Neelofa dan Haris. FOTO Rohanis Shukri
Neelofa dan Haris. FOTO Rohanis Shukri
Georgie Joseph


Putrajaya: Pasangan selebriti Neelofa, 34, dan Haris, 28, percaya doa orang ramai adalah antara kunci kekukuhan sebuah rumah tangga.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, mereka sendiri sentiasa mempelajari ilmu baharu selepas berkahwin bagaimana terus perbaiki segala aspek.

"Sudah tentu setiap yang berkahwin mahu kekal sampai bila-bila. Jadi, benda paling berharga untuk pasangan suami isteri adalah doa orang ramai.

"Rumah tangga mana tak mencabar, tetapi bila ada doa orang yang tidak dikenali ia membantu menguatkan.

"Alhamdulillah, biarpun baru setahun jagung, banyak yang saya dan suami belajar. Saya boleh cakap, tak banyak ilmu saya ada sebelum kahwin, hanya peroleh selepas berkahwin," katanya.

Neelofa mengakui hidup berkeluarga terutama dikurniakan cahaya mata adalah kemanisan yang cukup berharga dalam perkahwinan.

"Kemanisan berumah tangga adalah bila kita berkongsi kebahagiaan, dikurniakan cahaya mata. Banyak benda kami tak pernah rasa, namun terubat dan mudah bila ada anak serta berkeluarga," katanya.

Pasangan terbabit ditemui pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel, di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, mereka turut dikejutkan dengan sebuah hadiah manisan dari pihak hotel.

Neelofa dan Haris atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail berkahwin pada 27 Mac 2021.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Bilal pada 29 Januari 2022.

Pada Mac lalu, Neelofa akhirnya turut membuka mulut bahawa dia hamil anak kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 12:36 PM