Dr Mohd Na'im Mokhtar
Dr Mohd Na'im Mokhtar
Skuad Khas Harian Metro

[email protected].

Kuala Lumpur: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri atau kumpulan yang tertentu.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pihaknya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam khususnya Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat perkara berkenaan.

"Semua pihak adalah dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada JAIN berkaitan apa-apa urusan berkaitan pentauliahan mana-mana pendakwah agar setiap perkara yang disampaikan selari dengan ajaran Islam.

"Kita juga menyeru semua pihak sentiasa berpegang kepada neraca ilmu, fakta dan menjauhkan diri daripada taksub.

"Ketaksuban yang melampau dalam sesuatu perkara adalah berbahaya kepada diri dan masyarakat, sikap taksub akan mengakibatkan seseorang mudah terpengaruh dengan sesuatu dakwaan oleh individu mahupun kumpulan tertentu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro secara eksklusif melaporkan seorang lelaki mendakwa warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai 'Mawla Mohamed Amin al-Hassani' mengaku bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW pernah datang ke negara ini, dua tahun lalu anjuran sebuah madrasah.

Madrasah itu juga terpalit dengan kes salah laku yang membabitkan mudirnya memukul pelajarnya.

Sehubungan itu, PDRM memantau kegiatan lelaki itu susulan laporan akhbar ini mengenai seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang turut aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah selain cuba mewujudkan satu perkampungan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dipetik berkata, PDRM sedang memantau pergerakan Malwa Amin dan pengikutnya termasuk madrasah itu yang beroperasi di Selangor.

Berita berkaitan:

RAM nafi ada kaitan dengan Mawla Amin

JAIS halang semua aktiviti Mawla

Polis pantau Mawla, pengikut

Eksploitasi nasab suci Nabi

Mudir bina Kerajaan 9

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 11:50 AM