FAISAL Halim menjaringkan gol pertama untuk Harimau Malaya ketika bertemu Korea Selatan. FOTO AFP
FAISAL Halim menjaringkan gol pertama untuk Harimau Malaya ketika bertemu Korea Selatan. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim berpeluang cerah untuk merangkul anugerah gol terbaik kejohanan Piala Asia yang berlangsung di Qatar baru-baru ini.

Hal ini kerana, berdasarkan semakan Arena Metro sehingga jam 1 petang tadi mendapati Faisal yang mesra di panggil Mickey kini jauh meninggalkan nama besar lain yang turut tercalon dalam anugerah terbabit.

Ketika ini, Faisal yang juga pemain Selangor FC memperoleh 62 peratus undian iaitu jauh meninggalkan calon lain seperti pemain Jordan, Mousa Al Tamari (27 peratus), tonggak Korea Selatan, Son Heung-min (6 peratus) dan bintang Iran Sardar Azmoun (4 peratus).

Pemain lain seperti Keito Nakamura (Jepun), Abdulrahman Ghareeb (Arab Saudi), Hassan Al Haydos (Qatar) dan pemain Thailand, Supachok Sarachat sehingga kini belum lagi mendapat sebarang undian.

Mengikut rekod, pemain berusia 26 tahun itu meledak jaringan menarik selepas berjaya memperdaya pemain Korea Selatan yang dilabel antara pertahanan tengah terbaik dunia yang juga pertahanan terbaik Serie A 2022/23, Kim Min Jae di Stadium Al Janoub, 25 Januari lalu.

Dia menyambar bola sebelum memperdaya pertahanan Bayern Munich itu dan juga penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon Woo yang 'terduduk' sebelum meledak gol pertama Malaysia.

Aksi berdepan Korea Selatan menjadi tumpuan dengan Harimau Malaya berjaya mengikat pasukan di ranking 22 dunia itu 3-3 selepas tewas dalam dua aksi awal kepada Jordan dan Bahrain.

Sebanyak 132 gol dihasilkan dalam 51 perlawanan sepanjang Piala Asia 2023 membabitkan aksi peringkat kumpulan hingga ke final.

Orang ramai boleh menghantar undian masing-masing pada laman sesawang https://www.the-afc.com dan tarikh tutup adalah pada Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 2:22 PM