SAIFUDDIN ABDULLAH
SAIFUDDIN ABDULLAH
Asrol Awang


Kuantan: Perbuatan mengecam dan mentertawakan penyampaian guru sains yang mengajar dalam Bahasa Inggeris menerusi saluran Didik TV dianggap buli siber.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi, guru berkenaan hanya menjalankan tanggungjawabnya dalam mendidik pelajar.

"Saya sangat bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap guru berkenaan sehingga dikecam dan tidak sepatutnya itu dilakukan netizen.

"Begitu juga tidak sesuai untuk kita marah kepada KPM (Kementerian Pendidikan) kerana saluran Didik TV masih baharu bermula dan sudah pasti ada kelemahan.

"Tindakan netizen menghentam guru itu boleh dianggap sebagai buli siber," katanya yang ditemui media selepas menyampaikan sumbangan dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kepada 46 sekolah di Parlimen Indera Mahkota di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang penyampai radio memuat naik video TikTok dan mentertawakan seorang guru yang kurang fasih bertutur Bahasa Inggeris hingga mengundang kecaman netizen.

Penyampai radio itu turut digantung tugas oleh pengurusan stesen radio dan memohon maaf atas ketelanjurannya.

Saifuddin turut menegaskan akta anti buli perlu diwujudkan bagi menangani masalah sebegitu, yang boleh menyebabkan mangsa berdepan masalah seperti kemurungan, selain pernah berlaku kejadian bunuh diri dipercayai berpunca daripada buli siber.

"Kita ada undang-undang seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Kanun Keseksaan, namun berkaitan dengan buli siber, kajian oleh KKMM dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) sebelum ini mendapati, lebih 80 peratus pengamal undang-undang berpendapat kita memerlukan undang-undang khusus bagi buli siber," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya bersedia membantu KPM dalam penyediaan kandungan Didik TV dan berkongsi kepakaran sedia ada seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Kita ada kepakaran yang boleh bantu untuk menambah baik saluran Didik TV," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 6:14 PM