UKAASYAH  Mohamad Anas teruja merasai pengalaman menaiki pesawat tanpa ditemani ibu bapanya. FOTO Ihsan Norhaidah Jemat
UKAASYAH Mohamad Anas teruja merasai pengalaman menaiki pesawat tanpa ditemani ibu bapanya. FOTO Ihsan Norhaidah Jemat
Oleh Redzuan Muharam


Kuala Selangor: Umurnya baru sembilan tahun namun Ukaasyah Mohamad Anas merasai pengalaman menaiki pesawat tanpa ditemani ibu bapa.

Kisah Ukaasyah mendapat perhatian selepas ibunya, Norhaidah Jemat, 38, memuat naik video di lapangan terbang sebelum menaiki pesawat yang sehingga kini meraih lebih 130,000 tontonan.

Berkongsi kisah itu, bapa Ukaasyah, Mohamad Anas Mohamad Naem, 32, berkata, anak sulungnya itu menaiki pesawat pada 2 Jun lalu dengan berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.

Menurut Mohamad Anas, Ukaasyah pulang ke Sarawak kerana cuti sekolah habis dan perlu menyambung sesi persekolahan di sana.

Mohamad Anas yang juga usahawan berkata, dia dan isteri ada urusan untuk diselesaikan jadi tidak dapat menemani Ukaasyah pulang ke Kuching sehingga terpaksa melepaskan anak sulungnya itu menaiki pesawat sendirian.

"Isteri saya terima tawaran kerja sebagai jururawat di Arab Saudi, manakala saya ada kekangan kerja, jadi tak dapat hantar Ukaasyah yang tinggal dengan datuk dan neneknya di Kuching sejak Mac lalu.

"Jujurnya berat nak lepaskan Ukaasyah pergi dan kalau ditanya pada siapa pun, tiada ibu bapa tak risau biarkan anak kecil sendirian naik pesawat.

"Lagipun, itu kali pertama saya dan isteri lepaskannya, sebak pun ada kerana dia (Ukaasyah) manja dengan saya, tetapi Allah SWT permudahkan semuanya sehingga Ukaasyah selamat sampai ke Kuching," katanya.

Mohamad Anas berkata, dia dan isteri tidak lepas tangan selepas menghantar Ukaasyah ke lapangan terbang.

"Kami tunggu sehingga pesawat berlepas, kemudian baru pulang ke rumah.

"Setibanya di Kuching, datuk dan nenek Ukaasyah sambut ketibaannya, jadi memang lega selepas dapat tahu anak selamat sampai.

"Difahamkan, kru syarikat penerbangan beri layanan terbaik sepanjang penerbangan, tapi tak sangka pula Ukaasyah teruja hingga beritahu kami dia tak sabar nak naik pesawat secara solo lagi," katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Mohamad Anas berkata, niat isterinya memuat naik video Ukaasyah sewaktu di KLIA adalah untuk dijadikan kenangan.

Pada masa sama, Mohamad Anas berkata, isterinya juga berkongsi video berkenaan dengan tujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai bagaimana kanak-kanak bawah umur menaiki pesawat tanpa ibu bapa atau penjaga.

"Sebenarnya, ramai saja di kanak-kanak di luar sana naik pesawat tanpa ibu bapa atau penjaga, cuma mungkin tak dikongsikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 6:55 AM