Najiy Jefri


KEDATANGAN Syawal yang berbaki kurang dua minggu lagi adalah momen ditunggu-tunggu seluruh umat Islam kerana ia menandakan kemenangan besar apabila berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan.

Dalam menyambut keterujaan itu, tiga penyanyi wanita yang dikenali dengan kekuatan vokal masing-masing iaitu Nadeera, Indah Ruhaila dan Wani Kayrie tampil dengan lagu raya baharu bagi menyuntik semangat menjelang Aidilfitri nanti.

Tampil dengan lagu berjudul Balik Raya, masing-masing berjaya menterjemahkan lagu ciptaan komposer muda, Rushdan itu dengan cukup menarik sekali gus diterima baik oleh peminat.

Nadeera yang kali pertama merakamkan lagu raya meluahkan rasa teruja apabila dapat berkolaborasi dengan dua nama hebat selain memiliki kualiti suara yang unik.

"Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dan sangat teruja kerana dapat menghasilkan lagu raya pertama bersama penyanyi-penyanyi hebat seperti Wani dan Indah.

"Proses rakaman pun tidak mengambil masa yang panjang. Lagu ini siap dirakam dalam tempoh dua hari saja dan prosesnya berjalan dengan lancar dan menyeronokkan.

GANDINGAN mantap Wani, Nadeera, Indah ada kekuatan vokal masing-masing.
GANDINGAN mantap Wani, Nadeera, Indah ada kekuatan vokal masing-masing.

"Kami tidak perlu mengambil masa yang lama untuk mencipta keserasian. Ketika menerima pelawaan untuk merakamkan lagu ini, saya terus bersetuju kerana siapa tak mahu berduet dengan penyanyi hebat," katanya.

Bagi Indah yang sudah lama tidak merakamkan lagu raya, dia mengaku Balik Raya mengimbau kembali nostalgia ketika dia merakamkan lagu raya pada usia 17 tahun.

"Saya pernah merakamkan lagu raya bersama syarikat Suria Records. Waktu itu usia saya masih muda sekitar 17 tahun. Jadi apabila tawaran merakamkan lagu raya datang lagi, sudah tentu saya tidak akan menolak.

"Tambah pula, kali ini saya berduet dengan Wani dan Nadeera, jadi proses rakaman menjadi sangat mudah dan cepat. Kami tidak berlatih pun sebab masing-masing sudah tahu apa nak buat.

"Lagipun proses rakaman tidak berjalan serentak memandangkan masing-masing ada tuntutan kerja, tapi Alhamdulillah hasilnya cukup memuaskan hati saya," katanya.

Tambah Indah, keistimewaan lagu berentak moden dan rancak memberi peluang kepada mereka untuk berkarya terutama menghasilkan pergerakan tarian yang mampu menjadi ikutan ramai.

"Setiap orang mempunyai pilihan dan selera tersendiri. Ada yang menggemari lagu sedih dan ada juga yang suka lagu 'catchy' sebab nak sambut raya kenalah gembira.

"Jadi tak salah untuk mengeluarkan lagu berentak moden kerana pendengar boleh menyanyi dan menari bersama. Saya rasa orang sekarang lebih sukakan lagu rancak, kalau pertandingan lagu raya mungkinlah orang pilih lagu sedih kerana mahu menonjolkan vokal.

"Sekarang ini apabila tampil dengan lagu rancak kita boleh buat 'dance challenge' sekali gus mendekatkan diri dengan peminat di platform media sosial," katanya.

Sementara itu, Wani pula menyifatkan kolaborasi membabitkan dirinya dengan Nadeera dan Indah adalah satu peluang yang cukup berharga.

"Mereka berdua ini adalah senior saya dalam dunia nyanyian dan saya kenal mereka daripada zaman saya sekolah lagi. Jadi saya memang menjadikan mereka contoh untuk menjadi penyanyi yang lebih baik.

"Bagi saya ini adalah satu gabungan yang menarik dan saya yakin lagu ini mampu pergi lebih jauh dan akan terus kekal malar segar," katanya.

Ditanya mengenai adakah dia bakal menyambut Aidilfitri di Sandakan tahun ini, Wani berkata, acara itu adalah rutin wajib setiap kali ketibaan Aidilfitri.

"Setiap kali tibanya Hari Raya pasti saya akan meluangkan masa untuk pulang ke kampung halaman di Sandakan, Sabah bertemu dengan keluarga tercinta.

"Pengertian lagu Balik Raya ini bukan sekadar pulang ke kampung semata-mata, tetapi sebagai umat Islam kita perlu rebut peluang ini untuk mengeratkan silaturahim sesama keluarga.

"Jagalah ukhwah dengan sebaiknya dan sentiasa bersyukur kerana kita masih ada insan tersayang kerana pasca bencana Covid-19 yang lalu, ramai yang kehilangan ahli keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 6:00 AM