LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pasangan tular kerana membawa bayi lelaki berusia 11 bulan yang menghidap paru-paru kronik menunggang motosikal akan dinikahkan dalam waktu terdekat ini.

Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim berkata, lelaki berusia 36 tahun itu hadir ke pejabatnya di masjid berkenaan jam 3 petang tadi.

Katanya, lelaki itu datang membawa dokumen lengkap untuk mengisi borang pernikahan bersama pasangannya yang berusia 35 tahun itu.

"Saya turut membantu dia mengisi borang kahwin dan menasihatkannya supaya mengikut tatacara perkahwinan termasuk pemeriksaan HIV dan sebagainya.

"Dia akan segera menghantar borang pernikahan ini di Pejabat Agama Daerah Kota Setar.

"Apabila selesai semua urusan itu dan mereka mengikut panduan semua lengkap, urusan pernikahan akan dilakukan segera," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, sumber memaklumkan pasangan ini tidak melarikan diri sebaliknya melakukan segala urusan untuk mempercepatkan proses pernikahan mereka.

Bagaimanapun, mereka tidak menjawab panggilan telefon kerana mempunyai urusan tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 4:25 PM