang terbaik dalam aspek keselamatan.

Secara keseluruhan penulis berpendapat SUV yang dinobatkan sebagai ‘Kereta Tahunan Eropah 2018’ ini menawarkan kepelbagaian ciri di dalamnya walaupun bersaiz kompak.

Sesuai dengan tujuan kegunaan dalam bandar ia memudahkan pergerakan terutama untuk urusan parkir dalam ruang yang terhad dan pada hujung minggu untuk aktiviti riadah boleh dilakukan dengan kemampuan off road.

Pemilik yang aktif memerlukan pergerakan yang pantas dalam urusan tugasan seharian dengan ruang simpanan sisi pintu boleh memuatkan komputer riba serta ciri lain seperti pintu belakang elektrik boleh dibuka dengan fungsi bebas tangan antara kelebihan tersendiri.

Rekaan kabin yang lebih ringkas dan praktikal serta subwoofer pada bahagian papan pemuka antara elemen radikal yang diketengahkan menjadikannya bukan sekadar gah pada estetika malah praktikal serta menawarkan kepuasan pemanduan.

Untuk pasaran Malaysia, Volvo XC40 T5 R-Design dijual pada harga RM255,888 (atas jalan, tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun waranti pengeluar atau 120,000km, yang mana lebih dahulu.

RIM 19 inci bergaya. FOTO Azhar Ramli
RIM 19 inci bergaya. FOTO Azhar Ramli

Volvo XC40

• ENJIN: 1,969cc Drive-E pengecas turbo pacuan semua roda (AWD)

• KUASA MAKSIMUM: 252 hp pada 5,500 rpm

• TORK MAKSIMUM: 350 Nm pada 1,800 hingga 4,800 rpm

• KAPASITI BAHAN API: 54 liter

• CIRI KESELAMATAN: IntelliSafe - Kawalan Amaran Pemandu (DAC), Bantu Mengekalkan Laluan (LKA), Amaran Trafik Melintas (CTA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantu Brek Kecemasan (EBA), ISOFIX, 7 beg udara dan SIPS.

• HARGA: RM255,888 (atas jalan, tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 11:30 AM