Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Itu dakwaan seorang lelaki warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani dan yang pernah datang ke negara ini, dua tahun lalu anjuran sebuah madrasah.

Madrasah itu juga terpalit dengan kes salah laku yang membabitkan mudirnya memukul pelajarnya seperti didedahkan Metro Ahad.

Skuad Khas Harian Metro menerima surat maklum balas daripada Kementerian Luar Maghribi, Bahagian Hal Ehwal Asean yang menyatakan bahawa individu terbabit tidak mempunyai kaitan dengan nasab suci Baginda SAW.

Lelaki itu juga tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan Sharif Idrissi di Maghribi atau mana-mana jalur keturunan Nabi Muhammad SAW yang lain.

Menerusi surat keterangan itu, Mawla Muhammad Amin atau nama sebenarnya Mohamed Amin Ouradj mengeksploitasi nasab suci Rasulullah SAW untuk menarik perhatian pengikut serta pendokongnya.

Pihak berkuasa agama Maghribi sama sekali tidak menyokong sama ada aktiviti atau ajaran agama daripada individu ini.

PIHAK berkuasa agama Maghribi sama sekali tidak menyokong sama ada aktiviti atau ajaran agama daripada individu ini.
PIHAK berkuasa agama Maghribi sama sekali tidak menyokong sama ada aktiviti atau ajaran agama daripada individu ini.

Pada masa sama, pihak Kementerian Luar Maghribi juga menyatakan bahawa individu ini mendakwa sebagai rakyat negara itu sedangkan lelaki itu adalah warga Perancis-Algeria dan mengambil kesempatan terhadap reputasi ulama Maghribi.

Untuk rekod, Mohamed Amin Ouradj memegang warganegara Perancis-Algeria dan dilahirkan di Algiers pada 1984 sebelum berpindah ke Perancis mengikut keluarganya.

Pada 2022, Mawla Amin datang ke negara ini hasil anjuran madrasah terbabit namun mendapat beberapa tentangan daripada mufti negeri kerana dokumen 'keturunan' yang meragukan.

Antara negeri yang membatalkan jelajah Mawla Amin adalah Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Polis pantau Mawla, pengikut

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau kegiatan seorang lelaki mendakwa warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai 'Mawla Mohamed Amin al-Hassani' yang mengaku bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Ia susulan laporan akhbar ini mengenai seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang turut aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah selain cuba mewujudkan satu perkampungan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM sedang memantau pergerakan Malwa Amin dan pengikutnya termasuk madrasah itu yang beroperasi di Selangor.

Menurutnya, hasil maklumat yang diterima, mereka juga sudah membeli sebidang tanah yang agak besar iaitu 11 hektar sedangkan pengikutnya bukan dari kalangan orang yang berada namun bergantung dengan kutipan daripada dana awam.

"Kita ada maklumat itu dan buat masa ini kita masih memantau pergerakan Mawla Amin terbabit bersama pengikutnya.

"Madrasah terbabit juga apa yang diketahui membeli tanah di Melaka hasil kutipan dana daripada pengikutnya dan orang ramai bagi membina perkampungan terbabit," katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.

RAZARUDIN. FOTO Arkib NSTP
RAZARUDIN. FOTO Arkib NSTP

Razarudin berkata, PDRM juga akan bekerjasama dengan jabatan agama Islam negeri mengenai kegiatan dijalankan mereka.

"Sebelum ini juga lelaki terbabit pernah datang ke negara ini dan menghadiri beberapa program di beberapa negeri," katanya.

Madrasah terbabit juga terpalit dengan salah laku membabitkan mudirnya yang memukul pelajarnya seperti didedahkan Metro Ahad.

Malah, menerusi laporan eksklusif muka depan akhbar ini semalam mendedahkan mudir berkenaan turut membeli sebidang tanah seluas 11 hektar di Melaka untuk membina perkampungan Kerajaan 9 yang dikatakan akan menjadi persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Tanah milik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka dibeli baru-baru ini dan dikatakan akan menjadi penempatan individu dari luar yang diangkat menjadi Imam Mahdi.

LAPORAN Harian Metro, 19 Februari 2024. FOTO Arkib NSTP
LAPORAN Harian Metro, 19 Februari 2024. FOTO Arkib NSTP

'Dia bukan dari keturunan Wazani'

"Dia (Mohamed Amin Ouradj yang juga dikenali Mawla Mohamed Amin al-Hassani) bukan daripada keluarga kami (Keluarga Wazani, Ahlul Bait), saya tidak kenal dia, saya bukan pakcik dia."

Demikian respons Ketua Zawiyah al-Wazaniyah di Maghribi, Sharif Wazani Tayeb berhubung pengakuan seorang individu dikenali Mawla Mohamed Amin al-Hassani yang kononnya keturunan ke-38 Rasulullah SAW.

Beliau berkata, individu berkenaan ada hadir di Zawiyah Wazani sama seperti orang lain untuk mengambil gambar dan gambar itu dipercayai digunakan kononnya beliau adalah keturunan Wazani.

Untuk rekod, Wazani adalah nama keluarga 'ahlul bait' yang diasaskan oleh Muleh Abdullah Syarif.

Sharif Wazani Tayeb adalah keturunan Hassan bin Ali yang ke-34 dan Zawiyah Wazaniyah ialah badan bertanggungjawab untuk menjaga nasab keturunan Nabi Muhammad SAW di Maghribi.

Beliau berkata, lelaki itu mengaku berketurunan Wazani sedangkan dan jelas ia satu penipuan.

"Lelaki ini (Mohamed Amin) bukan daripada keluarga saya, dia bukan daripada keluarga Wazani, jika dia mengaku dia Wazani, maka dia penipu," katanya.

Madrasah belum berdaftar lagi

Dakwaan kes pukul dan paksa pelajar tidur di dalam tandas membabitkan tenaga pengajar sebuah madrasah tahfiz tidak berdaftar dalam siasatan polis.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas), Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, pihaknya sudah sedia maklum berhubung perkara itu.

"Kita pun (pihak Pitas) terkejut perkara ini berlaku, tetapi di luar kuasa kita.

"Jadi kita masih menunggu (keputusan) siasatan, sebab perkara ini sudah di bawah (siasatan) polis.

"Kita tidak boleh komen lebih. Pitas ada buat siasatan dalaman juga, secara asasnya pihak terbabit menafikan dakwaan itu, wallahuallam," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Muhamad Hafiz juga mengesahkan madrasah terbabit juga bukan tahfiz berdaftar di bawah Pitas dan masih dalam proses pemutihan tahfiz di Selangor.

LAPORAN Metro Ahad, 18 Februari 2024. FOTO Arkib NSTP
LAPORAN Metro Ahad, 18 Februari 2024. FOTO Arkib NSTP

"(Madrasah itu) tidak dapat daftar lagi dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebab dalam program pemutihan tahfiz untuk mendaftar.

"Kita ada tanya pihak Jais, mereka ada mohon tapi Jais tidak sokong kerana difahamkan itu tanah pertanian (lokasi madrasah)...perlu tempoh agak lama untuk proses pemutihan dan sokongan Jais," katanya.

Mengulas lanjut katanya, Pitas dengan kerjasama Jais sudah mewujudkan satu standard Buku Peraturan Murid untuk seluruh maahad tahfiz persendirian di Selangor.

"Di dalam buku peraturan ini, ada aktanya, tertakluk kepada pendidikan, ada juga berkaitan adab dan cara merotan, semuanya tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan.

"Itu yang wajib dapat diselaraskan, termasuk kurikulum dan pemutihan kita selaraskan, bagi yang tiada bajet juga kita berikan bantuan.

"Kita adakan program dan kursus berkala (kepada maahad di bawah Pitas). Kita selalu kemaskini dengan kebanyakan majoriti maahad tahfiz, 90 peratus ahli Pitas. Ada sebahagian tidak mahu (menjadi ahli Pitas)..itu kita tidak kuasa," katanya.

KPWKM, Jakim peka kebajikan pelajar didera

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membantu pelajar tahfiz yang didera di sebuah madrasah di Selangor.

Menteri KPWKM Datuk Seri Nancy Shukri berkata, siasatan dibuat dan pihaknya akan menjaga kebajikan pelajar itu yang juga kanak-kanak, seperti yang dipertanggungjawabkan.

Katanya, kementerian juga sudah menghubungi Jakim untuk mendapatkan maklumat lanjut dan bentuk bantuan diperlukan, berikutan institusi tahfiz di bawah kelolaan agensi berkenaan.

"Sebaik dimaklumkan berita itu, kami terus menghubung Jakim untuk bertanya bentuk bantuan diperlukan dan diberitahu bahawa pusat pengajian agama itu tidak berdaftar.

"Kami akan melindungi kanak-kanak terbabit selain turut menawarkan khidmat kaunseling kepada pelaku jika dia mempunyai masalah peribadi," katanya dalam sidang media semalam.

Nancy (tengah) mengadakan sidang media selepas Majlis Perasmian Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu. FOTO BERNAMA
Nancy (tengah) mengadakan sidang media selepas Majlis Perasmian Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu. FOTO BERNAMA

Terdahulu, beliau merasmikan Pelancaran Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN)-Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu.

Nancy mengulas laporan muka depan Metro Ahad, kelmarin mengenai tindakan melampau tenaga pengajar sebuah madrasah tahfiz tidak berdaftar di Selangor yang memukul dan memaksa pelajar tidur di dalam tandas.

Operasi pusat pengajian agama itu yang didakwa didukung ahli politik dari pantai timur, peguam serta pengamal perubatan turut dikesan mengutip dana daripada orang ramai kononnya untuk membiayai pembinaan surau yang tidak pernah disiapkan hingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 12:00 PM