MOHD Najwan (tengah) dan Ismail (kanan) menyampaikan cek kepada Nor Azira. FOTO Genes Gulitah
MOHD Najwan (tengah) dan Ismail (kanan) menyampaikan cek kepada Nor Azira. FOTO Genes Gulitah
Mahaizura Abd Malik


Subang Jaya: "Dua minggu sebelum arwah suami meninggal dunia, saya perasan dia tidurkan anak sedangkan sebelum ini saya yang buat tugas itu.

"Tak sangka rupanya dia hendak pergi meninggalkan kami," kata Nor Azira Ruzmi.

Nor Azira,30, adalah isteri kepada Abdullah Azzam Fathulrahim, 32, Pengurus merangkap Imam 1 Masjid al-Ikhlas, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor yang meninggal dunia akibat gumpalan salur darah pada otak, 1 Jun lalu.

Suri rumah itu berkata, dia menerima ketentuan Allah SWT dengan reda dan positif serta menganggap pemergian suaminya, mempunyai hikmah tersendiri.

"Memang sejak awal didiagnos penyakit ini pada Februari 2019, doktor memberitahu suami berisiko tinggi.

"Dia sempat menjalani rawatan radioterapi lima kali tetapi keadaannya semakin merosot sehingga dia terpaksa ditidurkan 29 Mei lalu sebelum kami sekeluarga sepakat menanggalkan mesin bantuan pernafasan atas nasihat doktor selepas otaknya disahkan mati.

"Memang sedih… tetapi saya reda… ini mungkin yang terbaik buat arwah suami kerana saya juga tak sanggup tengok dia menderita lagi," katanya ditemui ketika menerima kunjungan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Selangor, Ismail Abi Hashim di kediaman ibu bapanya di sini, hari ini.

Pada kunjungan itu, Ismail menyampaikan Faedah Pengurusan Jenazah bernilai RM2,000 serta pencen penakat untuk Nor Azira dan anaknya sebanyak RM2,062 sebulan selepas Abdullah Azzam menbuat caruman sejak 2017.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.

Katanya, dia bersyukur bayi lelaki mereka yang seiras suaminya anugerah terbaik Allah yang menjadi pengubat rindu apabila dia terkenangkan lelaki itu.

"Sepertimana pesan suami, saya perlu kuat ketika dirinya diuji penyakit ini dulu, saya akan terus kuat demi anak kami.

"Cuma kadang-kadang anak meragam kerana mungkin rindu Dada (ayah) dia, tetapi saya pujuk dia dengan tunjukkan video suami.

"Saya juga bersyukur berpeluang menjadi isterinya kerana dia memang suami baik termasuk tak pernah marah atau meninggikan suara dan menyenangkan orang sekelilingnya," katanya.

Mengenai lawatan Perkeso, Nor Azira berkata, dia tidak mengetahui suaminya mencarum dengan Perkeso, namun bersyukur pemberian itu meringankan bebannya dalam membesarkan anak tunggal mereka.

"Saya mungkin akan bekerja kerana saya ada sarjana muda multimedia, namun buat masa ini perlukan masa kerana anak masih kecil dan perlu mencari orang menjaganya.

"Apapun, saya bersyukur dengan adanya pencen penakat ini ia sedikit sebanyak amat membantu dan meringankan beban saya terutama dalam membesarkan anak kami," katanya.

Sebelum ini, kisah pemergian Abdullah Azzam dikongsikan Mohd Najwan menerusi ciapan Twitter miliknya, 2 Jun lalu sehingga ia tular.

Mohd Najwan menyifatkan imam muda itu seorang yang baik, berdedikasi dalam menjalankan tugasnya serta pemergiannya

satu kehilangan besar terutama kepada kariah masjid berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 1:20 PM