LUQMAN cuba sehabis baik tunai tanggungjawab, amanah diberikan.
LUQMAN cuba sehabis baik tunai tanggungjawab, amanah diberikan.
Syafil Syazwan Jefri


Nama Luqman Hafidz cukup sinonim dengan filem dan teater Ola Bola yang pernah menjadi fenomena.

Watak sebagai pemain bola sepak sentiasa menjadi watak yang menggambarkan nama dan dirinya sebagai pelakon.

Namun, pelakon berusia 33 tahun ini sentiasa meraikan setiap pendapat dan sokongan yang diterima.

"Saya tak salahkan sesiapa apabila nama sinonim dengan Ola Bola. Saya bukan saja berlakon dalam filem itu, tetapi juga pementasan teaternya. Jadi, ia satu tempoh yang lama apabila saya beraksi di pentas teater Ola Bola selama tiga tahun.

"Pada masa sama, saya suka apabila orang masih mengingati nama saya sebagai pelakon Ola Bola kerana saya ada 'talking point' untuk dibualkan. Sekurang-kurangnya, orang tahu hasil lakonan saya dan boleh promosikan karya lain saya.

"Nak pecahkan stigma Ola Bola itu memang sukar sebab saya sendiri pun aktif bermain bola sepak di luar.

"Jadi, saya raikan setiap pendapat dan sokongan. Pada masa sama, saya berharap ia tidak mengehadkan saya untuk ditawarkan berlakon dalam filem lain," katanya.

Ditanya sama ada dia selesa sekiranya dilabel sebagai pelakon 'method', Luqman berkata, dia sendiri tidak pernah terfikir untuk mengkategorikan dirinya sebagai pelakon 'method'.

"Saya terima setiap pendapat mengenai diri saya. Tapi, saya tak kategorikan diri saya sebagai pelakon 'method' atau apa. Saya cuma seorang pelakon yang mencuba sehabis baik untuk menunaikan tanggungjawab serta amanah yang diberikan.

LUQMAN membintangi filem arahan Nik Amir Mustapha berjudul Dalang.
LUQMAN membintangi filem arahan Nik Amir Mustapha berjudul Dalang.

"Saya cari rezeki untuk anak. Lakonan bukanlah satu rezeki yang kita datang dan batuk-batuk saja. Kita ditawarkan peluang kerja kerana ada orang yang nampak akan kualiti kita.

"Apa-apa pun gelaran yang orang labelkan kepada saya, yang penting, orang tahu tugas saya sebagai

pelakon dan bukanlah boneka yang wujud semata-mata untuk mengejar populariti," katanya.

Berbicara mengenai anak dan tanggungjawabnya sebagai bapa, Luqman berkongsi bagaimana anaknya, Eve Laura, 3, sentiasa menjadi pemangkin yang menguatkan semangatnya.

"Kehidupan sebagai bapa mengajar saya menjadi individu yang lebih kuat. Kita tahu, ada seseorang (anak) yang mengharapkan kita untuk jadi kuat. Kalau kita mengalah, apa akan berlaku kepada dia?

"Saya pegang kata-kata itu. Saya kerja dan anggap rezeki saya adalah untuk anak. Apabila rasa tertekan, saya fikirkan mengenai anak dan memangkin semula motivasi saya.

"Ketika berdepan kesulitan hidup, saya berlapang dada. Sekarang adalah fasa saya berharap peluang berlakon itu sentiasa ada," katanya.

Ditanya sama ada perceraian dengan bekas isteri, Nurul Atiqah Mad Apandi memberikan kesan kepada anaknya, Luqman berharap itu tidak akan berlaku memandangkan hubungannya dengan Atiqah masih baik.

"Anak saya mungkin belum faham situasi yang berlaku, tapi saya dan bekas isteri pun tak ada masalah. Kami berhubung dengan baik dan saya harap, ini dapat berterusan tanpa sebarang isu.

"Saya berharap perceraian kami tidak memberikan kesan kepada anak memandangkan dia mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapanya," katanya.

SEHINGGA kini, nama Luqman masih sinonim dengan karya Ola Bola.
SEHINGGA kini, nama Luqman masih sinonim dengan karya Ola Bola.

Terbaharu, Luqman kini membintangi filem Dalang arahan Nik Amir Mustapha yang ditayangkan di platform penstriman digital, Tonton.

"Saya dengan Nik memang berkawan baik dan kami selesa bekerjasama. Ini kali pertama saya berlakon di bawah arahannya dan memegang peranan utama.

"Ketika dia menghubungi saya dan maklumkan watak ini sebagai seorang wartawan, saya ingat semula sesi wawancara dengan wartawan yang saya sendiri lalui," katanya.

Jalan ceritanya yang lari daripada kebiasaan mungkin sedikit mencabar untuk menarik perhatian peminat filem tempatan. Namun, Luqman yakin filem ini akan ada kumpulan peminatnya tersendiri.

"Kalau bercakap mengenai kepuasan, saya rasa daripada satu sudut, platform Tonton sudah memberikan harga yang murah untuk pelbagai karya.

"Mungkin apabila penonton menonton karya lain, secara tak langsung filem Dalang akan 'melintas' dalam senarai mereka. Saya tahu, peminat karya arahan Nik juga akan turut menonton," katanya.

Ditanya sama ada filem ini dekat dengan dirinya sebagai individu, Luqman berkata, ia mengajarnya supaya sentiasa melihat sesuatu atau menilai keperibadian seseorang secara menyeluruh.

"Mengenai penipuan seperti yang ditonjolkan dalam filem Dalang ini, saya ada perspektif yang tersendiri. Saya cuba terapkan kepada diri saya untuk sentiasa 'husnuzon' dan 'tabaiyun'.

"Bagi saya, filem ini umpama menggabungkan pelbagai pengalaman dan situasi kehidupan. Kita tak tahu, sama ada seseorang itu benar-benar baik atau jahat.

"Filem ini mengajar saya supaya tidak menghakimi sesiapa kerana kita tak tahu, apa kisah di sebalik kehidupan seseorang individu itu," katanya.

Berkongsi mengenai pengkhianatan yang juga menjadi satu elemen dalam filem ini, Luqman menganggap ia realiti kehidupan.

"Saya sendiri juga pernah rasa penat bekerja dan ada pengalaman saya bergaduh di set penggambaran. Jadi, bukanlah semuanya kisah gembira saja. Tapi, itulah realiti kehidupan yang menjadi pelajaran buat kita.

"Kalau bercerita mengenai pengkhianatan, saya sendiri pernah terkena apabila percayakan seseorang dan kemudian dikhianati. Tak kiralah, berkaitan cinta, persahabatan atau sesiapa saja.

"Namun, pengalaman itulah yang mendewasakan kita. Jadi, apabila ada penonton yang menonton filem ini, saya berharap mereka akan lebih berhati-hati dan tidak mudah termakan dengan penipuan atau pengkhianatan," katanya.

Selain Luqman, filem Dalang turut dibintangi antaranya Liyana Jasmay, Aziz M Osman dan Arash Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 7:00 AM