RAMAI pihak termasuk peminat, pelakon ingin melihat filem berkaitan pahlawan melayu dihasilkan. FOTO Azhar Ramli
RAMAI pihak termasuk peminat, pelakon ingin melihat filem berkaitan pahlawan melayu dihasilkan. FOTO Azhar Ramli
Ridzuan Abdul Rahman


Nama Syamsul Yusof, 38, terus menjadi sebutan ramai berikutan kejayaan filem arahannya Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencatat kutipan hampir RM100 juta selepas 40 hari ditayangkan.

Justeru, tidak menghairankan apabila semua pihak termasuk dalam kalangan pelakon sendiri melahirkan keinginan untuk melihat karya patriotik atau kenegaraan terus dihasilkan Syamsul.

Antara yang menjadi sebutan apabila pelakon Maya Karin mencadangkan Syamsul menghasilkan filem berdasarkan kisah legenda Mahsuri dan membayangkan untuk melakonkan watak terbabit.

"Maya dah sebut mengenai filem itu dan kalau boleh nak saya mengarahkannya. Itu sebenarnya satu penghormatan buat saya.

"Saya pun suka cabar diri sendiri nak buat cerita Mahsuri. Walaupun cerita ini lihat lahir dari drama, tapi saya sedar kewujudannya. Bila dia kata Syamsul akan mengarah, dia akan jadi perdebatan dalam kalangan peminat. Ada yang kata sesuai difilemkan dan ada kata tak," katanya.

Syamsul mengambil positif setiap pandangan kerana yang penting ia menjadi perhatian dan perbualan peminat.

"Saya suka dengan Mahsuri dan kalau Maya ada pembiaya atau pelabur saya tiada masalah untuk bekerjasama. Saya juga menanam minat untuk menghasilkan Mahsuri kerana ia juga salah satu epik Malaysia dan seharusnya difilemkan untuk tontonan masyarakat.

"Cerita Mahsuri pernah difilemkan, tapi bagi saya secara peribadi setiap pengarah ada cara penyampaian yang berbeza," katanya.

Syamsul berkata, mungkin juga akan ada pengarah lain menghasilkan filem Mat Kilau kerana perjuangannya panjang, namun dalam garapan berbeza.

"Saya juga nak buat filem Pasir Salak: Datuk Maharaja Lela kerana Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin pernah berhasrat menghasilkannya.

SYAMSUL sedia bekerjasama dengan kerajaan Melaka untuk projek filem sejarah. FOTO Azhar Ramli
SYAMSUL sedia bekerjasama dengan kerajaan Melaka untuk projek filem sejarah. FOTO Azhar Ramli

"Sekarang saya pula nak buat dan masih dalam perbincangan dengan anak beliau iaitu Putera Hang Jebat. Nak kena tengok hak cipta bahan yang dia ada milik siapa sama ada dia sendiri atau terbabit dengan adik-beradik lain.

"Saya tak nak ada isu kemudian hari. Namun saya secara peribadi nak bekerjasama dengan dia. Nak dapat bahan itu bukan percuma. Niat saya baik, tapi kalau tawarannya terlalu tinggi saya terpaksa buat kajian semula," katanya.

Menurutnya, dia difahamkan anak Allahyarham Mamat Khalid, Amen Khalid pun mahu menghasilkan filem terbabit selepas pemergian bapanya.

"Selain itu, ada lagi penerbit lain menghubungi saya beritahu nak buat filem ini dan ajak berbincang. Saya kata nak bincang apa. Buat saja. Saya pun tak tahu ramai yang pilih kisah Maharaja Lela, tapi mungkin sebabnya kisah Maharaja Lela dan Pasir Salak ini amat menarik. Bila saya baca kisah Maharaja Lela dan perjuangan lain JWW Birch, terus terfikir ini adalah kemahiran saya. Ia boleh dikembangkan lagi kerana cerita asal pun sangat menarik," katanya.

Syamsul berkata, skrip filem ini sudah ada, tapi ia masih dalam perbincangan dengan Jebat.

SANGAT teliti dengan setiap karya yang dihasilkannya. FOTO Azhar Ramli
SANGAT teliti dengan setiap karya yang dihasilkannya. FOTO Azhar Ramli

Bagaimanapun, menurut Syamsul, ia hanya untuk rujukan dan dia tetap sebagai penulis skrip dan pengarah.

Ia juga akan dibuat tanpa mengikut yang asal, sebaliknya dari perspektifnya.

"Mat Kilau ada skrip asalnya, tapi 90 peratus kata bual cerita diubah. Malah ada babak yang saya buang dan tambah," katanya.

Anak kepada pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam ini turut melahirkan perasaan bangga dan terharu apabila dipilih oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk bekerjasama dalam penghasilan filem berkaitan Melaka.

"Nampaknya beliau amat berminat dalam projek ini. Hari itu saya persembahkan dengan dia setakat apa yang saya cadang. Saya pergi pun atas jemputannya yang nak saya bawa benda ini. Dia nak adakan pertemuan kali kedua dan kemukakan perubahan yang diminta.

"Saya tak boleh dedahkan semua kerana masih terlalu awal. Saya rasa memang sangat rugi kalau tak buat filem Melaka bukan kerana nak angkat industri filem Malaysia saja. Objektif saya nak angkat Malaysia, Islam dan bangsa Melayu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 7:00 AM