LAPORAN Harian Metro pada 22 Jun lalu.
LAPORAN Harian Metro pada 22 Jun lalu.
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan beliau akan bertemu kepemimpinan tertinggi agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendapatkan maklumat terperinci berkaitan kegiatan pelacuran.

Beliau berkata, ini khususnya keperluan pertemuan bersama pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya fikir begini, sebagai agensi penguat kuasa yang terbesar tentunya pandangan Perdana Menteri itu harus disambut oleh pasukan polis. Bukan sahaja pasukan polis, tetapi agensi-agensi penguat kuasa yang lain.

"Saya akan segera untuk mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi pasukan polis khususnya, untuk mengumpul seberapa banyak maklumat tentang gejala ini (pelacuran).

"Kemudian saya akan meminta supaya mereka menyampaikan dahulu kepada saya taklimat terperinci tentang lokasi, tentang operasi yang pernah dibuat dan sebagainya.

" Jadi daripada situ barulah nantinya saya akan berkongsi juga apakah langkah tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan sesi penyerahan surat keputusan kewarganegaraan kepada seorang kanak-kanak berusia 10 tahun Muhammad Danish Haiqal Abdul Rahman, di Flat Sri Kelantan, Jalan Sentul Pasar, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang percaya wujudnya elemen rasuah berkaitan isu lubuk pelacuran di ibu negara yang masih tidak selesai sejak sekian lama.

Saifuddin turut berkata beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pelacuran itu.

Ditanya mengenai kebanyakan tangkapan serbuan yang membabitkan pelacur warga asing, beliau berkata buat masa ini beliau mahu melihat dahulu statistik tepat perkara berkenaan.

Terdahulu, isu lubuk-lubuk pelacuran lama malah dikatakan tertua di ibu negara seperti di kawasan Pudu yang dibongkar semula Harian Metro turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang percaya wujudnya elemen rasuah berkaitan isu lubuk pelacuran di ibu negara yang masih tidak selesai sejak sekian lama.

Dalam isu pelacuran di Kuala Lumpur, Perdana Menteri meyakini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan siasatan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Anwar berkata demikian ketika diajukan soalan oleh Skuad Khas Harian Metro mengenai isu lubuk kegiatan pelacuran di ibu negara yang sudah berdekad lamanya wujud dan tidak selesai dihapuskan sedangkan Indonesia berjaya menutup Dolly iaitu pusat persundalan terbesar Asia Tenggara terletak di Surabaya.

Harian Metro pada 22 Jun lalu menerusi laporan ekslusif bertajuk 'Hanyir Lubuk Dosa' mendedahkan lubuk kegiatan pelacuran tertua sekitar Pudu, Kuala Lumpur termasuk pelacur yang bersepah mencari pelanggan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong diserbu.

Polis menyerbu medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong serta menahan 27 individu termasuk pelayan pelanggan (GRO) dan pelacur.

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu hasil pendedahan eksklusif Harian Metro sebelumnya berkaitan kegiatan medan selera menawarkan khidmat seks serendah RM100.

Susulannya itu, pada 27 Jun lalu polis mendedahkan mengenal pasti empat lokasi yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar ibu kota yang menawarkan khidmat seks dengan harga murah kepada pelanggan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, antara lokasi yang dikesan itu ialah Jalan Petaling, Jalan Gelang, Jalan Pudu dan Hotel Richmoore.

Untuk rekod, antara agensi di bawah KDN selain PDRM adalah Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Institut Keselamatan Awam Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 10:01 PM