Lizam Ridzuan

MODEL kenderaan utiliti sukan (SUV) Hyundai Tucson mula memasuki pasaran negara ini sejak 2004 dan ideal untuk mereka yang mempunyai gaya hidup aktif.

Tucson generasi ketiga serba baharu dilancarkan pada 2015. Bahagian luaran dan dalamannya tampil lebih segar serta menarik malah Vroom Metro Ahad sempat memandu ujinya baru-baru ini.

Melihat rekaan luaran, walaupun dari Korea Selatan, gaya sentuhannya seperti kenderaan buatan Eropah.

Antara pembaharuan paling ketara gril hadapan rekaan terkini yang tampil lebih elegan dan sporty dengan kemasan krom serta lampu hadapan projektor halogen dengan lampu posisi serta lampu nyalaan siang (DRL) sebagai ciri standard.

Kenderaan ini mempunyai lebar 1,850 milimeter (mm), panjang 4,480mm tampil menyerlah dengan padanan rim aloi 17 inci dan saiz tayar 225/60.

RIM 17 inci. FOTO Faiz Anuar
RIM 17 inci. FOTO Faiz Anuar

Ia mempunyai jarak kelegaan jalan sekitar 172mm dan sesuai di jalan lasak.

Dengan spoiler pada pintu, ia menambah ciri sporty malah pada ketinggian keseluruhan kenderaan 1,655mm, ia tidak terlalu tinggi terutama untuk mengangkat muatan pada pintu belakang.

Menyentuh bahagian dalaman, antara pembaharuannya ialah rekaan kokpit panel hadapan gentian karbon dengan sistem hiburan dan maklumat ‘terapung’ bersaiz 7 inci dengan fungsi ketersambungan Android Auto serta Apple CarPlay.

Selain itu, ia dilengkapi rekaan tempat duduk baharu daripada kulit warna hitam memberikan keselesaan terbaik terutama untuk pemanduan jarak jauh.

Penulis amat menggemari perehat kepala yang sangat lembut memberi kelegaan terutama jika ‘stress’ menempuh kesesakan jalan raya.

RUANG dalaman elegan. FOTO Faiz Anuar
RUANG dalaman elegan. FOTO Faiz Anuar

Antara kelebihan SUV ruang dalaman luas terutama untuk penumpang belakang dengan fungsi kerusi boleh dijatuhkan 60:40 bagi kesesuaian membawa muatan yang panjang atau peralatan aktiviti rekreasi seperti basikal.

Malah ia juga boleh dilaras darjah kecondongan agar tidak terlalu tegak bagi penumpang.

Panel meter kluster analog dan TFT mono LCD bersaiz 3.5 inci untuk maklumat perjalanan dan kenderaan antara ditawarkan untuk kemudahan pemandu dengan roda stereng serta fungsi kawalan audio disertakan.

Model ini dilengkapi enjin 2.0 liter petrol DOHC menawarkan kuasa kuda 155PS pada 6,200 rpm serta tork 192Nm pada 4,000 rpm pacuan dua roda.

ENJIN 2.0 liter petrol. FOTO Faiz Anuar
ENJIN 2.0 liter petrol. FOTO Faiz Anuar

Ia menawarkan kelancaran tenaga berterusan dengan transmisi 6 kelajuan automatik serta keselesaan melalui penggunaan gandar hadapan McPherson Strut dan belakang daripada Multi Link.

Selain itu ia turut dilengkapi sistem keselamatan termaju seperti dua beg udara hadapan, sistem brek anti-kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Bantu Mula-Bukit (HAC), Kawalan Brek Menuruni Bukit (DBC), Sistem Bantu Brek (BAS) dan Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM).

Secara keseluruhan, pada pandangan penulis, model ini mempunyai kelebihan tersendiri terutama kepada mereka yang meminati SUV lima tempat duduk dengan rekaan gaya Eropah sesuai untuk kegunaan urban atau perjalanan ke desa.

KERUSI penumpang selesa. FOTO Faiz Anuar
KERUSI penumpang selesa. FOTO Faiz Anuar

Untuk pasaran Malaysia, Tucson ditawarkan dengan dua varian iaitu 2.0 Elegance seperti ini dan 1.6 Turbo yang memiliki ciri-ciri lain dengan tambahan harga sekitar RM20,000.

Tangki bahan api 62 liter menawarkan jarak perjalanan sehingga 580 kilometer (km) bergantung kepada corak pemanduan, ciri keselesaan keseluruhan penumpang, ruang dalaman fleksibel serta rekaan luaran ciri sporty menjadi kelebihan model Hyundai Tucson baharu ini.

Untuk model Tucson 2.0 Elegance, harganya RM123,888 atas jalan tanpa insurans dengan tiga tahun jaminan atau 50,000km penyelenggaraan servis percuma, yang mana lebih dahulu.

Empat pilihan warna iaitu Putih Cream, Perak Plantinum, Biru Dusk dan Hitam Phantom. #vroomHM.

SISTEM hiburan dan maklumat. FOTO Faiz Anuar
SISTEM hiburan dan maklumat. FOTO Faiz Anuar

SPESIFIKASI HYUNDAI TUCSON 2.0 Elegance

Enjin: 2.0 MPI DOHC petrol

Kuasa maksimum: 155 PS pada 6,200 rpm

Tork maksimum: 192Nm pada 4,000 rpm

Kapasiti bahan api: 62 liter

Ciri keselamatan: Beg udara hadapan, sistem brek anti-kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Bantu Mula-Bukit (HAC), Kawalan Brek Menuruni Bukit (DBC), Sistem Bantu Brek (BAS) dan Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM).

Harga: RM123,888 (atas jalan, tanpa insurans)

CIRI sporty dan aerodinamik. FOTO Faiz Anuar
CIRI sporty dan aerodinamik. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 4:00 AM
GAYA rekaan Eropah. FOTO Faiz Anuar
GAYA rekaan Eropah. FOTO Faiz Anuar