Kuala Lumpur: Pelakon Wan Hanafi Su merasa terhina jika ada pihak produksi yang menawar semula kadar harga diberikannya untuk berlakon dan lebih rela menolak tawaran berkenaan.
Wan, 73, berkata, kadar harga melambangkan harga dirinya sebagai pelakon dan pendekatan itulah diambilnya demi terus menjaga statusnya sebagai pelakon berpengalaman lama.
"Saya pernah ditanya berapa kadar harga saya? Saya kata kalau letak pistol di kepala pun, saya tak beritahu. Itu kan harga diri. Kadang-kadang, saya ditawar watak dan faham mereka sudah pasti kenal saya.
"Tapi bila dapat tahu kadar harga, dia minta tawar. Selalu kalau macam itu, saya cakap nanti selepas beberapa hari saya akan hubungi semula. Kemudian saya lepaskanlah. Bagi saya itu terlalu menghina.
"Kalau sudah tawarkan kadar harga untuk watak yang mereka fikir saya mampu bawa, kenapa nak tawar?" katanya ditemui di sidang media pelancaran filem La Luna arahan M Raihan Halim, di Dadi Cinema, Pavilion, di sini, hari ini.
Pelakon filem Tokan itu berkata melainkan kalau kadar harga ditawarkan terlalu tinggi, dia boleh berunding. Baginya kadar harganya biasa saja dan setakat ini belum pernah ada pengalaman dibayar terlalu rendah.
"Kalau ambil tawaran itu sekadar untuk cari makan, akan jejaskan cara kerja. Kita bekerja nak seronok juga. Kita nak buat yang terbaik tapi bayaran pun jangan terburuk. Alhamdulillah setakat ini belum ada. Saya tak terima.
"Pernah banyak saya tolak tawaran tapi mereka (penerbit) tak tahu. Alasan saya kata saya terikat (komitmen lain). Saya tak pernah ambil dua tawaran pada satu masa. Pasal itu saya tak kaya. Saya nak senang saja," katanya.
Wan juga tidak pernah rasa serba-salah pun apabila terpaksa menolak tawaran dengan cara begitu.
Bukan serba-salah, tapi saya malu. Kalau diberi tawaran, selepas itu, kena tawar pula harga (bayaran), saya rasa malu. Ada artis yang buat kerja ikut harga bayaran. Tetapi saya tidak! Kita tidak boleh meletakkan tahap lakonan kita itu mengikut tahap dibayar," katanya.
Selain Wan, La Luna yang bakal ditayangkan di pawagam pada 9 November turut dibintangi Sharifah Amani, Shaheizy Sam, Iedil Dzuhrie, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Farah Ahmad, dan Wafiy Ilhan.