PERKONGSIAN daripada pemanggil di radio memberi ruang Nabil Ahmad bermuhasabah diri.
PERKONGSIAN daripada pemanggil di radio memberi ruang Nabil Ahmad bermuhasabah diri.
Syafil Syazwan Jefri


Kemaafan adalah satu tindakan yang paling sukar untuk dilakukan, namun membawa seribu makna dan ketenangan kepada setiap yang melakukannya.

Perkara itulah yang ingin dikongsikan oleh pengacara dan penyampai radio, Nabil Ahmad, tatkala berhubung dengan individu yang berkongsi mengenai masalah dalam keluarganya, baru-baru ini.

Namun, perkongsian pendapat oleh Nabil itu membawa 'bencana' apabila dipandang dari sudut emosi oleh netizen.

"Bukan kami tak cakna kesusahan individu itu. Dalam video berdurasi penuh, kami ada jelaskan, kami faham situasi yang dilalui. Siapa tak sedih dan tak marah apabila seorang ibu meninggalkan keluarga dan kemaafan itu tak mudah.

"Cuma, kami bercakap dari sudut sebagai seorang anak, kalau kita tak mahu perasaan luka, sedih dan kecewa itu terus memakan diri kita, salah satu caranya adalah memaafkan.

"Memaafkan tak semestinya melupakan. Kita ingat apa orang buat kepada kita, tapi, memaafkan itu adalah lebih baik," katanya.

Enggan sekadar melontarkan pendapat, Nabil juga merujuk mereka yang arif dalam bidang agama mengenai perihal itu selepas namanya dan rakan seangkatan juga pengacara Neelofa terpalit kontroversi.

"Saya minta nasihat PU Amin dan saya tanya, adakah saya dan Neelofa cakap benda yang salah. PU Amin cakap, untuk kita mengangkat darjat kita, caranya adalah dengan memaafkan.

"Jadi, Alhamdulillah ada sedikit kelegaan dalam hati saya. Ini pendapat saya sendiri. Neelofa mungkin ada perasaan dia sendiri," katanya.

PERKONGSIAN Nabil Ahmad mengenai kemaafan kepada pihak yang pernah menyakiti individu lain disalah tafsir netizen.
PERKONGSIAN Nabil Ahmad mengenai kemaafan kepada pihak yang pernah menyakiti individu lain disalah tafsir netizen.

Tambah Nabil, dia yakin, setiap manusia di atas muka bumi ini memiliki permasalahan dan kisah duka tersendiri, yang mungkin tidak terungkap.

"Setiap orang yang kami hubungi mestilah kami bersimpati dengan apa cerita dan perasaan mereka. Setiap daripada kita ada kisah hidup tersendiri dan ada masalah keluarga. Cuma kita tak cerita kepada orang. Bila orang cerita, kita faham.

"Tapi, kita ambil dari sudut pandang agama, kenapa kita perlu bertindak sedemikian. Sebab, sakit hati ini apabila disimpan, kita jadi marah sampai tak boleh buka peluang kepada orang lain.

"Jadi, memaafkan adalah cara terbaik," katanya.

Ditanya reaksinya saat namanya dikecam hebat netizen, Nabil berkata, semuanya tenang apabila dia merujuk kepada mereka yang arif.

"Saya sebenarnya tak baca dan tak ambil tahu sangat sebab selagi dari sudut agama dan berdasarkan rujukan kepada ustaz, saya tak cakap benda salah. Kalau saya salah, saya minta maaf terus. Tapi, dari sudut agama tak salah dan saya rasa lega di situ," katanya.

Baru-baru ini juga, Nabil dan rakan-rakan seperjuangannya di stesen radio Era berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan, antaranya, seorang pemanggil wanita yang hidup dalam kesempitan bersama keluarganya.

"Kami ada hubungi seorang kakak dan tema judul kami adalah, 'Kenapa anda belum ada baju Raya?'. Dia cakap, dia anak-beranak belum ada baju Raya sebab baru pindah dari Kuala Lumpur ke Seremban. Sebab mereka berpindah adalah kerana kos sara hidup kerana di Seremban lebih murah.

"Suaminya bekerja di Kuala Lumpur, di bazar Ramadan dan dah ambil gaji pendahuluan untuk perbaiki kereta. Tapi, kereta rosak lagi. Jadi, tak ada baju Raya untuk tahun ini," katanya.

Tambah Nabil, pakaian yang mendapat tajaan Jakel serta beberapa sumbangan lain turut diberikan sekali gus, kisah ini menjadi ruang untuk dia bermuhasabah diri.

"Jadi, pakaian itu ditaja oleh Jakel dan kami bagi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Kebetulan, kami ada sedikit bajet untuk beri kuih raya kerana dia cakap, sepanjang berkahwin, dia tak pernah ada kuih Raya setiap kali Aidilfitri.

"Pada masa sama, saya, Radin dan Azad berkongsi wang untuk bantu selesaikan masalah kereta mereka. Alhamdulillah.

"Kita cuba muhasabah diri semula, apa-apa yang kita terlepas pandang. Kita fikir kita dah susah, tapi sebenarnya ada ramai lagi yang lebih susah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 7:01 AM