WUJUD trend peningkatan kes buli siber di negara ini sejak 2019 terutama ketika tempoh dua tahun lalu.
WUJUD trend peningkatan kes buli siber di negara ini sejak 2019 terutama ketika tempoh dua tahun lalu.
Muhammad Saufi Hassan


TERKESAN dengan tahap emosi kritikal sehingga ada pihak sanggup menggodam perkakas pintar mangsa seperti kamera dan mikrofon tanpa disedari pengguna.

Itu 'darjah kerosakan' dan kemampuan yang boleh memberi kesan mendalam terhadap psikologi mangsa berhubung buli siber di negara ini.

Buli siber ini tidak lagi menggunakan ruang definisi seperti kata-kata kecaman, menangkap layar kiriman seseorang untuk disalahertikan, sebaliknya wujud kes di mana mangsa berdepan dengan kes penggodaman perkakas pintar.

Statistik buli siber juga merekodkan trend meningkat sejak 2019 biarpun pada tahun-tahun sebelumnya, ia tidak begitu konsisten memandangkan wujud tahun tertentu yang mencatatkan insiden buli siber yang tinggi dan sebaliknya.

Pakar keselamatan siber, Fong Choong Fook berkata, kes buli siber ini tidak hanya tertumpu kepada penggunaan perkataan memalukan atau kesat di media sosial saja malah turut membabitkan kes penggodaman.

Menurutnya, wujud keadaan dan insiden yang dimaklumkan kepada beliau ada pembuli siber yang sanggup melakukan penggodaman termasuk melakukan pengintipan tanpa disedari oleh mangsa.

"Kita ada menerima banyak kes mangsa buli siber ini yang bukan hanya menjadi mangsa kepada kata-kata makian tetapi akaun media sosial mereka digodam.

"Wujud juga kes pada tahap kritikal apabila pembuli siber yang berkeupayaan menggodam kamera web milik mangsa termasuk mikrofon untuk tujuan pengintipan.

"Kebiasaannya, mangsa tidak menyedari sehingga pada suatu tahap mereka sedar video mereka sudah tersebar atau pembuli berkenaan menghantar video itu kepada mereka," katanya.

Berdasarkan rekod tidak rasmi, Malaysia dikatakan antara negara yang merekodkan kejadian buli siber yang tinggi sehingga memberi kesan sangat kritikal kepada mangsa buli ini.

INSIDEN kritikal membabitkan buli siber sehingga ada pembuli yang sanggup menggodam peranti pintar mangsa.
INSIDEN kritikal membabitkan buli siber sehingga ada pembuli yang sanggup menggodam peranti pintar mangsa.

Jika diperhatikan beberapa tahun lalu, buli siber ini hanya tertumpu kepada kecaman atau makian yang dibuat di media sosial namun ia sudah banyak berubah beberapa tahun kebelakangan ini.

Susulan itu juga, wujud cadangan daripada orang awam supaya mewujudkan suatu bentuk penguatkuasaan undang-undang kepada pembuli siber ini termasuk meletakkan terma dan klausa yang jelas berhubung perilaku yang dikatakan 'pembuli siber'.

CyberSecurity Malaysia (CSM) memaklumkan bahawa kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) kini dalam proses menggubal peruntukan undang-undang khusus berhubung buli siber.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, peruntukan undang-undang baharu itu bertujuan mendepani insiden buli siber yang berlaku di negara ini.

"Sudah sampai masanya kita mempunyai peruntukan perundangan yang khusus berhubung insiden buli siber ini kerana wujud keadaan mangsa mendapat tekanan psikologi serta emosi yang teruk akibat daripada buli siber ini.

"Kami selalu menasihatkan kepada mangsa siber buli ini untuk mengemukakan laporan insiden kepada pihak berkuasa atau penyedia perkhidmatan media sosial," katanya.

Menurutnya, pengguna perlu mengehadkan maklumat, kenalan dan masa di media sosial supaya setiap butiran berkenaan tidak dijadikan bahan kepada pembuli siber menyerang mangsanya.

Katanya, individu yang merasakan dirinya menjadi mangsa buli siber wajar tampil ke depan untuk mengemukakan laporan kepada agensi berkaitan dan langkah terbaik adalah mengehadkan jumlah kenalan rapat saja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 7:00 AM