NADEERA sudah tidak sabar nanti lagu diputarkan di radio, dapat maklum balas peminat.
NADEERA sudah tidak sabar nanti lagu diputarkan di radio, dapat maklum balas peminat.
Oleh Ardini Sophia Sina


Bertubuh kecil tetapi memiliki suara besar. Walaupun tidak berjaya ke final Mentor Legend, Nadeera Farah Zaini tidak patah semangat. Kembara seninya yang baru bermula tidaklah terlalu sepi dan dia kini sibuk dengan perancangan pembikinan single serta memenuhi undangan menyanyi.

Bekas protege penyanyi Zainal Abidin itu akui sangat menyukai single pertama kerana menggambarkan identiti dirinya. Dengan suntikan ‘world music’ dan balada, Nadeera sudah tidak sabar menantikan lagu itu diputarkan di radio dan mendapat maklum balas pendengar.

Anak kelahiran Mersing, Johor itu turut mengakui dalam keterujaan, dia agak berdebar dengan penerimaan orang ramai.

Katanya, tidak semestinya apa yang disukai akan mendapat maklum balas positif dari pendengar.

“Bercakap mengenai penerimaan pendengar, saya memang agak kurang yakin. Lagu pun belum keluar lagi, susah untuk kita bercakap mengenai perkara itu.

“Memanglah saya mahu lagu itu diterima. Mahu mencapai tahap itu kena usaha gigih. Mungkin saya boleh perkenalkan lagu itu bukan hanya menerusi radio tetapi juga melihat kesesuaian menjadikan sesebuah lagu itu sebagai runut bunyi drama. Menerusi drama, penonton boleh juga menilai lagu berkenaan,” katanya.

Setiap penyanyi mempunyai kriteria dalam pemilihan lagu. Asasnya, mereka pasti menumpukan pada kekuatan lirik kemudian kesesuaian muzik dengan vokal mereka. Bagi Nadeera, dia sukakan muzik mendayu.

Katanya, bolehlah orang jadikan lagu itu sebagai muzik yang mendodoikan ketika mahu tidur. Dengan cara itu, orang akan sentiasa mengingati dirinya sebagai penyanyi lagu itu.

Namanya mungkin masih belum cukup mekar dalam industri seni suara, namun kata Nadeera, agak ramai juga yang mengenali dia sebagai peserta Mentor Legend.

Bagaimanapun, dia tidak meng­klasifikasikan situasi itu sebagai satu perubahan besar.

“Kalau mahu katakan dari segi karakter, saya masih sama seperti dulu. Seorang yang ceria cuma dulu saya agak pemalu dan kurang yakin ketika mahu melakukan sesuatu terutama ketika berada di pentas.

“Namun selepas menyertai Mentor Legend, saya semakin yakin dengan diri sendiri dan dapat mengikis rasa malu. Kalau dulu setiap kali naik ke pentas, saya tidak berani melihat ke arah penonton. Sekarang ini sudah okey,” katanya.

Mula menyertai pertandingan nyanyian buat pertama kali pada usianya 12 tahun, bakatnya menyerlah apabila dinobatkan sebagai johan. Nadeera banyak membawakan lagu-lagu keroncong dan asli.

Umpama ‘makanannya’, Nadeera sering diundang menyanyikan lagu genre terbabit serta pernah menghiburkan tetamu dari kalangan orang kenamaan di Istana Kelantan serta majlis-majlis sekitar Johor.

“Bolehlah cakap lagu keroncong dan asli sudah sebati dengan diri. Bagaimanapun, saya juga membawakan lagu genre lain dan buat masa ini saya ingin tumpukan pada penghasilan lagu rentak balada.

“Ada dalam perancangan untuk menghasilkan lagu keroncong kontemporari. Ada juga terfikir untuk menyanyikan semula lagu Fatwa Pujangga serta dimuatkan dalam album. Sebab ramai yang suka saya menyanyikan lagu itu. Namun, agak sukar sebenarnya kalau kita nyanyikan semula lagu orang dan muatkan dalam album kita,” katanya.

Anak bongsu dari dua beradik ini tidak hanya dijaga Zainal ketika dalam Mentor Legend. Kata Nadeera, dia kini tinggal bersama keluarga mentornya itu buat sementara waktu.

Menganggap mereka sebagai keluarga angkat, keluarga Nadeera yang berada di Johor tidaklah terlalu risaukan keselamatan anak mereka. Ia juga dapat mengelakkan penyanyi itu dari menjadi mangsa penipuan.

Sebelum menyertai Mentor Legend, Nadeera pernah menjadi peserta Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua dan bersyukur apabila diberikan peluang menyertai Mentor Legend.

Katanya, walaupun masa depannya masih samar-samar namun tapak untuk terus kukuh itu sudah kelihatan.

“Dalam Vokal Bukan Sekadar Rupa, semuanya kami lakukan sendiri. Kalau Mentor Legend, ada orang yang memberi bantuan dan tunjuk ajar. Selepas program Vokal Bukan Sekadar Rupa, saya balik kampung dan membantu ayah di kedai makan.

“Saya tidak ada asas dalam industri dan tidak tahu harus melangkah ke mana. Sebab itu terus senyap tetapi apabila peluang seperti ini datang, saya tidak akan lepaskan. Saya akan terus maju,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:06 AM