Orang ramai yang sudah membeli tiket penerbangan terpaksa merancang semula perjalanan mereka termasuk membeli tiket lain atau membatalkannya di Lapangan Terbang Sibu. FOTO Harun Yahya
Orang ramai yang sudah membeli tiket penerbangan terpaksa merancang semula perjalanan mereka termasuk membeli tiket lain atau membatalkannya di Lapangan Terbang Sibu. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya


Sibu: Lapangan Terbang Sibu, di sini dipenuhi penumpang yang terkandas selepas kesemua penerbangan keluar dan masuk dibatalkan hari ini berikutan insiden pesawat tergelincir di landasan malam tadi.

Tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan penumpang berbaris di kaunter MAS dan Air Asia untuk menguruskan penerbangan masing-masing, bahkan difahamkan ada penumpang yang mengambil inisiatif menggunakan pengangkutan darat ke destinasi di sekitar negeri ini berikutan penutupan lapangan terbang terbabit.

Penjawat awam, Norfadzeela Muhir, 31, berkata, dia sepatutnya menaiki penerbangan ke Kuching pada jam 3:45 petang ini.

“Saya tahu mengenai pesawat tergelincir itu malam tadi, selepas mendapat berita lapangan terbang ditutup, saya terus pergi ke lapangan terbang untuk menukar tiket penerbangan.

“Malangnya semua tiket ke Kuching esok sudah penuh yang ada pun hanya pada Selasa. Jadi saya membuat keputusan untuk menaiki kereta ke Kuching yang mengambil masa enam hingga tujuh jam perjalanan dari Sibu," katanya.

Seorang lagi penumpang, Sujanah Jangbon, 52, berkata, dia bersama anaknya sepatutnya ke Kuching menaiki pesawat Air Asia hari ini untuk pergi ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan.

“Saya menerima mesej daripada Air Asia awal pagi tadi yang memaklumkan mengenai pembatalan penerbangan mereka.

“Sudah sejam lebih menunggu di barisan penumpang ini, saya harap tiket penerbangan dapat ditukar esok pagi. Jika tidak, terpaksalah anak saya menaiki bas untuk balik ke Kuching," katanya.

Bagi jurutera Kanan di Sarawak Energy, Norul Mat pula, dia hanya mengetahui mengenai pembatalan penerbangannya ke Kota Kinabalu pagi ini sebaik tiba di Lapangan Terbang Sibu tadi pagi.

“Saya tiba dari Mukah, sebaik tiba ke lapangan terbang saya hairan melihat ramai penumpang berbaris. Selepas bertanya barulah saya tahu kejadian pesawat tergelincir itu. Kini saya masih menunggu status penerbangan untuk esok," katanya yang perlu ke Kota Kinabalu untuk urusan kerja.

Sebanyak 48 penerbangan masuk dan keluar lapangan terbang Sibu dibatalkan hari ini membabitkan pelepasan dan pendaratan dari Kuala Lumpur, Johor Bharu, Kuching, Miri, Bintulu dan Kota Kinabalu

Keseluruhannya, seramai 3787 orang penumpang terjejas susulan kejadian ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 3:06 PM