Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Dengan kudrat yang ada, Insya-Allah, saya mampu jaga kedua-dua anak Bella. Cuma bila lihat wajah mereka, saya teringat Bella," kata Noraini Salleh, 55, ketika ditanya mengenai hak penjagaan dua cucunya, Eusof Abdul Fatah, 4, dan Maream Isabel, 2.

Noraini yang juga ibu kepada Bella atau Mila Sharmila Samsusah, 32, yang dibunuh, Disember lalu, memberitahu, dia bersama anaknya, Norhisham, 36, bersedia menggalas tanggungjawab menjaga dua beradik itu sejak kehilangan ibunya.

"Itu harta peninggalan arwah yang kami ada. Kadang-kala saya jaga... ada juga Ayu jaga (nama panggilan Norhisham). Mereka di bawah jagaan kami buat masa sekarang.

"Kami akan pastikan anak Bella mendapat penjagaan sebaik-baiknya. Cuma saya tidak boleh tatap wajah mereka. Saya akan sedih, menangis mengenangkan Bella.

"Buat masa sekarang saya perlu kuat untuk berhadapan dengan situasi getir kami sekeluarga hadapi," katanya ketika ditemui di luar Kompleks Mahkamah Batu Pahat, selepas sebutan semula kes pembunuhan Bella.

NORAINI (kiri) bersama Ayu menangis ketika bercakap mengenai Bella. FOTO Alias Abd Rani
NORAINI (kiri) bersama Ayu menangis ketika bercakap mengenai Bella. FOTO Alias Abd Rani

Noraini yang ditemai beberapa ahli keluarga lain dilihat tenang sebaik menjejak kaki ke mahkamah bagi pendengaran kes berkenaan.

Walaupun perit menerima hakikat atas pemergiaan anak bongsunya daripada dua beradik itu, Noraini berharap dia diberi kekuatan untuk menempuh.

"Ibu mana tidak rindukan anak, tapi itulah hakikat yang saya lalui. Lebih-Lebih lagi apabila melihat telatah dua cucu saya (anak Bella)," katanya.

Sementara itu, Ayu memberitahu, anak sulung Bella, Eusof sudah memahami bahawa ibu sudah tiada lagi.

Menurutnya, apabila dia sekeluarga bercakap mengenai Bella, Eusof akan memberitahu ibunya sudah meninggal dunia.

"Cuma anak bongsu Bella, Maream belum memahami keadaan sebenar mereka hadapi ketika ini. Namun kami bersedia untuk memberitahu perkara sebenar apabila dia besar nanti," katanya.

Kes bunuh Bella: Mahkamah tetapkan 11 Mac depan untuk laporan forensik

Kes bunuh Bella: Tunggu laporan forensik

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 10:57 AM