WANITA warga emas di Jepun masih mampu bekerja.
WANITA warga emas di Jepun masih mampu bekerja.

Singapura, baru-baru ini mahu menaikkan usia persaraan kepada 64 tahun pada 2026, manakala penduduknya yang ditawarkan bekerja semula selepas bersara boleh terus bekerja hingga usia 69 tahun.

Perubahan itu adalah sebahagian daripada proses berterusan yang akan menyaksikan umur persaraan dan usia bekerja semula negara itu masing-masing mencapai 65 tahun dan 70 tahun menjelang tahun 2030.

Sebagai perbandingan, ini adalah lima negara dengan usia persaraan paling rendah, seperti dilaporkan nasdaq.com. Untuk rekod, senarai ini meliputi butiran pencen yang boleh dijangkakan oleh pekerja di negara berkenaan.

1. Indonesia (58 tahun)

Umur persaraan di Indonesia akan meningkat kepada 58 tahun pada 2024 dan akan meningkat setahun untuk setiap tiga tahun, sehingga 65 tahun pada 2043.

Pekerja sektor swasta di Indonesia mencarum ke program keselamatan sosial yang dikendalikan kerajaan.

Pada masa bersara, mereka boleh memilih pengeluaran sekali gus atau separuh daripada jumlah, ditambah dengan bayaran berkala.

2. India (58-60 tahun)

Lelaki dan wanita biasanya bersara pada usia 58 hingga 60 tahun, bergantung pada sektor pekerjaan.

Kakitangan kerajaan pusat kini bersara pada usia 60 tahun.

Sistem pencen India terdiri daripada program caruman pekerja dan dana yang diuruskan oleh majikan.

Untuk mengeluarkan wang daripada Skim Pencen Pekerja, pekerja mestilah berumur 58 tahun dengan sekurang-kurangnya caruman selama 10 tahun.

Pengeluaran untuk program Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pula layak untuk pekerja berumur 55 tahun. Program ini meliputi kakitangan kerajaan dan mereka yang bekerja dengan syarikat yang mempunyai 20 atau lebih pekerja.

3. Arab Saudi (58 tahun)

Di Arab Saudi, lelaki dan wanitanya boleh bersara pada usia 58 tahun. Pekerja Arab Saudi menyumbang kepada sistem pencen awam wajib, yang mana mereka boleh membuat pengeluaran pada umur 58 tahun, jika membuat sekurang-kurangnya caruman untuk 120 bulan, atau pada mana-mana umur jika mencarum sekurang-kurangnya 300 bulan.

4. China (60 tahun)

Umur persaraan di China ialah 60 tahun untuk lelaki. Bagi wanita, pekerja kolar putih boleh bersara pada usia 55 tahun, tetapi pekerja kolar biru pada usia 50 tahun.

Beberapa pekerjaan yang membabitkan buruh fizikal melayakkan pekerjanya bersara pada umur 45 tahun (wanita) atau 55 tahun (lelaki).

Terdapat dua jenis pencen di China. Pencen asas membayar satu peratus daripada gaji purata bagi setiap tahun perlindungan bagi pekerja yang mencarum sekurang-kurangnya 15 tahun.

Untuk pencen caruman yang ditetapkan, pekerja membayar lapan peratus daripada gaji mereka setiap tahun ke dalam sistem akaun individu. Mereka mendapat pencen berdasarkan umur dan jangka hayat negara.

5. Rusia (60 tahun)

Di Rusia, lelaki boleh bersara pada umur 60 tahun, dan wanita boleh bersara pada umur 55 tahun.

Sistem pencen di Rusia kini tegang apabila populasi semakin meningkat. Kerajaan bercadang untuk menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun bagi lelaki dan 60 tahun bagi wanita, menjelang 2028.

Bagaimanapun, lelaki yang bekerja sekurang-kurangnya 42 tahun dan wanita yang bekerja sekurang-kurangnya 37 tahun boleh bersara awal, tetapi mereka masing-masing tidak boleh menuntut pencen mereka sehingga umur 60 atau 55.

Semua pekerja di Rusia mencarum ke dalam sistem keselamatan sosial dan mereka mesti berbuat demikian sekurang-kurangnya lapan tahun sebelum menuntut pencen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 10:11 AM