Mohd Azlan dan pasangannya, Norhidayu Halim yang tular di media sosial.
Mohd Azlan dan pasangannya, Norhidayu Halim yang tular di media sosial.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pasangan tular kerana membawa anak berusia 11 bulan yang memakai alat pernafasan ke hospital dengan menaiki motosikal dijangka akan melangsungkan pernikahan di Masjid Al Maarufi di Seberang Kota, Kuala Kedah di sini, hari ini.

Mohd Azlan Ishak, 36, berkata, pernikahan dia dan pasangannya, Norhidayu Halim, 35, dijangka berlangsung selepas solat Asar petang hari ini dan akan dihadiri ahli keluarga terdekat kedua belah pihak.

Menurutnya, pernikahan itu dijangka berlangsung pada 5 petang dan dia bersama Norhidayu akan memakai pakaian nikah warna putih dengan majlis diadakan secara ringkas sahaja.

"Kami adakan majlis secara ringkas sahaja dan tiada hantaran diberi cuma bagi mas kahwin RM1,000 dan sebentuk cincin emas sahaja.

"Selain itu, kami juga bercadang untuk buat majlis kenduri secara kecil-kecilan di rumah keluarga pihak perempuan yang dijangkakan diadakan bulan depan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Kuala Kedah, Muhammad Hazamer Muslim berkata, kerjasama diberikan pasangan itu menyediakan semua dokumen diperlukan membolehkan majlis akad nikah itu akan dilangsungkan hari ini.

"Alhamdulillah, semuanya sudah hampir selesai dan hari ini saya sendiri dijangkakan akan nikahkan mereka berdua.

"Bagi pihak masjid, kami sudah sedaya-upaya untuk melaksanakan tanggungjawab untuk membantu menghalalkan hubungan pasangan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 3:13 PM