Faisal Halim meraikan golnya ketika menentang Korea Selatan di Piala Asia 2023. FOTO NSTP HAIRUL ANUAR RAHIM
Faisal Halim meraikan golnya ketika menentang Korea Selatan di Piala Asia 2023. FOTO NSTP HAIRUL ANUAR RAHIM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kancah saingan Piala Asia 2023 di Qatar pastinya dikenang sebagai memori paling indah buat pemain lincah skuad Harimau Malaya, Faisal Halim apabila jaringannya ketika menentang Korea Selatan dinobatkan sebagai gol terbaik kejohanan tertinggi benua itu.

Ia susulan selepas Faisal berjaya meraih 85% undian untuk meninggalkan tujuh pesaing lain sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia.

Gol yang disumbangkan Faisal atau lebih mesra dipanggil 'Mickey' dihasilkan ketika mengikat skuad Taegeuk Warriors 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E, di mana pemain kelahiran Pulau Pinang itu bijak memperdaya pertahanan lawan sebelum melakukan sungkitan cantik menewaskan penjaga gol, Jo Hyeon Woo.

Peratusan itu jauh meninggalkan pencabar terdekat, Mousa Al Tamari dari Jordan yang sekadar menerima sembilan peratus undian sementara tempat ketiga menjadi milik pemain Korea Selatan, Son Heung Min dengan tiga peratus.

Menariknya, ketiga-tiga jaringan terbaik yang menjadi pilihan penyokong itu hadir daripada pasukan yang berentap dalam kumpulan sama.

Selain Faisal, Al Tamari dan Heung Min, lima lagi pemain turut tercalon untuk anugerah terbabit - Keito Nakamura (Jepun), Abdulrahman Ghareeb (Arab Saudi), Hassan Al Haydos (Qatar), Supachok Sarachat (Thailand) dan Sardar Azmoun (Iran).

Sebanyak 132 gol dijaringkan pada pentas Piala Asia kali ini dan kejayaan Faisal cukup membanggakan apabila diangkat sebagai gol terbaik hasil undian peminat di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 1:33 PM