CABARAN 1,000km berakhir di Shah Alam.
CABARAN 1,000km berakhir di Shah Alam.
Oleh Lizam Ridzuan

ISUZU D-Max sebelum ini pernah menempuh ‘Dura Miles Challenge’ dari Bangkok, Thailand ke Singapura namun kali ini, cabarannya sedikit berbeza di mana enjin 1.9 liter Blue Power pacuan empat roda ini pula diuji.

Model D-Max kabin tunggal dipilih bagi mendepani cabaran ini, ditambah dengan muatan satu tan, untuk menempuh perjalanan melalui Banjaran Titiwangsa ke Shah Alam, Selangor baru-baru ini, dengan jarak perjalanan lebih 1,000 kilometer (km).

Ia memulakan perjalanan dari kilang Isuzu-Hicom Malaysia di Pekan, Pahang.

Terdahulu, pemeriksaan dilakukan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk mengesahkan ia adalah model standard yang sama dengan yang ada di bilik pameran malah ditambah muatan satu tan.

Untuk lebih telus, bonet serta tangki minyak ditutup dan dilekapkan bagi memastikan tiada sebarang penambahan bahan api atau mengurangkan muatan dilakukan.

Cabaran hari pertama membabitkan ia merentasi laluan Lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Jeli, Kelantan dengan Grik, Perak melalui pendakian sehingga 1,052 meter untuk ke Ipoh, Perak.

MERENTASI Banjaran Titiwangsa.
MERENTASI Banjaran Titiwangsa.

Hari kedua, pacuan empat roda ini bergerak ke Cameron Highlands dan Bukit Fraser melalui Raub seterusnya ke Genting Highlands dan menamatkan perjalanan sejauh 1,145km di Pusat Servis Isuzu di Shah Alam.

Perjalanan keseluruhan mencatatkan sekitar 7.2 liter untuk setiap 100km dengan berbaki 76 liter seperti yang tercatat pada meter kenderaan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Koji Nakamura berkata, gabungan komponen enjin yang kurang geseran membantu untuk tekanan yang rendah serta memberi tahap pengurangan sehingga 56kg.

“Meskipun ia adalah enjin 1.9 liter namun ia yang paling cekap pernah dihasilkan oleh Isuzu Motor serta memberikan penggunaan bahan api efisien tanpa pengurangan prestasi,” katanya.

Kenderaan ini dipandu YouTuber permotoran tempatan iaitu Fadhil Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai ‘Cardock’.

Semua model Isuzu D-Max termasuk 1.9 liter kabin tunggal didatangkan dengan tempoh jaminan lima tahun atau 150,000km (yang mana lebih dahulu) dan dijual pada harga RM85,799.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 6:20 AM