Tahap buli siber dalam kalangan pengguna siber di Malaysia sangat serius.
Tahap buli siber dalam kalangan pengguna siber di Malaysia sangat serius.
Suraya RoslanMuhammad Saufi HassanMahaizura Abd Malik dan Aida Adilah Mat dan Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Malaysia berada di kedudukan kelima dunia dalam kategori buli siber sekali gus yang pertama di Asia sebagai 'kaki buli' di alam maya.

Kajian Institut Kajian Pasaran (IPSOS) itu didedahkan Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) berhubung kegiatan buli siber yang semakin parah dalam kalangan pengguna siber di Malaysia.

Presidennya, Siraj Jalil berkata, berdasarkan kajian pada 2018 itu mendapati Malaysia berada di tempat kelima dunia iaitu 71 peratus kadar buli siber.

"Peru berada di kedudukan pertama bagi tahap buli di media sosial tertinggi iaitu 80 peratus diikuti Argentina di tempat kedua dengan 74 peratus.

"Selain itu, Mexico berada di kedudukan ketiga diikuti Brazil, Malaysia, Britain, Kanada dan Amerika Syarikat," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, negeri Louisiana di Amerika Syarikat sebagai contoh mempunyai kadar buli dalam talian tertinggi iaitu 21.2 peratus dalam kalangan orang muda.

"Sebaliknya, (negeri) Delaware (di Amerika Syarikat) mempunyai kadar buli siber terendah pada 10.1 peratus," katanya.

Katanya, pihaknya percaya Malaysia masih menduduki carta lima teratas bagi kategori buli siber tahun ini.

"Ini menunjukkan tahap buli siber dalam kalangan pengguna siber tempatan sangat serius.

"Malah, ia dibuktikan menerusi beberapa insiden membabitkan atlet (paralimpik) negara, baru-baru ini selepas netizen Malaysia secara beramai-ramai menyerang media sosial atlet negara lain," katanya.

Siraj berkata, ketersediaan teknologi digital, akses internet berkelajuan tinggi dan penggunaan saluran komunikasi baharu secara universal mencetuskan peningkatan kegiatan buli siber.

"Media sosial khususnya menjadi sasaran netizen untuk melakukan sebarang kecaman dan meninggalkan komen 'mengguris hati' mangsa.

"Kita semua menghargai pengaruh positif media sosial, bagaimanapun agak mengejutkan apabila berlaku peningkatan kes buli siber sejak akhir-akhir ini," katanya.

Menurutnya, berdasarkan dapatan IPSOS juga mendapati, 44 peratus kanak-kanak dan golongan muda menghabiskan lebih daripada 180 minit sehari di media sosial dengan sembilan peratus daripadanya menggunakan media sosial sekitar 24 jam.

"Selain itu, sebanyak 42 peratus golongan muda dibuli di Instagram manakala 37 peratus di Facebook, Snapchat (31 peratus), WhatsApp (12 peratus), YouTube (10 peratus) dan Twitter (9 peratus).

"Media sosial menjadi sebahagian kehidupan manusia sekarang, maka tidak hairanlah ia menjadi saluran utama untuk kegiatan buli siber," katanya.

Siraj juga mencadangkan pihak berkuasa mewujudkan silibus wajib kepada kelompok pendidikan rendah dan menengah berhubung etika penggunaan siber bagi mengurangkan peratusan pembabitan generasi muda dengan aktiviti buli siber yang kian membarah.

"Di samping itu, pihak MCCA berharap draf Akta Anti Buli Siber di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dapat diberikan keutamaan oleh kepimpinan baharu," katanya.

KEHILANGAN emas Ziyad di Tokyo menjadi penyebab rakyat Malaysia ‘menyerang’ media sosial atlet Ukraine.
KEHILANGAN emas Ziyad di Tokyo menjadi penyebab rakyat Malaysia ‘menyerang’ media sosial atlet Ukraine.

Usah guna kebebasan bersuara sesuka hati

Kuala Lumpur: Satu dunia tahu netizen Malaysia yang lebih dikenali dengan gelaran 'tentera bawang' hebat melakukan 'serangan'. Ternyata formula kuasa 'serang' secara 'berjemaah' itu digeruni kerana mereka mampu 'membenamkan' sasaran hingga IP disekat atau hilang, selain akaun ditutup dan pemilik akaun memohon kemaafan.

Mereka ini memiliki kepakaran 'menghentam' individu mahupun organisasi sasaran dalam bentuk poster parodi mahupun komen 'pedas' berhubung sesuatu isu berkenaan.

Jurucakap kumpulan Tentera Bawang Malaysia berkata, kebebasan bersuara tidak boleh digunakan sesuka hati hingga menghina mana-mana pihak mahupun melanggar undang-undang.

"Bagi kami menyerang sampai menghina itu melampau dan itu bukan motif kumpulan ini. Sebagai pemain media sosial, kita ada had dan terikat dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kita cipta poster khas untuk sesuatu isu contoh 'Israel Koyak' untuk mengelakkan pengikut atau netizen menggunakan perkataan tidak sepatutnya ketika memberikan komen.

"Namun, jika ada netizen yang bertindak melampaui batas dalam memberikan komen di laman lain, itu di luar kawalan kita," katanya.

Katanya, sejak ditubuhkan lebih dua tahun lalu, motif mereka hanya untuk menyuarakan sesuatu isu demi kebaikan semua pihak khususnya membabitkan isu rakyat Malaysia sendiri.

"Motif kita tubuhkan laman ini sebagai tempat menyalurkan maklumat, menyuarakan pendapat atau 'membawang' di laman sendiri tetapi ada hadnya jangan sampai jadi buli siber.

"Peranan kita sebelum naikkan sesuatu isu, kita buat penyelidikan mencari fakta kerana tidak mahu isu dimainkan itu palsu atau menyalahi undang-undang.

"Kadang-kadang kita buat isu itu dalam bentuk parodi atau lawak jenaka bagi meredakan kemarahan orang ramai," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menapis setiap komen pengikut termasuk menetapkan penjejak bahasa kurang sopan menggunakan tanda 'meta'.

"Jika ada yang menggunakan bahasa kesat atau kurang sopan di laman kita, barisan 'admin' akan sekat akaun itu menggunakan jejak 'meta'.

"Kaedah ini lebih mudah dan berkesan kerana terus memaparkan pemilik akaun yang menggunakan bahasa kurang sesuai dalam ruangan komen.

"Kita tegas dalam hal ini kerana setiap komen mesti tidak melampaui batas kerana jika dibiarkan ia akan jadi budaya yang kurang elok," katanya.

Katanya, antara impak laman itu adalah isu halal yang disuarakan mereka hingga mewujudkan kesedaran dan laman berasaskan ekonomi Bumiputera selain isu Palestin dan Israel serta Korea Utara.

Namun, di sisi lain tentera bawang juga wajar menerima pujian kerana turut menyebarkan kebaikan misalnya yang terbaharu, Instagram atlet Greece, Thanasis Prodromou.

Laman sosial atlet itu menjadi sasaran mereka untuk menzahirkan penghargaan kerana membantu atlet Malaysia, Abdul Latif Romly yang cedera selepas melakukan lompatan di Paralimpik Tokyo 2020.

Bagi Andy Sahlam Sahartang, 32, yang aktif di media sosial, kebebasan bersuara di platform itu digunakan sebaik mungkin dengan menyebarkan kebaikan dan memperjuangkan sesuatu isu dengan berhemah.

"Biasanya kalau hendak komen di media sosial, saya akan suarakan apa yang saya rasa betul dengan berhemah dan elak memberikan komen negatif atau mencetuskan kebencian.

"Media sosial ini memang kita tak boleh kawal, tetapi selagi kita boleh sebarkan benda positif, cuba buat insya-Allah kalau ramai buat ia akan menjadi ikutan dan budaya kita.

"Misalnya yang terbaharu ini, saya ambil inisiatif ajak pengikut saya tunjukkan satu dunia netizen Malaysia ini bukan kerjanya 'menghentam' atau negatif saja, tetapi kalau ada benda baik macam yang atlet Greece buat, apa salahnya kita 'serang' dia pula kerana dia layak mendapat penghargaan atas sikap sportsmanship yang ditunjukkannya," katanya.

 Hospital Mustafa Pasha.
Hospital Mustafa Pasha.

Mangsa kecaman mohon perdamaian

Kuala Lumpur: Kecaman berterusan netizen Malaysia di media sosial menyebabkan pihak yang menjadi 'mangsa' terpaksa mengalah dan memilih jalan perdamaian berbanding terus berbalas kecaman.

Perkara itu berlaku pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 apabila atlet para lontar peluru Ukraine, Maksym Koval yang memenangi pingat emas selepas protes dilakukan ke atas kemenangan atlet negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, terpaksa membuka akaun Instagram baharu.

"Akaun pertama saya digodam rakyat Malaysia selepas mereka menyerang saya dengan menghantar banyak komen 'spam' pada hantaran saya," tulisnya.

Bagaimanapun, akaun Instagram baharunya itu juga tidak terlepas dipenuhi dengan komen dan kecaman akibat bantahan Ukraine dalam acara lontar peluru F20 itu.

Koval dilihat memuat naik permohonan maaf sebagai tanda simpati untuk menghentikan pertelingkahan yang berterusan itu.

Ziyad pula bersikap profesional dengan mengucapkan tahniah kepada Koval di ruangan komen kerana memenangi pingat emas.

Perkara sama juga berlaku kepada pelumba berbasikal trek Britain, Jack Carlin di Olimpik Tokyo 2020 apabila dikatakan menghimpit pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom sehingga menyaksikan perlumbaan saringan kedua acara keirin terpaksa dimulakan semula.

Shah bangkit mempamerkan kayuhan bertenaga pada perlumbaan repecharge sebelum menamatkan perlumbaan berkenaan di tempat kedua untuk layak ke suku akhir.

Dia kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Carlin ketika mengulas insiden itu berkata, dia tidak mempunyai niat untuk menjatuhkan mana-mana pelumba termasuk Shah.

"Sukan keirin adalah perlumbaan yang berbahaya, tiada niat untuk menjatuhkan sesiapa kerana itu adalah perkara biasa dalam sukan ini. Saya gembira lihat dia (Shah) kembali berlumba dan layak ke suku akhir," katanya.

Pelumba Australia, Matthew Glaetzer pula dikecam kerana tidak melakukan gerakan untuk mengejar pelumba Britain, Jason Kenny yang melakukan pecutan lebih awal dan akhirnya memenangi pingat emas dalam final acara keirin ketika jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang terpaksa berpuas hati dengan perak.

Glaetzer didiagnos mengalami kanser tiroid, dua tahun lalu dan masih gagal memenangi pingat di Olimpik ketiganya.

"Kadangkala segala-galanya perlu berpihak kepada anda dan malangnya untuk saya, masih belum dapat memenangi pingat. Apapun saya berbangga dapat mewakili Australia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 1:01 PM