WARNA-warni layang-layang. FOTO Nurul Shafina Jemenon
WARNA-warni layang-layang. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Aniza Zainudin

“LAYANG-LAYANG kau melayang di langit biru,

Layang-layang kau melambang cita yang tinggi,

Layang-layang jelajahi halaman indah,

Kau megah di angkasa...”

Bait-bait lagu 'Layang-layang' alunan penyanyi tersohor tanah air, Jamal Abdillah, karya Ahmad Nawab dan Dalina pada 1983 menjadi simbolik permainan tradisional itu mempunyai kaitan rapat dengan masyarakat.

Ini turut disokong dengan kewujudan peribahasa Melayu, 'bagai layang-layang putus tali' merujuk kepada kehidupan yang terumbang-ambing dan tidak tentu arah tujuan ibarat ditiup angin tanpa pegangan.

Wau dan layang-layang adalah permainan yang sama dan ia perlu diterbangkan ke udara dengan bantuan tiupan angin.

Perbezaannya terletak pada istilah dan material digunakan dalam proses penghasilannya.

Seperti wau, ia menggunakan bahan tradisional seperti buluh dan kertas. Panggilan wau lebih popular dalam kalangan penduduk pantai timur.

Manakala panggilan layang-layang di pantai barat pula diperbuat daripada material seperti kertas, kain, plastik dan sebagainya.

TARIKAN pelancong tempatan dan asing. FOTO Nurul Shafina Jemenon
TARIKAN pelancong tempatan dan asing. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Memiliki keindahan tersendiri seperti reka bentuk, pilihan kombinasi warna unik dan disuntik dengan aksesori perhiasan termasuk lampu LED, adalah antara kreativiti dipertontonkan pelayang demi kepuasan diri serta tampak menyerlah di mata pengunjung.

Ini terbukti apabila menyaksikan sendiri layang-layang penyanyi popular dari Korea Selatan, PSY, berbaju ungu, bercelana hitam sambil memakai kaca mata 'menari' di awan.

Tidak cukup dengan itu, ikan paus, ikan lumba-lumba, lipan dan buah-buahan termasuk strawberi pelbagai warna turut bebas berterbangan di udara membuatkan suasana di pantai Batu Manikar, Labuan lebih ceria dan meriah.

Julung kalinya, Perbadanan Labuan dengan kerjasama Majlis Pelayang Malaysia (MPM) menganjurkan Festival Antarabangsa Layang-layang Labuan 2019 Edisi Pertama, pada 6 hingga 8 September lalu.

UNIK pada rekaannya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
UNIK pada rekaannya. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Festival ini mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima penyertaan seramai 63 pelayang termasuk 34 pelayang dari 14 negara lain.

Antara negara yang turut menghantar wakil adalah Thailand, Brunei, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Ireland, Sweden, Scotland dan Amerika Syarikat.

Presiden MPM, Datuk A Rahim Nin berkata, penganjuran kali pertama ini selari dengan objektif persatuan dalam memartabatkan permainan tradisional ini.

“Tujuan penganjuran ini adalah mewujudkan perpaduan dan keharmonian ditonjolkan semua lapisan peserta menerusi kreativiti dan kepelbagaian reka bentuk layang-layang dihasilkan.

MARTABAT permainan layang-layang dalam kalangan anak muda. FOTO Nurul Shafina Jemenon
MARTABAT permainan layang-layang dalam kalangan anak muda. FOTO Nurul Shafina Jemenon

“Permainan layang-layang ini sebenarnya ada di semua negara namun ia berbeza dari aspek asal-usul, sejarah dan tradisinya sebelum mengalami evolusi.

“Sempena penganjuran festival seperti ini, kita dapat mengumpulkan pelayang tempatan dan antarabangsa supaya kita saling berkongsi dan memperkenalkan budaya negara masing-masing.

“Jadi, misi penting kita adalah ingin membudayakan semula dan mengangkat permainan tradisional ini dalam kalangan masyarakat.

TARIKAN baharu Labuan. FOTO Nurul Shafina Jemenon
TARIKAN baharu Labuan. FOTO Nurul Shafina Jemenon

“Kita tidak mahu permainan warisan ini lenyap jika tidak diangkat seperti di Festival Layang-layang Pasir Gudang dianjurkan sejak 24 tahun lalu hingga kini.

“Lebih menarik, festival ini disenaraikan sebagai program pelancongan peringkat negeri serta nasional, malah festival ini menjadi acara yang dinanti-nantikan setiap tahun,” katanya ketika ditemui.

TEKNIK mengendalikan layang-layang. FOTO Nurul Shafina Jemenon
TEKNIK mengendalikan layang-layang. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Ujarnya, dia berharap dengan penganjuran di Labuan mampu menarik lebih ramai pelancong ke pulau berkenaan, seterusnya dijadikan acara tahunan.

Tambah A Rahim, pihak MPM sentiasa terbuka menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak yang berminat menganjurkan acara permainan tradisional berkenaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelayang Kelantan, Nik Arif Nik Hassan berkata, usaha mempromosikan permainan wau atau layang-layang ini perlu diperhebatkan bagi mengekalkan budaya.

IDEA baharu. FOTO Nurul Shafina Jemenon
IDEA baharu. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Katanya, penganjuran festival seperti ini antara inisiatif tepat untuk memberi pendedahan dan menarik minat anak muda mencuba serta mewarisi pembuatan dan kaedah permainan layang-layang.

Menyedari perkembangan pesat era teknologi dan digital, Nik Arif berkata, ibu bapa, institusi pendidikan serta masyarakat memainkan peranan penting untuk mengangkat permainan layang-layang.

Jelasnya, usaha untuk membawa permainan ini dalam sistem pembelajaran di sekolah antara idea ingin dilaksanakan penggiat layang-layang.

TURUT dilengkapi lampu LED. FOTO Nurul Shafina Jemenon
TURUT dilengkapi lampu LED. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Turut memikul tanggungjawab sebagai pengajar, Nik Arif menyatakan rasa gembira apabila masih ada anak muda tertarik untuk membuat wau dan bermain dengannya.

Malah katanya, dengan menyokong penyertaan antarabangsa seperti ini, ia mampu membawa idea dan inspirasi baharu yang kreatif sama ada dari aspek pembuatan, reka bentuk mahupun pengendaliannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 6:30 AM