PRISIA pertama kali berlakon di Malaysia menerusi Interchange.
PRISIA pertama kali berlakon di Malaysia menerusi Interchange.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Nama Prisia Nasution popular di Indonesia kerana pernah membintangi pelbagai filem hebat seperti Sekolah Rimba dan Pendekar Tongkat Emas.

Dia juga pernah memenangi gelaran Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Indonesia (FFI2011) menerusi filem Sang Penari.

Puas membintangi filem di negara sendiri, pelakon berusia 31 tahun ini hadir membintangi filem Interchange arahan Dain Said.

Menerusi filem ini, Prisia digandingkan dengan barisan pelakon terkenal seperti Nicholas Saputra, Shaheizy Sam, Iedil Putra, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Alvin Wong dan Junad M Nor.

Ditemui pada sesi temu

bual baru-baru ini, Prisia berkata, dia tidak pernah membayangkan untuk membintangi filem terbitan produksi Malaysia sebelum ini.

“Sebetulnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana boleh terpilih berlakon dalam filem ini. Mungkin kerana Dain menonton filem saya dan berminat bekerjasama dengan saya.

“Kami pernah bertemu

di Festival filem Asia Pasifik di Macau pada 2013 dan hanya berbual-bual kosong. Beberapa lama selepas itu, Dain menghubungi saya semula dan beritahu skrip filemnya dah siap dan menawarkan saya berlakon.

“Saya seterusnya datang ke Kuala Lumpur untuk sesi uji bakat. Kami berjumpa semula dan berbual-bual lagi. Saya tak menaruh harapan sangat kerana fikir kalau ada rezeki dapatlah berlakon filem ini. Saya akhirnya tertarik de­ngan cerita Dain dan apabila membaca skripnya, saya bersetuju untuk berlakon,” katanya.

Menurutnya, ketika bertemu Dain, dia kurang mengenali pengarah yang menghasilkan filem Bunohan ini dan sekadar berkongsi pandangan terhadap industri filem.

“Pernah juga kami bayangkan alangkah bagusnya dapat bekerjasama. Akhirnya perkara ini jadi kenyataan. Kalau diikut­kan, jadual asal filem ini sebenarnya bertembung dengan jadual lakonan saya di Indonesia.

“Tapi kebetulan Nicholas pun terbabit dan dia perlu menghabiskan projeknya di Indonesia terlebih dahulu membuatkan Dain memberikan kelonggaran meminda sedikit jadual penggambaran,” katanya.

Prisia berkata, dia tertarik dengan watak dalam Interchange yang berbeza dengan lakonannya sebelum ini.

“Wataknya sedikit berat. Saya melakonkan karakter gadis ‘femme fatale’ bernama Iva yang ada interaksi dengan watak utama. Saya suka kerana dikelilingi barisan pelakon profesional dan tahu kerja masing-masing.

“Bekerja dengan produksi sini pula berbeza kerana segalanya tersusun, tetapi tekanannya agak tinggi berbanding Indonesia kerana semuanya berjalan secara serius.

“Ini berbeza daripada Indonesia kerana sentiasa ada suasana jenaka dan tenang. Bukanlah bermaksud kru di Malaysia tak pernah buat jenaka, tapi mungkin kerana tekanannya tinggi, mereka tak mampu berbuat demikian.

“Saya pula tak suka situasi begini dan tetap buat jenaka untuk ceriakan set. Apabila tengok keadaan lagi tertekan, saya akan terus buat jenaka untuk buatkan keadaan jadi tenang,” katanya.

Biarpun Dain seorang yang tegas, Prisia tidak menganggapnya satu masalah kerana suka bekerja dengan orang yang mempunyai ‘passion’ terhadap kerjanya.

Tidak kejar populariti

Prisia memberitahu, tujuannya berlakon di Malaysia bukanlah untuk mencari populariti, sebaliknya kerana minat yang mendalam terhadap lakonan.

“Saya langsung tidak berdepan tekanan apabila membintangi filem ini kerana saya hanya menjalankan tugas sebagai pelakon. Saya juga tak berlakon untuk dikenali kerana saya suka buat apa yang diminati.

“Bagaimanapun agak mengejutkan juga kerana apabila berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur, ada juga peminat yang kenal saya dan minta bergambar. Mereka dapat saksikan lakonan saya di SCTV dan banyak juga telefilem lakonan saya ditayangkan di saluran itu.

“Saya sendiri terkejut dibuatnya dengan situasi yang berlaku. Saya sebenar­nya pernah datang ke Kuala Lumpur untuk jalan-jalan. Pengalaman ini sangat menyeronokkan,” katanya.

Selain berlakon, Prisia juga mempunyai produksi sendiri yang menghasilkan program berbentuk dokumentari. Malah, dia juga berhasrat menghasilkan filem selepas ini.

“Saya juga jadi penyedia kandungan untuk saluran National Geographic. Saya suka melakukan kerja sosial, tapi saya tak nak digelar aktivis kerana saya hanya berniat membantu golongan kurang bernasib baik.

“Saya akan bantu golongan kanak-kanak dan orang kampung. Saya anjurkan kempen kesedaran mengenai alam sekitar serta buat bengkel kecil-kecilan kepada masyarakat

di kampung.

“Semuanya dibuat tanpa ada mana-mana dana daripada pihak tertentu. Tempoh berada di sesuatu lokasi bergantung pada jarak. Saya dapat kepuasan tersendiri dengan apa yang dibuat terutamanya belajar adat budaya sesuatu tempat dan pelbagai lagi.

“Bukan saya yang berikan kepada mereka, tapi mereka yang berikan pengalaman berguna kepada saya,” katanya yang pernah bergelar pesilat dan peragawati sebelum berlakon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 12:46 PM