WANI GGV.
WANI GGV.
Syanty Octavia Amry

Selepas menyertai program realiti Gema Gegar Vaganza (GGV), nama Wani terus dikenali sebagai Wani GGV.

Malah anak jati Batu Pahat, Johor itu turut dilabel sebagai penyanyi nasyid.

Cuba lari daripada terus dilabel sebegitu, Wani atau Nur Syazwani Selamat, 21, tampil dengan single baru berjudul Aku Selalu Setia ciptaan Patrick Kamis.

Single yang berkonsepkan balada 90-an itu diharap menepati cita rasa pendengar masa kini.

Bagi Wani, selepas tampil dengan tiga lagu ketuhanan, dia mahukan kelainan dengan mencuba sesuatu yang baru.

“Saya masih muda, perjalanan pun jauh lagi. Tidak salah jika saya mengubah aliran muzik yang dirasakan sesuai dengan selera pendengar.

“Saya juga mahu tampil solo. Sebelum ini saya banyak berkolaborasi dengan Juzzthin,” katanya.

Bercerita lanjut dirinya kini bergerak secara solo, Wani mengakui sedikit kekok memandangkan selama ini dia banyak beraksi di atas pentas bersama Juzzthin.

“Awalnya rasa bimbang dan gementar kerana saya seorang yang sangat pemalu. Bagaimanapun, sokongan yang diberikan peminat buat saya semakin yakin.

“Saya harus berani kerana selepas ini akan menyanyi secara solo. Lagi pun, saya tak boleh selamanya bergantung harap dengan penyanyi lain,” katanya.

Dalam pada itu, Wani sering dikaitkan dengan Wani Kayrie dan berharap tidak ada lagi yang keliru kerana masing-masing punya cara nyanyian berbeza.

“Saya sedar ramai peminat sering keliru dan menyangka kami kembar. Apa pun, vokal kami sangat berbeza.

“Suara saya kecil manakala Wanie Kayrie pula vokalnya lebih besar. Malah penampilan kami juga sangat berbeza,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 12:05 AM